Pertemuan pihak media bersama selebriti yang hangat diperkatakan sejak majlis pernikahannya kepada penceramah bebas, Haris Ismail semalam di sebuah majlis pelancaran tidak dibazirkan begitu saja.
Pelbagai soalan yang terbuku di minda ramai orang cuba diajukan kepada Dewi Remaja 2009/2010 itu.
Namun, satu perkara yang menarik perhatian REMAJA adalah penjelasan Lofa berkenaan perancangannya sebelum menginjak masuk ke bulan Ramadan Al-Mubarak, minggu hadapan.
Seperti yang diketahui oleh peminat Lofa, dia skeluarga pernah beberapa kali menghabiskan masa di bulan Ramadan dengan mengunjungi kota suci Mekah dan mengambil keberkatan beribadah di sana.
Namun dek kerana pandemik COVID-19 yang masih melanda, tiada apa yang umat dunia dapat lakukan untuk berkunjung ke negara lain termasuklah ke kota suci.
Biarpun Lofa tidak menyentuh apakah bentuk perancangan yang ada di mindanya bagi Ramadan kali ini, dia menjelaskan ada sesuatu yang ingin sekali dilakukannya. Bagaimanapun, semua itu bergantung kepada faktor-faktor tertentu.
Adakah dia mempunyai perancangan untuk berpuasa di lokasi selain Kuala Lumpur?
“Ada satu perancangan yang saya sedang lakukan sekarang. Tapi sekiranya tidak dapat ditunaikan, saya akan berpuasa di (Kuala Lumpur) bersama keluarga seperti biasalah,” katanya.
Menyentuh mengenai pengalaman sulung di bulan Ramadan bersama suami tercinta, Lofa mengakui teruja menantikannya.
“(Ia) sesuatu yang saya tertunggu-tunggulah, insyaAllah. Dipenuhi dengan program-program tersendiri. Saya (perbanyakkan masa) di rumah,” jelasnya secara ringkas.
Terdahulu, episod pernikahan Neelofa dan Haris tidak henti-henti diperkatakan apabila mereka didakwa melangsungkan majlis pernikahan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara tanpa mematuhi saranan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan di kalangan tetamu.
ARTIKEL BERKAITAN : Tidak Akan Terlepas Dari Tindakan Undang-Undang, Polis Siasat Majlis Neelofa & PU Riz – REMAJA
Tidak lama selepas itu, satu lagi kontroversi dikaitkan dengan pasangan itu apabila mereka didakwa menggunakan alasan tugasan bekerja dengan satu jenama minuman demi berkunjung ke Pulau Langkawi dan berbulan madu.
BACA LAGI : Ikon Wanita Kelantan, Neelofa Dinobat Tokoh Sayyidatina Juwairiyah Al-Harith – REMAJA