Hah! Kan dah kantoi sebab tak perasan tuan rumah pasang CCTV.
Tindakan selamba seorang gadis yang berhenti di hadapan sebuah rumah di taman perumahan di Nong Chik Height, Johor Bharu malam semalam dan mengambil kucing peliharaan tuan rumah nyata memakan diri sendiri.
Ini kerana “dia” mungkin tidak menyedari tuan rumah ada memasang kamera pengawasan rumah atau CCTV yang berjaya merakam semua perlakuannya. Dapat dilihat dia selamba turun dari sebuah kereta Toyota Varis putih dengan nombor pendaftaran VDT 2408, mengambil kucing yang berada di pintu pagar, mendukungnya dan membawa masuk ke dalam kereta sebelum berlalu pergi.
Ekoran kucing diculik yang diberi nama ANDY, satu video telah ditularkan di twitter oleh @Qahshahhh yang meminta bantuan orang ramai untuk mencari kucing sepupunya yang diculik di hadapan rumah.
“Korang, aku perlukan bantuan korang utk viralkan video ni ! Kucing sepupu aku kena culik area Nong Chik Heights, Johor Bahru. Mintak tolong semua utk bantu cari org yg curi kucing and kucing sepupu aku balik ! Please Folded hands”
Tidak sampai sehari selepas menularkan hal ini, seorang individu telah DM dan memaklumkan maklumat penting di mana dengan tindakan itu, si bulus comel, Andy telah selamat ditemui kembali.
Sebelum mendapat maklumat penting itu, berdasarkan rakaman CCTV, carian mendapati kenderaan dinaiki gadis berkenaan disewa melalui aplikasi Socar. Malah ketika mereka meminta butiran individu yang menyewa kenderaan tersebut dari pihak Socar, ia tidak semudah itu kerana butiran penyewa adalah rahsia.
Satu laporan polis juga telah dibuat ekoran kehilangan kucing berkenaan.
Ekoran kuasa viral, kucing berkenaan dipulangkan kembali oleh kawan kepada gadis berkenaan kepada tuan rumah (bukannya gadis berkenaan yang mungkin telah malu ekoran berita itu telah tersebar luas).
Namun mereka tidak boleh menerima alasan diberikan oleh pencuri di mana katanya kucing berkenaan ditemui dalam keadaan kotor dan mahu dimandikan di hotel kucing. Tapi ketika dipulangkan dan saat Andy dicium tuannya, bau rokok kuat melekat
Ermm, nampaknya pelik-pelik kes curi sekarang. Kucing pun jadi mangsa. Sumber: Twitter @Qahshahhh
Banjir Besar Landa Vietnam! 55 Maut, 7 Masih Hilang & 332,700 Haiwan Ternakan Mati
Kala ini negara Vietnam sedang berduka. Hujan lebat yang mencurah melebihi 2000 milimeter sejak 10 hari lalu menyaksikan beberapa tempat di negara tersebut di tenggelami air.
Dilaporkan, seramai 55 orang maut akibat dihanyutkan hujan deras, tujuh masih hilang dan lebih 332,700 ekor haiwan ternakan mati dalam banjir besar yang menyaksikan negara berkenaan lumpuh dan terputus hubungan bagi sesetengah kawasan.
Tidak hanya melibatkan nyawa orang awam, seramai 13 orang anggota penyelamat turut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh seperti dilaporkan di Wilayah Phong Dien, Thua Thien Hue ketika melakukan operasi menyelamat dilakukan.
Lapor agensi berita Xinhua, bencana alam yang dicetuskan hujan lebat di Vietnam sejak 10 hari lalu dijangka berlarutan.Malah kebanyakan mangsa yang dihanyutkan arus deras datang dari Wilayah Quang Tri, Thua Thuen Hue dan Quang Nam.
Menurut Jawatankuasa Pemandu Kawalan dan Pencegahan Bencana Alam pada Jumaat, kebanyakan kematian melibatkan daerah tersebut.
Tidak hanya orang ramai maut, lebih 135,700 rumah ditenggelami dengan 585 daripadanya runtuh atau rosak. Sementara, banyak sawah padi dan kawasan tanaman lain digenangi air banjir.
Bencana itu turut menyebabkan kerugian ekonomi sekitar 5 trilion dong Vietnam (RM903.82 juta).
Hujan lebat diramal kembali melanda kawasan tanah tinggi bermula 16-21 Oktober, menurut pusat meteorologi negara itu. – Bernama / AFP.
Penoreh Getah Sanggup Pinjam RM120 Demi Raikan Keputusan Cemerlang STPM Anaknya, 4 Flat!
‘Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa’
Tidak seperti kebanyakan ibu bapa, penoreh getah Jaliusih Madakol terpaksa meminjam wang dari orang kampungnya untuk menghadiri pengumuman keputusan STPM anak perempuannya di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Wang Bukan Kayu Pengukur, Keputusan STPM 2020 Bukti Calon Keluarga B40 Mampu Cemerlang
Namun segala penat lelahnya untuk menyara pelajaran anak perempuannya tidak berakhir dengan sia-sia apabila anak perempuannya, Arnie Jaliusih meraih purata mata gred kumulatif (CGPA) 4.0 untuk peperiksaan STPM.
Arnie yang merupakan pelajar SMK Tun Fuad Stephens adalah antara 75 pelajar yang menerima penghargaan daripada timbalan pengarah Pendidikan (Perancangan dan Pengurusan Sektor PPD) Sabah Mohd Zaini Yanin di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu.
Penoreh getah itu turut berkata, dia sanggup berusaha dengan pelbagai cara untuk memastikan Arnie, dirinya dan isteri tetap hadir meraikan pencapaian membanggakan tersebut.
“Saya hanya ada motosikal dan Proton Saga yang selalu rosak. Kereta saya dari era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada 1990-an.
“Paling jauh yang ianya boleh capai adalah sehingga ke pekan Tamparuli, kira-kira 30 minit dari rumah kami,” katanya sambil menambah mereka terpaksa menyewa teksi dari pekan itu untuk menyambung perjalanan ke sekolah tersebut.
Jaliusih yang berasal dari Sinansag Kiulu di Tamparuli hanya memperoleh pendapatan antara RM200 dan RM300 sebulan. Manakala kos tambang teksi untuk pergi dan balik dari sekolah tersebut mencecah RM120.
“Saya tiada pilihan lain selain meminjam wang daripada beberapa orang kampung semata-mata untuk memastikan kami berjaya sampai ke sini. Ia adalah satu majlis yang menggembirakan.
“Tetapi apabila Arnie melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, memandangkan dia bercita-cita menjadi seorang guru, kami sekeluarga perlu mendapatkan sokongan kewangan daripada saudara-mara yang lain,” katanya.
Arnie, anak ketiga daripada lima beradik, merupakan pelajar tunggal SMK Tun Fuad Stephens yang mendapat 4.0 dalam peperiksaan STPM.
Sekadar info, seramai 7,618 calon mendaftar untuk peperiksaan STPM di Sabah namun hanya 7,001 yang mendudukinya. Manakala, 59 sekolah mencapai kadar kelulusan 100 peratus tahun lepas.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: NST & Astro Awani
Teguran Dr Maza Untuk Orang Miskin Yang Pemalas, Kenapa Rumah Sentiasa Kotor!
Sekali fikir memang betul tentang teguran ini. Miskin dan malas adalah dua perkara berbeza. Adakah kerana kita miskin mengakibatkan kita jadi pemalas? Atau kerana kita pemalaslah kita jadi miskin?
Baca coretan Mufti Perlis ini, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mencoretkan pandangannya.
𝐀𝐍𝐓𝐀𝐑𝐀 𝐌𝐈𝐒𝐊𝐈𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐒
Hari ini, saya kembali mengiringi DYTM Raja Muda Perlis dalam kayuhan MAIPs Peduli. Disebabkan PKPB, maka jumlah kami tidak ramai dan in sha ALLAH telah mematuhi SOP yang ditetapkan. Tujuan kayuhan seperti biasa ialah untuk menyantuni asnaf, mengambil tahu perkembangan dan keperluan mereka.
Mohon maaf, kali ini saya ingin meluahkan rasa yang terpendam selama ini dalam coretan kali ini. Dukacita dan sedih, terdapat rumah asnaf yang miskin yang kami lawati begitu kotor halaman dan kawasan rumah mereka. Padahal, untuk mencuci atau membersihkan sampah sarap tersebut, tidak memerlukan belanja, cuma perlu sedikit kerajinan.
Bayangkan, walaupun mereka tahu bahawa rombongan bersama DYTM Raja Muda akan ke rumah mereka untuk memberikan wang sumbangan, tapi tiada sedikit pun usaha untuk membersihkan kawasan rumah sendiri.
Padahal tubuh masih sihat. Lebih daripada itu, tempoh PKP dan PKPB sekitar 2 bulan mereka sentiasa di rumah, gagal dimanfaatkan untuk kemaslahatan diri sendiri. Ini bukan kes terpencil. Sering kami saksikan.
𝗧𝗲𝗿𝗸𝗲𝗰𝘂𝗮𝗹𝗶
Satu perkara yang sering saya luah dalam ucapan dan kuliah saya sejak dahulu, bahawa salah satu punca utama kemiskinan, iaitu kemalasan. Orang utara sebut dalam bahasa pasar yang agar kasar balo’. Lebih keras lagi disebut bolo’ liat. Ertinya, pemalas yang amat. Walaupun, kita sedar terdapat mereka yang miskin tapi rajin berusaha, cuma peluang belum muncul. Golongan miskin tapi rajin tidak termasuk dalam apa yang hendak saya bicara di sini. Harap jangan ada yang tersalah sangka. Mereka terkecuali dari perbincangan. Ini terutama anak-anak yang miskin disebabkan keadaan keluarga, mereka yang ditimpa bencana, kekurangan peluang dan seumpamanya. Golongan ini, -in sha ALLAH- jika mereka rajin berusaha, suatu hari nasib mereka akan berubah.
𝗣𝗲𝗺𝗮𝗹𝗮𝘀
Saya kembali ingin membicarakan golongan yang miskin disebabkan kemalasan ini. Sesiapa yang pernah berpengalaman berurusan dengan golongan ini, akan faham apa yang saya coretkan ini. Golongan ini seakan-akan selesa dengan kemiskinan yang membolehkan mereka mendapat bantuan orang lain tanpa perlu bekerja keras. Gambaran kehidupan yang miskin itu seakan mahu mereka jadikan identiti diri bagi membolehkan segala bantuan yang diminta diperolehi dengan mudah.
Di Perlis, MAIPs telah membina ribuan rumah untuk golongan miskin. Bukan sedikit, berjuta-juta telah dibelanjakan. Ada yang berusaha ke arah yang lebih baik, namun ada yang mengecewakan. Ada yang menerima rumah yang cantik dan teratur, namun apabila kita datang semula beberapa bulan, rumah bertukar menjadi kotor. Lalang dan rumput di keliling rumah tidak dipotong. Sampah-sarap menghiasi dalam dan luar rumah. Kerjanya hanya bersandar menunggu bantuan. Tubuh masih sihat, tapi mempunyai pelbagai alasan. Demikianlah kemalasan mencengkam kehidupan mereka.
𝗗𝘂𝗱𝘂𝗸 𝗦𝗮𝗷𝗮
Kediaman kita sekalipun lama dan tidak mewah, jika ada kerajinan boleh dibersih dan dikemaskan. Bahkan boleh bercucuk tanam sayur-sayuran asas yang sekurang-kurang dapat menjimat sebahagian belanja dapur. Hari ini, dalam pasu dan tin kosong pun boleh diusahakan tanaman. Tapi, kalau pemalas, kerjanya hanya tidur dan duduk saja menunggu bantuan orang menjelma.
𝗠𝗮𝗹𝗮𝘀 𝗗𝘂𝗻𝗶𝗮 𝗔𝗸𝗵𝗶𝗿𝗮𝘁
Bukan sahaja malas berusaha untuk kehidupan dunia, bahkan malas untuk akhirat juga. Pada wajah mereka tidak terlihat tanda dan sinar insan yang bersujud pada Tuhannya. Jika dijemput mereka datang untuk bantuan di masjid, kita meminta bersolat dahulu, mereka datang selepas solat jamaah selesai lantas terus duduk.
Jika kita beri bantuan dan meminta selepas menerima bantuan tunggu solat berjamaah bersama, mereka lari selepas wang diberikan. Kalau diminta datang bantuan di masjid pada Hari Jumaat, ada pula yang mewakilkan isteri, atau anak perempuan untuk ambil bantuan. Si bapa ‘kabur’ dari Solat Jumaat. Walaupun, bukan semuanya begitu, tapi jumlah yang sebegitu juga bukan sedikit.
𝗟𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝗵 𝗠𝗔𝗜𝗣𝘀 𝗠𝗲𝗻𝗲𝗻𝘁𝗮𝗻𝗴 𝗛𝗮𝗻𝘁𝘂 𝗠𝗮𝗹𝗮𝘀
Saya percaya MAIPs akan mengambil langkah memerangi kemalasan sebelum cuba mengatasi kemiskinan. Insan kurang upaya, orang tua yang uzur, orang yang ditimpa bencana, anak-anak yang masih kecil dan seumpama mereka, yang hidup dalam lingkungan kemiskinan, mereka mempunyai keuzuran dan alasan. Golongan ini patut diutamakan.
Adapun yang berbadan sihat yang meminta-minta atas alasan tiada kerja, golongan ini mesti disemak. Mereka ini sering menjadikan anak-anak kecil mereka alasan kukuh untuk mereka mendapat bantuan. Malangnya, sebahagian mereka mengambil kesempatan untuk bertambah malas dengan bantuan yang diberikan.
MAIPs sebenarnya telah menyediakan terlalu banyak program untuk memajukan asnaf dengan membekalkan mereka kemahiran dan modal. Ratusan juta dibelanjakan untuk pelbagai latihan dan pendidikan supaya kehidupan asnaf berubah dan mampu berdiri sendiri. Alhamdulillah, banyak juga yang berjaya. Ramai yang sudah tidak miskin lagi, khususnya yang muda. Namun, golongan pemalas juga masih banyak. Peluang pekerjaan dicari dan diberikan. Seminggu dua mereka bekerja, kemudian mereka lari.
Saya masih ingat, kami bermesyuarat menghantar sejumlah golongan miskin mengikuti kursus menjadi pemandu lori kontena canggih. Elaun kursus MAIPs berikan, pihak syarikat juga bantu. Selepas itu, akan diserap terus bekerja yang pendapatannya sekitar 4 ribu ringgit sebulan. Malangnya, sebahagian besar lari balik rumah. Atas alasan tak biasa duduk luar lama-lama. Itulah syaitan kemalasan yang menguasai urat nadi sebahagian manusia.
𝗔𝗸𝘂𝗿
Hal ini sebenarnya, bukan sahaja di Perlis, tapi di semua tempat dan negeri. Meriwayatkan hal ini memang merobek perasaan kita sendiri. Namun, suka atau tidak suka, kita kena akur bahwa bukan sedikit ‘melayu yang malas’.
Dalam masa yang sama, juga memang akur ramai juga Melayu yang rajin dan berjaya. Namun, kita tidak boleh nafikan masih ramai orang kita sangat pemalas. Inilah juga sebabnya, kita gagal dalam bersaing dengan pihak lain. Akhirnya, kita hanya menyalahkan pihak lain semata, lalu melupakan penyakit malas yang ada dalam masyarakat kita.
Kemalasanlah yang menyebabkan ramai orang kita kerja ‘lebih-kurang’. Produknya tidak berkualiti. Sehingga masyarakat kita sendiri kadang-kala terpaksa mengutamakan produk pihak lain di sudut kualiti dan kesungguhan.
Natijahnya, peniagaan orang kita tidak berdaya saing di sudut kualiti, ataupun di sudut kesungguhan kerja. Dengan saya akur, ada banyak juga produk orang Melayu-Muslim yang berkualiti dan sangat bagus.
𝗝𝗶𝗵𝗮𝗱 𝗠𝗲𝗻𝗲𝗻𝘁𝗮𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗺𝗮𝗹𝗮𝘀𝗮𝗻
Berjihad menentang kemiskinan tidak akan berjaya jika kita tidak berjihad menentang kemalasan. Saya melihat, -dengan izin ALLAH- harta dunia ini dapat diperolehi dengan pemikiran yang bijak walaupun usahanya tidak begitu hebat. Jika akalnya hebat dan usahanya juga hebat, dengan izin ALLAH pasti banyak rezekinya.
Kedua, harta dunia diperolehi dengan kesungguhan usaha walaupun kebijaksanaan tidak begitu tinggi. Dengan kerajinan akan membina pengalaman. Dengan pengalaman, orang kurang bijak akan membuat keputusan yang bijak. Akhirnya, dengan kerajinan dan pengalaman, rezeki yang banyak -dengan izin ALLAH- hadir ke dalam kehidupan.
Sebenarnya, memerangi kemalasan itu adalah tanggungjawab kita dalam beragama. Sabda Nabi s.a.w:
لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ، فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ الحَطَبِ عَلَى ظَهْرِهِ، فَيَبِيعَهَا، فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ
“Jika seseorang kamu mengambil talinya, kemudian membawa satu ikatan kayu api di atas belakangnya lalu menjualnya, -dengan sebab itu ALLAH memelihara maruahnya- maka itu lebih baik daripada dia meminta-minta kepada manusia, samada mereka memberikannya atau tidak” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kata Anas bin Malik r.a
فَكُنْتُ أَسْمَعُهُ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَمِّ وَالحَزَنِ، وَالعَجْزِ وَالكَسَلِ، وَالبُخْلِ وَالجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ، وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ
“Aku mendengar Nabi s.a.w sering berdoa: “Ya ALLAH sesungguhnya daku berlindung denganMU daripada kerisauan dan dukacita, daripada lemah dan malas, daripada kebakhilan dan kebaculan, daripada bebanan hutang dan daripada ditewaskan oleh orang” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maafkan coretan ini. Namun, ia sesuatu yang terpaksa diluahkan demi kepentingan kita semua. Masyarakat muslim kita ramai yang berharta dan suka membantu. Alhamdulillah. Namun, jika kita tidak teliti dalam strategi kita membantu, saya bimbang kita bukan berjaya menghapuskan kemiskinan tapi meramaikan lagi golongan pemalas.
Untuk memberikan bantuan dengan gambar yang gah mungkin mudah. Namun, untuk mencabut akar masalah, mungkin tidak semudah sekadar menghulurkan bantuan wang ringgit. Kita perlu gembeling tenaga mengubah mentaliti dan sikap ‘malas’. Inilah -in sha ALLAH- usaha yang mesti kami di MAIPs laksanakan.
Semoga ALLAH mengampuni saya..
Dr MAZA,
12.30 malam