Negara Filipina mengumumkan penutupan pulau percutian terkenal, Boracay kepada para pelancong bermula akhir April ini selama enam bulan.
Ini berikutan kebimbangan kerajaan negara tersebut terhadap tahap pencemaran alam sekitar di Boracay yang semakin kritikal. Malah ia sudah mula kelihatan umpama ‘loji kumbahan’ menurut penduduk tempatan di sana.
Penutupan bermula 26 April ini disampaikan oleh Presiden Rodrigo Duterte melalui akaun Twitter. Penjelasan beliau berbunyi, “Boracay terkenal sebagai syurga di negara kami dan penutupan sementara ini akan memastikan generasi akan datang dapat menikmatinya.”
Walaupun penulis memahami keputusan yang diambil oleh Filipina ini, keputusan tersebut juga secara tak langsung menjejaskan nasib ribuan pekerja yang menjadikan Boracay sebagai sumber pendapatan mereka.
Setiap tahun, Boracay menerima 2 juta orang pelancong dan kemasukan kira-kira AS$1 bilion (RM3.87 bilion) kepada ekonomi Filipina. Dengan penutupan ini, pastinya ekonomi Filipian juga turut terjejas.
Pantai Dan Hidupan Marin Semakin Terancam
Presiden Filipina juga mengecam 500 buah hotel, restoran dan perniagaan lain yang dituduh membuang najis dan bahan kumbahan terus ke dalam laut dan menjadikan laut terkenal Boracay sebagai ‘kolam najis’.
Ini berikutan ketiadaan saluran kumbahan yang betul untuk menyalurkan najis dan bahan terpakai. Boracay juga tidak mempunyai sistem berkualiti untuk proses rawatan semula buat masa ini.
Pada minggu lalu, kerajaan Thailand juga telah mengumumkan penutupan Maya Bay di Thailand yang terkenal sebagai lokasi penggambaran filem terkenal The Beach yang dibintangi oleh Leonardo DiCaprio selama empat bulan mulai Jun tahun ini.
Walaupun keputusan kerajaan di rantau Asia Tenggara ini akan menjejaskan ekonomi serantau, setidak-tidaknya ia menunjukkan bahawa kita sememangnya bertanggung jawab terhadap keadaan persekitaran semula jadi di rantau ini.
* * * * *
Demi memelihara kecantikan semula jadi pantai, laut dan spesis marin di sana, terpaksalah kita berkorban sekejap.
Lebih baik ia ditutup sebentar berbanding menyesal pada masa akan datang. Betul tak?
See you in November, Boracay!