Kedai Mamak Bakal Jadi Port Lepak Semula? Restoran Dibuka Hingga 12 Tengah Malam Mulai Esok

Share

Dah lama tak lepak mamak!

Ini mungkin antara kata-kata yang biasa didengari bagi bagi penggemar restoran yang ‘rindukan’suasana kedai makan mamak.

Semalam menerusi sidang media, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, semua kedai makan, kedai runcit, kedai serbaneka dan stesen minyak di kawasan PKPB dibenarkan beroperasi hingga jam 12 tengah malam, bermula esok.

Walau pun sudah boleh berniaga hingga 12 tengahmalam selepas mengambil kira kerugian ditanggung oleh ramai pengusaha restoran,kedai runcit dan kedai serbaneka yang hanya dibenarkan berniaga hingga jam 10 malam sahaja sebelum ini, namun SOP perlu dipatuhi seperti sediakala. Mana-mana yang gagal mematuhinya akan didenda RM1000 tanpa kompromi.

Hah, lepak pun lepak juga tapi jangan sampai melayang duit RM1000. Paling sedap minum kat rumah lagi selamat. Bukan saja jimat tapi selamat dari disaman.

Dalam pada itu, MalaysiaGazette melaporkan, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menyambut baik kebenaran kerajaan membolehkan waktu perniagaan di restoran, kedai dan kedai serbaneka dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam bermula esok.

Ia akan membantu sektor perniagaan untuk meraih pendapatan yang lebih, selain memudahkan pelanggan membeli makanan dan minuman.

Presiden PRESMA, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pengumuman itu adalah bonus kepada ahli persatuan di seluruh negara yang kini terkesan akibat penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kata beliau, PRESMA meminta kerajaan memperhalusi semula peraturan mengehadkan jumlah penumpang mengikut kapasiti kenderaan berbanding hanya tiga orang ketika ini.
“Selain itu, PRESMA juga berharap kerajaan mempertimbangkan supaya membenarkan lebih dari dua pelanggan untuk berkongsi meja di premis atau restoran.

“Ini kerana, ramai di kalangan pelanggan adalah ahli keluarga yang datang bersama, namun terpaksa dipisahkan tempat duduk mengikut SOP ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengajak rakyat Malaysia sama-sama mendoakan agar negara ini segera pulih dari pandemik Covid-19 dan segala urusan kehidupan seharian dapat berjalan seperti biasa.

Beliau berkata, ia susulan rungutan diterima daripada peniaga, persatuan peniaga dan orang ramai.

Katanya, keputusan dicapai dalam mesyuarat semalam, membenarkan waktu operasi perniagaan berkenaan hingga jam 10 malam yang ditetapkan sebelum ini, dilanjutkan kepada jam 12 tengah malam. – Sumber : MalaysiaGazette

Published by
Almaswa Haji Che Ros