Kartunis dari Jepun, Fujiko A. Fujio yang terkenal kerana mencipta siri manga kegemaran ramai termasuk Ninja Hattaori-kun dan The Laughing Salesman telah meninggal dunia pada usia 88 tahun.
Fujio, atau nama sebenarnya Motoo Abiko, yang ditemui di kediamannya dekat Kawasaki berdekatan Tokyo amat dikenali di Malaysia kerana mempunyai sentuhan ‘Raja Midas’; segala yang dicipta olehnya sering mendapat tempat di hati ramai pembaca manga serta penonton animasi.
Sebagai contoh, The Laughing Salesman yang kini boleh ditonton di platform penstriman Netflix boleh dianggap sebagai salah satu karya agungnya. Menceritakan mengenai seorang jurujual bermistieri yang menawarkan untuk kembali melengkapi jiwa seseorang yang kosong, ia merupakan karya yang lebih serius dan ‘dark’ berbanding yang sebelum ini.
Selain itu, karyanya berjudul Kaibutsu-kun (The Monster Kid) juga amat diminati sehinggakan ia menjadi satu lagi siri animasi yang ditonton di peringkat antarabangsa.
Bagi korang yang mungkin keliru di antara Fujiko A. Fujio dan Fujiko F. Fujio, jangan risau; korang tidak keseorangan. Selain nama pena yang seakan sama, Fujiko A . Fujio juga sebenarnya berkawan baik dan pernah bekerjasama dengannya untuk komik Doraemon yang dipasarkan dari tahun 1970 hingga 1996.
Masing-masing berpindah dari Toyama ke Tokyo pada tahun 1954 dan menggunakan nama Fujiko Fujio. Setelah karya mereka ‘Obake no Q-taro’ menemui kejayaan, mereka membawa diri masing-masing pada tahun 1987.
Setelah berpisah, barulah duo lagenda ini menggunakan nama tengah A dan F bagi membezakan identiti sebagai Abiko dan Fujimoto (nama sebenar mereka).
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.