Ratu cantik Malaysia, Rashmita Rasindran tampil membanggakan negara apabila dinobat sebagai juara pertandingan Miss Charm 2024 yang melabuhkan tirainya pada hujung minggu lalu.
Bertempat di Nguyen Du Stadium dekat Ho Chi Minh City; Rashmita, 24 mengenepikan saingan terdekatnya dari Australia, Alana Deutsher-Moore yang terpaksa berpuas hati sebagai naib juara manakala wakil Vietnam, Nguyen Thi Quynh Nga pula bergelar pemenang tempat ketiga.
Sebaik sahaja terpilih sebagai 20 peserta terbaik, Rashmita tampak selesa beraksi dalam pusingan pakaian mandi dan gaun malam sebelum terpilih untuk menjadi sebahagian daripada 6 peserta terbaik.
Di pusingan soal jawab, Rashmita berjaya menyakinkan para juri profesional yang turut dianggotai oleh naib juara Miss Universe 2023, Antonnia Porxild dari Thailand dengan jawapannya.
Ia sekaligus melayakkan Rashmita untuk diangkat sebagai Miss Charm 2024 dalam kalangan 36 orang peserta yang bertanding.
Ulangi Kegemilangan Kavita Sidhu
Untuk rekod, kejayaan wakil Malaysia memenangi gelaran Miss Charm ini mengambil masa 34 tahun untuk direalisasikan.
Sebelum Rashmita, terdahulu pelakon dan model terkenal negara, Kavita Sidhu pernah mencipta sejarah sebagai Miss Charm International 1990 sebelum gelaran tersebut dijenamakan semula menjadi Miss Charm.
Bertempat di Leningrad (kini dikenali sebagai St Petersburg, Rusia), Kavita Sidhu bukan hanya memenangi gelaran Miss Charm International tetapi juga menjadi wakil Malaysia pertama yang menjuarai sesebuah pertandingan ratu cantik antarabangsa.
Beliau yang ketika itu berusia 19 tahun berjaya mengalahkan 32 peserta lain untuk merebut gelaran Miss Charm International. Dengan kebolehan komunikasi yang baik, kecantikan dan ketinggian yang dimiliki, pantas Kavita menjadi plihan sebagai juara dan mencipta namanya sendiri dalam dunia seni di Malaysia.
Menariknya selepas kemenangan Kavita, pertandingan Miss Charm International tidak lagi dianjurkan sehinggalah ia dijelmakan semula pada Februari 2023 dan dimenangi oleh wakil Brazil, Luma Russo.
Sehingga ke hari ini, Kavita kekal relevan dan jelita seperti dahulu kala malah diangkat sebagai ikon fesyen serta pejuang kemanusiaan. Adakah Rashmita Rasindran akan mengikuti jejak langkah cemerlang Kavita Sidhu? Sama-sama kita saksikan perjalanan beliau sepanjang bergelar Miss Charm 2024 tahun hadapan.
FOTO: Instagram Rashmita Rasindran dan Kavita Sidhu
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.