Kata Sendi Nama “Dalam” Dan “Di Dalam”

Share

Dalam penulisan karangan atau esei, kita kerap menggunakan kata sendi nama “dalam” dan “di dalam”. Adakah penggunaan kedua-dua kata sendi itu boleh ditukar ganti sewenang-wenangnya?. Semestinya tidak. Hal ini kerana konteks penggunaan kata sendi nama “di dalam” dan “dalam” adalah berbeza.

Kata sendi nama “di dalam” digunakan di hadapan frasa nama yang mempunyai ruang manakala kata sendi nama “dalam” pula digunakan di hadapan frasa nama yang tidak mempunyai ruang.

Kata sendi nama “di dalam” digunakan dengan betul dalam ayat yang berikut:

1. Adik menyimpan semua hadiah pemberian ibu di dalam kotak biru. (Kotak biru ada ruang)
2. Semua orang di dalam bilik mesyuarat itu memandang ke arah Johny. (Bilik mesyuarat ada ruang)
3. Emak merebus sebungkus spageti di dalam

periuk. (Periuk ada ruang)

Kata sendi nama “dalam” digunakan dengan betul dalam ayat yang berikut:

1. Semua orang diam membisu dalam mesyuarat itu. (Mesyuarat tidak ada ruang)
2. Ayah seolah-olah sudah dapat membaca perkara yang berlegar-legar dalam fikiran kakak.
(Fikiran tidak ada ruang)
3. Azri melibatkan diri secara aktif dalam perbincangan itu. (Perbincangan tidak ada ruang)

Berdasarkan penerangan di atas, jelas ternyata bahawa “di dalam” dan “dalam” digunakan dalam konteks yang berbeza serta tidak boleh ditukar ganti sewenang-wenangnya.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja dan Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Dr. Rabahyah binti Tahir

Published by
Penulis Jemputan