Kancil Lejen Disita, Pemandu Tiada Lesen Memandu & Cukai Jalan Sudah Tamat Tempoh

Share

Sejak minggu lalu tular mengenai keadaan sebuah kereta yang agak uzur dalam satu video yang tular di media sosial di mana pemandunya dilihat perlu mengangkat pintu untuk memasuki kenderaan terbabit.

Berikutan itu, netizen menggelar kancil tersebut sebagai Kancil Lejen kerana keadaan kenderaan terbabit yang masih mampu bergerak di jalan raya sekalipun keadaan kenderaan tersebut sudah nampak terlalu uzur. Ada netizen yang turut mendoakan agar pemiliknya dimurahkan rezeki berikutan kenderaan dipandunya.

Keadaan kenderaan ini sudah agak uzur di mana sudah banyak kelompongan pada struktur bentuknya. Gambar FB Buzze Azam.

Namun hari ini menerusi Harian Metro, dikhabarkan Kancil Lejen ini sudah disita pihak berkuasa dan perlu menjalani pemeriksaan Puspakom bagi memastikan Kancil tersebut selamat berada di jalan raya. Namun sesuatu yang amat memeranjatkan, pemandunya tidak mempunyai lesen memandu selain kenderaan terbabit juga sudah tamat cukai jalannya sejak tahun lalu lagi.

KEADAAN fizikal terlalu teruk menyebabkan Perodua Kancil lusuh yang tular di media sosial sebelum ini disita polis, 20 September lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, kereta itu tidak sesuai digunakan di jalan raya berikutan keadaannya terlalu teruk.

“Kami sita kereta itu mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana ia tidak sesuai berada di atas jalan.
Ia bukan saja membahayakan nyawa individu yang memandu kereta itu, malah boleh mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kancil Lejen ini dalam keadaan amat uzur dan sudah disita. Gambar FB Buzze Azam

Azman berkata, pemilik kereta itu dibenarkan untuk menuntut semula kenderaan berkenaan, namun perlu melakukan pemeriksaan bagi memastikan ia selamat digunakan di jalan raya.

“Kereta itu perlu melakukan pemeriksaan dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menentukan sama ada ia boleh digunakan atau sebaliknya.

“Jika tidak, pemilik perlu menyelenggara kenderaan itu mengikut spesifikasi ditetapkan pihak berkuasa sebelum dibenarkan untuk digunakan di atas jalan,” katanya.
Beliau berkata, tidak menjadi satu kesalahan untuk memiliki dan menggunakan kenderaan model lama, namun ia harus diselenggara dengan kerap bagi memastikan ia boleh digunakan di atas jalan raya.

“Ramai individu yang mempunyai minat memiliki kenderaan model lama. Namun, mereka harus tahu bahawa ia perlu diselenggara dengan kerap dengan melakukan pemeriksaan di agensi tertentu.

“Langkah itu penting bagi memastikan kenderaan yang diguna tidak mendatangkan bahaya kepada pemandu serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan Perodua Kancil lusuh itu disita polis selepas ditemui di bahu jalan di Kilometer 15 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh di Gombak pada 20 September lalu.

Balutan kulit di sterengnya juga sudah separuh hilang. Gambar Fb Buzze Azam.


Beginilah keadaan di dalam kenderaan terbabit. Gambar FB Buzze Azam.

Semakan mendapati cukai jalan kereta berkenaan sudah tamat tempoh sejak September tahun lalu selain pemandu kenderaan itu berusia 45 tahun didapati tidak memiliki lesen memandu.

Berdasarkan rekod, kereta itu dimiliki seorang lelaki berusia 75 tahun dipercayai ahli keluarga pemandu berkenaan.

Sebelum ini, kisah mengenai kereta yang turut digelar warganet sebagai ‘Kancil lejen’ itu tular di media sosial selepas didakwa dipandu dalam keadaan tidak sempurna di sekitar Gombak dan Kuala Lumpur.

Published by
Almaswa Haji Che Ros