Pelakon berpengalaman, Kamal Adli memaklumkan dia tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai insiden diserang individu tidak dikenali sebelum ini.
Ini kerana, suami kepada aktres jelita, Uqasha Senrose itu diminta berdiam diri sehingga individu yang memukulnya dijatuhi hukuman dengan mengikut saluran undang-undang.
ARTIKEL BERKAITAN: Uqasha Senrose Selamat Timang Cahaya Mata Sulung, Pilih Nama Uqaira. Tahniah!
“Saya tak pernah cerita mengenai perkara ini disebabkan saya sudah diingatkan agar tidak bercerita selagi orang itu (pelaku) tidak kena apa-apa hukuman. Jadi, saya diminta tidak bercakap mengenainya.
“Sekarang ini, individu itu sudah dijatuhkan hukuman, jadi saya boleh bercakap sedikit. Isu ini memang saya tak tahu kenapa boleh terjadi. Memang saya tak ada petunjuk langsung mengapa saya diserang.
“Pengakuannya di mahkamah mendakwa dia hanya berhalusinasi yang saya mencabul saudara wanitanya. Alasan halusinasi boleh sampai boleh ketuk orang?” katanya kepada Remaja ketika ditemui di tayangan perdana drama terbaharu Viu berjudul Nafsu.
Kamal bagaimanapun memberitahu, dirinya kurang berpuas hati dengan jawapan yang diberikan lelaki itu kerana menyifatkan tindakan memukul sangat tidak boleh diterima kerana memudaratkan orang lain.
“Polis cakap kalau pukul di bahagian bawah sedikit lagi boleh mengakibatkan kematian. Perkara ini jadi sangat pantas sebab saya tahu-tahu darah sudah keluar.
“Sejak isu ini terjadi, saya tak pernah buka cerita. Kalau tanya saya, gilalah benda ini, benda ini gila sebab saya tak ada jawapan. Selepas itu, pelaku kena penjara selama dua tahun sahaja.
“Jadi, saya rasa benda ini bahaya untuk orang lain. Kena penjara dua tahun dan lepas itu boleh keluar. Kalau cakap halusinasi, apa jaminan keselamatan kepada orang lain,” tuturnya lagi.
Terdahulu, warga Singapura dikenali Muhammad Nabil Rashid dilapor dijatuhkan hukuman penjara dua tahun, empat bulan dan dua minggu atas kesalahan menyerang Kamal menggunakan belantan di Singapore Expo pada 12 Mac 2023. Kamal yang cedera terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Kamal Adli