Karya Malaysia Gah, Menang 4 Kategori Termasuk Pelakon & Filem Terbaik!

Share

 

Siapa kata filem karyawan negara kita tidak mampu untuk bersaing di peringkat antarabangsa?

Buktinya, empat kategori signifikan telahpun dimenangi oleh beberapa filem yang menampilkan bakat dari Malaysia di anugerah Asian Academy Creative Awards (AAA) 2020 beberapa hari yang lalu.

Ia adalah menerusi filem yang diiktiraf ramai sebagai di antara filem terbaik tahun lalu, The Garden of Evening Mists, siri animasi original, Lamput dan juga drama bersiri antologi original berjudul Food Lore.

Jom lihat siapakah gerangan pemenang yang telah mengharumkan nama Malaysia di anugerah tersebut.

 

Yeo Yann Yann

Pelakon Wanita Terbaik

Pelakon kelahiran Malaysia ini menerima anugerah tersebut menerusi filem Invisible Stories yang melalui proses penggambaran di Singapura.

Invisible Stories menceritakan mengenai kisah rakyat yang menetap di kawasan perumahan estet berbilang kaum di Singapura. Yann Yann membawakan watak seorang ibu tunggal yang berdepan masalah kewangan sambil cuba untuk membesarkan seorang anak lelaki berusia 19 tahun yang menghidapi simptom autism.

Selepas kematian neneknya, remaja lelaki tersebut terus-menerus menunjukkan tindak-tanduk agresif.

 

The Garden of Evening Mists

Filem Terbaik

Filem ini merupakan di antara beberapa filem terakhir yang sempat untuk melakukan tayangan perdana besar-besaran di Malaysia sebelum negara dilanda musim pandemik dan segala jenis promosi ditunda atau dibatalkan. Ia mengisahkan tentang dua orang adik-beradik perempuan pada musim perang dunia kedua di Malaya.

Mengambil tempat di Cameron Highlands, Teoh Yun Li menemui pereka landskap berdarah Jepun, Nakamura Aritomo dan mula berlatih dengan lelaki tersebut untuk membina laman Jepunnya sendiri.

 

Lamput

Program Kanak-Kanak Terbaik

Ini bukanlah kali pertama Lamput memenangi kategori ini, ia adalah kali KETIGA ia berjaya merebutnya! Lamput dihasilkan oleh studio animasi tempatan, Inspidea dan ditayangkan di saluran Cartoon Network.

 

Takuti Saitoh – Food Lore: Life In A Box

Pengarah Terbaik (Fiksyen)

Food Lore merupakan siri drama yang banyak berkisarkan subjek makanan menarik Asia.

Dalam episod berjudul Life In A Box yang diarahkan oleh Takumi Saitoh, ia menceritakan tentang pertemuan penulis buku bergambar yang baru saja bergelar duda, anak perempuannya dan seorang bekas penggusti semasa dalam perjalanan menaiki kereta api dari Tokyo.

Mereka kembali mengingati momen lama yang menerbitkan rasa nostalgia, memori dan kisah cinta. Episod ini menampilkan Miller Khan dan ditayangkan di saluran HBO.

*

Ramai sebenarnya anak kelahiran Malaysia yang berbakat dan diiktiraf di peringkat tempatan dan antarabangsa. Contohnya seperti pengarah, pelakon dan YouTuber, Syahmi Sazli yang baru saja diiktiraf oleh FINAS sebagai Ikon Pengarah Muda negara.

Syahmi Sazli Diiktiraf FINAS, Bakal Diangkat Sebagai Ikon Pengarah Muda – REMAJA

Published by
FZ