Kebaikan demi kebaikan yang dilakukan seorang hamba Allah ini…
Siapa tidak kenal dengan seorang figura berjiwa hamba ini, namanya semakin dikenali di seluruh negara kerana sifatnya yang tidak lokek dalam membantu orang sekeliling yang memerlukan.
Terbaharu, nama pempengaruh dan usahawan, Hafiz Mahamad kembali menjadi sebutan ramai apabila dia bakal menaja 10 buah bas kepada orang ramai untuk pulang ke desa masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tercinta.
Perkara tersebut dikongsikan Hafiz menerusi Instastory miliknya baru-baru ini. Dalam hantaran tersebut dilihat pemuda tersebut sedang membuat tinjauan bas-bas yang akan digunakan kelak.
Pada masa sama, Hafiz menzahirkan kesyukuran kehadrat Ilahi kerana dapat membantu mereka yang memerlukan selain memohon doa agar rezeki buatnya sentiasa melimpah ruah bagi dapat menghulurkan pelbagai bantuan lagi pada masa akan datang.
“Ingat tak saya ada beritahu kita nak sponsor 10 buah bas untuk raya tahun ini? Jadi dalam 10 buah bas itu, Alhamdulilah dengan izin Allah raya tahun ini tiket kan kadang-kadang habis, mahal.
“Mana tahu 10 bas ini dapat membantu sahabat-sahabat yang memerlukan. Jadi, Saya nak pergi mesyuarat, nak lihat apa perkembangan terkini.
“Tahun ini Saya nak mudahkan dari segi pengurusan tiket itu, nanti memudahkan awak lah nak mendaftar. Saya nak pergi mesyuarat ni, doakan rezeki saya melimpah ruah tau,” katanya.
Di samping itu, dia turut memaklumkan sistem pengurusan bas bakal dipertingkatkan bagi memastikan keselesaan kepada para penumpang sepanjang perjalanan untuk pulang ke destinasi masing-masing.
“Kita sponsor awak ini, saya nak selesa untuk awak tidur. Balik, salam mak ayah sahaja. Pemandu bas yang kami sediakan ini adalah semua muda, dibawah umur 40 tahun dan mempunyai pengalaman selama 10 tahun.
“Jadi, keselamatan orang yang kita sponsor nak balik raya nanti itu, Insya-Allah terjagalah. Kita banyak terlepas pandang walhal pemandu bas sangat memainkan peranan. Kita akan bagi yang terbaik untuk awak, doakan,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, bapa kepada dua orang cahaya mata itu akan pergi ke stesen bas lama bersebelahan dengan stadium Shah Alam yang merupakan lokasi untuk berkumpul bagi memantau keadaan di sana.
Pastinya dengan inisiatif usahawan ini dapat membantu beratus orang yang ingin pulang ke kampung halaman tercinta bagi menyambut lebaran bersama keluarga tersayang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.