Kari Kepala Ikan Merah Kegemaran DYMM Agong, Bungkus Bawa Pulang Istana

Share

 

Biarpun mendukung tanggungjawab besar selaku Duli Yang Maha Muli (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Shah tidak pernah menjarakkan diri daripada rakyat jelata.

Sempena Hari Keputerasaan Yang di-Pertuan Agong pada hari ini, REMAJA masih mengingati bagaimana Tuanku pernah makan bersama di atas padang di Kuantan semasa bulan Ramadan, memasuki kawasan pedalaman bagi membantu mangsa banjir dan Baginda yang selalu singgah ke kedai makan tanpa memerlukan sebarang protokol.

Salah satu restoran yang sudah menjadi kegemaran Al-Sultan Abdulah ialah restoran Kari Kepala Ikan yang terletak di Kampung Pandan Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN : “Bangga Jadi Rakyat Tuanku”, Netizen Puji Sikap Agong Hulur Bantuan Buat Mangsa Banjir – REMAJA

Kongsi pengurus restoran tersebut kepada Sinar Harian, juadah kari kepala ikan merah di restoran ini sudah menjadi di antara juadah kegemaran Baginda.

“Selepas bersantap, Baginda turut membungkus makanan tersebut dan membawa pulang ke istana untuk Permaisuri sertaorang lain di Istana.

“Malah sehingga kini, masih ada pihak istana yang datang untuk membungkus makanan di restoran kami. Ini adalah satu kebanggaan buat saya,” katanya.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda pernah dilihat mencemar duli menikmati santapan tengah hari di restoran tersebut pada tahun lalu. Menurut sumber terdekat, Baginda telah menolak tempat khas seperti bilik yang berhawa dingin oleh pihak restoran dan memilih untuk bersantap di meja biasa bersama orang ramai.

Tambah pengurusnya lagi, Baginda ialah seorang pemimpin yang peramah, pemurah dan tidak memilih. Selain selalu merendah diri dan mesra rakyat, Baginda tidak membuatkan orang ramai kekok merapati untuk berinteraksi dengannya.

Dirgahayu Tuanku!

ARTIKEL BERKAITAN : #GirlPower: Kenali Raja Permaisuri Agong – REMAJA

Published by
FZ