Dalam tempoh 24 jam ini pelbagai reaksi diterima oleh Naelofar Hijab dan Neelofa sendiri berkenaan isu acara pelancaran tudungnya yang berlangsung pada Isnin lalu. Remaja yang turut hadir pada majlis tersebut juga memaparkan kronologi apa yang sebenarnya yang berlaku dan diperkatakan oleh Neelofa sendiri ketika acara itu berlangsung.

Hari ini, Naelofar Hijab telah mengeluarkan kenyataan media berkenaan perkara tersebut. Mereka secara terbuka minta maaf terutamanya kepada penyokong kuat jenama mereka dan semua individu yang terkesan dengan insiden tersebut.

Antara poin penting yang dinyatakan pihak mereka ialah;

  • telah mengambil langkah berjaga-jaga memastikan tiada sebarang jenama atau botol minuman keras. Gelas dan perkakasan diasing dan dikeluarkan sepenuhnya dari venue
  • akses ke kelab juga ditutup dan merokok adalah dilarang sepanjang acara berlangsung
  • menggunakan katerer luar bagi hidangan makanan kepada tetamu
  • venue dipilih sesuai dengan kemudahan dan ruang yang ada efek neon, sistem bunyi & paparan LED
  • mengambil serius dan mendengar semua komen dan mamastikan pada masa akan datang ia tidak akan berulang 
  • mohon diberi peluang memperbaiki diri dan memperbetulkan keadaan

 

Berikut merupakan kenyataan media daripada Naelofar Hijab

Ads

Kami memohon jutaan maaf, terutamanya kepada penyokong kuat jenama kami dan juga semua individu yang telah terjejas oleh insiden baru-baru ini. Majlis perlancaran yang sepatutnya menjadi acara yang istimewa untuk jenama kami, telah menjadi isu perdebatan dan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.

Sepanjang majlis pada malam itu , kami telah mengambil setiap langkah berjaga-jaga untuk memastikan apa-apa jenama dan botol-botol minuman keras, gelas serta perkakas diasingkan dan dikeluarkan sepenuhnya daripada tempat tersebut sebelum berlangsungnya majlis. Akses ke bar dan kelab lain juga ditutup dan merokok adalah dilarang sama sekali sepanjang majlis tersebut. Kami juga mendapatkan katerer luar untuk menyajikan makanan halal. Semua perkasas termasuklah sudu, garfu dan gelas yang digunakan oleh para tetamu juga disediakan oleh katerer tersebut.

Ads

Kami telah membuat keputusan untuk mengadakan majlis pelancaran ini di tempat berkenaan kerana kemudahan yang ditawarkan dan mereka juga menawarkan ruang untuk disewa sebagai ruang acara pada setiap hari Ahad dan Isnin oleh kerana ruang ini tidak dibuka untuk kunjungan umum. Sistem pencahayaan yang memberi efek neon, sistem bunyi, paparan LED, serta sokongan teknikal adalah antara kemudahan yang diperlukan oleh kami untuk menjayakan majlis ini, dan kesemuanya didatangkan dalam satu pakej yang ditawarkan oleh pihak ruang acara.

Untuk makluman, kami kini telah mengambil langkah segera untuk membetulkan situasi ini. Tiada yang lebih penting dari mendapatkan kembali kepercayaan dan keyakinan semua. Kami mengambil serius dan mendengar semua komen mengenai isu ini, dan kami akan menggunakannya untuk membimbing kami secara positif bagi mengelakkan insiden yang sama berulang. Kami akan pastikan isu keagamaan dan kebudayaan akan dititikberatkan dalam setiap keputusan yang dibuat pada masa hadapan dan kami amat berharap agar diberi peluang untuk memperbaiki diri dan memperbetulkan keadaan.

Ads

Yang ikhlas,
Noor Nabila Mohd Noor
Pengarah Urusan,
NH Prima International Sdn Bhd

 

 

 

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI