Berita

Keberanian Diiktiraf! Remaja Terima Pingat Hang Tuah Selepas Selamatkan Rakan Dari Renjatan Elektrik

Share

Sungguh menginspirasikan apabila seorang remaja berusia 14 tahun, Muhammad Asri Rosli baru-baru ini menerima pingat Hang Tuah sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2024 atas keberaniannya menyelamatkan rakan yang terkena renjatan elektrik pada 2 Oktober lalu.

Menurut Asri, dia mengakui teruja, gembira dan terharu yang bercampur-baur disaat menerima anugerah tersebut serta sempat berkongsi kisah ketika kejadian tersebut berlaku.

Katanya, pada ketika kejadian itu berlaku, dia sedang bermain sepak takraw bersama rakan di sekolah mereka di Bukit Beruntung, Selangor.

“Masa saya dan rakan nak ambil bola, saya nampak dia memegang besi dalam keadaan bergetar. Saya tarik dia beberapa kali sebelum tangannya terlepas dari besi. Saya terus peluk dia dan rasa ada aliran elektrik pada badannya”

“Kemudian, saya terus bawa dia ke bilik guru pendidikan jasmani,” katanya.

Dalam pada itu, ibunya yang bekerja sebagai tukang cuci, Zuraini Harun (49) turut meluahkan rasa bangga dengan tindakan anak keenam daripada lapan beradik itu. Jelasnya, Asri dilahirkan kembar tiga dan antara ketiga-tiga mereka, anaknya itu paling banyak mengalah dan bijak.

“Apa yang dia buat (menyelamatkan rakan) amat membanggakan kami sekeluarga,” ujar Zuraini.

Bercakap mengenai penerimaan pingat anugerah berkenaan, Muhammad Asri membawa pulang wang tunai RM5,000, sijil penghargaan dan trofi.

Sementara itu, pada majlis yang sama, tujuh anugerah diumumkan merangkumi Anugerah Pingat Hang Tuah, Anugerah Khas Kanak-Kanak, Anugerah Gemilang Akademik, Anugerah Gemilang Kebudayaan dan Keseniaan, Anugerah Gemilang OKU, Anugerah Gemilang Sukan dan Anugerah Khas NGO Kanak-Kanak.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE