Kebelakangan ini isu anak-anak kecil dan remaja menjadi mangsa rogol dan liwat orang yang rapat iaitu ahli keluarga, jiran, guru agak panas dibicarakan. Beberapa hari ini juga seorang guru Bahasa Inggeris “diburu” kerana mencabul dan melakukan kesalahan seksual ke atas anak murid ketika di sekolah.
Temuramah REMAJA bersama Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita & Kanak-Kanak dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Supt Siti Kamsiah Hassan tahun lalu menunjukkan 89 peratus kes rogol melibatkan kanak-kanak dilakukan oleh pelaku yang mengenali mangsa dan mangsa mengenali pelaku dengan agak rapat.
Bapa menduduki tangga teratas kes rogol remaja dan kanak-kanak dengan 25.5 peratus, diikuti bapa tiri 25.2 %, 17.4% pakcik, abang 12.3 % dan abang abang ipar 5.4%. Manakala bagi kes liwat dan seks luar tabie pula menunjukkan 5.6% kes dilakukan oleh jiran, 6.8 % guru dan 9.0 % dilakukan oleh majikan dan rakan sekerja.
Sememangnya kes salah laku rogol dan liwat semakin berleluasa di mana mangsanya adalah kanak-kanak dan remaja yang menjadi mangsa manusia pedofilia ini.
Elakkan dari menjadi mangsa manusia berhati binatang ini. Bagi mengelakkan menjadi mangsa, tolong hadam enam taktik halus yang biasa digunakan oleh pedofilia sebelum melakukan perbuatan terkutuk kepada mangsa seperti didedahkan oleh seorang kaunselor Mohd Hafiz Syafiq yang juga kaunselor panel LPPKN Kedah.
Keselamatan Anak-anak Kini Tergugat. Pakar Dedahkan 6 Peringkat Modus Operandi Pemangsa yang Bernafsu Binatang Ini. Ibu Bapa Wajib Baca.
Peringkat 1: Menentukan Mangsa.
Pemangsa akan mensasarkan kepada mangsa terutamanya anak-anak dan remaja yang sedang mengalami masalah emosi, perhubungan, pengasingan, rendah keyakinan diri dan remaja yang kurang pengawasan kedua ibu bapa adalah mangsa yang paling disukai. Pemangsa akan menggunakan alam siber iaitu media sosial sebagai medan mencari dan menentukan mangsanya.
Peringkat 2: Mendapatkan Kepercayaan Mangsa.
Pemangsa akan mendapatkan kepercayaan si mangsa dengan mengumpulkan maklumat tentang latar belakangnya, mengenal pasti keperluannya dan bagaimana mengisinya. Apabila pemangsa ini sudah menemui kelemahan dan keperluan mangsa ini tadi maka dengan mudah pemangsa akan mula menunjukkan perhatian dan kononnya bertanggungjawab bagi memenuhi keperluan si mangsa.
Hanya dengan perhatian yang diberikan lebih daripada biasa dan terlalu peribadi serta dengan menimbulkan kecurigaan terhadap kedua ibu bapa, si mangsa sudah boleh terpedaya. Pemangsa akan jadi bersemangat dan lebih berdisiplin dengan cara menjadi jarum yang mencucuk mangsa pada masanya tanpa mendedahkan identiti dirinya yang sebenar.
Peringkat 3: Mengisi Keperluan Mangsa.
Seterusnya pemangsa akan lebih bersungguh memenuhi keperluan si mangsa dan mengambil perhatian untuk menjadi orang yang paling penting dalam kehidupan si mangsa, malah sehinggakan mungkin menjadi lebih ideal daripada kedua ibu bapanya sendiri. Pemangsa telah berjaya memberikan hadiahnya yang sangat berharga dengan mengisi keperluan mangsa iaitu perhatian tambahan dan kasih sayang.
Peringkat 4: Mengasingkan Mangsa.
Pemangsa akan menggunakan hubungan istimewa yang telah dibina dengan mangsa untuk mewujudkan situasi di mana mereka bersendirian. Pengasingan ini terus mengukuhkan lagi hubungan istimewa. Pengasuhan, tunjuk ajar, bimbingan dan perjalanan aktiviti khas antara mereka semuanya dilakukan dalam peringkat pengasingan ini. Hubungan istimewa boleh diperkuatkan lagi apabila pemangsa menanam kepercayaan kepada mangsa itu bahawa dia disayangi atau dihargai dengan cara yang orang lain, bahkan ibu bapa tidak dapat berikan.
Peringkat 5: Mengadakan Perhubungan Seksual.
Pada peringkat kebergantungan dan kepercayaan emosional yang telah mencukupi, pemangsa sudah semakin berani memasukkan unsur-unsur seksual dalam perhubungannya. Perkara ini berlaku melalui bercakap, perkongsian gambar dan video, malah sehingga mangsa diminta telanjang. Pada ketika ini pemangsa akan mula mengeksploitasi rasa ingin tahu semula jadi kanak-kanak dan remaja dengan menggunakan perasaan rangsangan ingin tahu tertumpu kepada aspek perkembangan seksualiti dan fizikal.
Pemangsa akan memanipulasi apa yang menarik minat kanak-kanak dan remaja ini serta memperluaskan hubungan mereka dengan cara ini. (Dalam kes adik tingkatan satu yang dirogol itu dia kononya diajarkan bagaimana cara nak membesarkan payu dara) Pemangsa akhirnya mengajak mangsa untuk berjumpa bagi memuaskan nafsunya.
Peringkat 6: Mengekalkan kawalan.
Sebaik sahaja penderaan seks atau rogol berlaku, pemangsa biasanya akan menggunakan cara sama ada memujuk mangsa untuk mengekalkan penglibatan dalam perhubungan, berdiam diri, atau mengugut untuk menyebarkan rakaman gambar atau video mangsa.
Kanak-kanak dan remaja yang sudah sampai ke peringkat ini sedang berada dalam perhubungan yang terikat atau tersepit. Pada masa ini mereka sedang menghadapi ancaman ugutan yang mana boleh memberikan kesan psikologikal kepada diri mereka sehingga hilang pertimbangan dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan yang lebih rasional.
Para ibu bapa perlu lebih menjaga dan melindungi anak-anak daripada ancaman pemangsa dalam dunia siber kini dengan memberikan tumpuan perhatian dan kasih sayang yang secukupnya kepada mereka.
#Kaunselor_Shafiq
Kaunselor Panel LPPKN Kedah