Insan mana sahaja yang tidak sedih sekiranya kehilangan ahli keluarga tercinta; inikan pula jika kehilangan mereka disebabkan tragedi yang berbekas dalam jiwa kita sehingga bila-bila.
Begitulah yang dirasai oleh anak kepada usahawan popular Dato’ Seri Vida, Cik B apabila mengimbas semula kejadian kebakaran yang membuatkannya kehilangan dua orang kekanda tercinta; Allahyarham Muhammad Eddie Zuhdie dan Allahyarham Muhammad Edrie Zikri.
Biarpun 10 tahun telah berlalu, tragedi berkenaan akan sentiasa diingati Cik B ibarat baru berlaku semalam.
Bercakap menerusi program Hard To Heart baru-baru ini, Cik B atau nama sebenarnya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin berkata, dia menjadi saksi kepada tragedi rumah teres dua tingkat yang dijadikan asrama tempat tinggal kakitangan ibunya terbakar.
“Ketika sebelum kejadian, kami baru balik dari rumah anak yatim. Kemudian abang masuk ke rumah bujang, iaitu rumah penginapan untuk kakitangan lelaki Mama. Ketika itu saya tak nak masuk dan main dengan adik (Kacak) di luar.
“Tiba-tiba saya tengok macam ada habuk-habuk dekat atas. Saya pusing belakang, nampak sofa tengah terbakar.”
“Saya lari panggil guard… bila sampai balik rumah dah terbakar.”
“Lepas ketuk rumah jiran, saya ambil paip dan cuba semburkan air untuk padamkan kebakaran.
“Saya ke hospital untuk tengok (kedua-dua abangnya) untuk kali trakhir. Tapi saya tak tengok sebab saya takut. Mereka tak terbakar pun, tapi lemas,” katanya.
Tambah Cik B, jasad Allahyarham Muhammad Eddie Zuhdie dan Allahyarham Muhammad Edrie Zikri ditemui di bawah sinki. Dipercayai mereka berhasrat untuk terjun dari kawasan balkoni untuk menyelamatkan diri. Namun mereka lari semula masuk ke tandas.
Memori terakhir Cik B dengan dua orang abangnya itu katanya adalah apabila Dato Seri Vida membawa mereka semua bercuti ke benua Eropah beberapa bulan sebelum tragedi menimpa mereka.
Tidak hairanlah apabila Cik B pernah tampil sedikit malu di awal kemunculannya di hadapan khalayak ramai sebagai penghias wajah hadapan Majalah Remaja edisi Oktober-Disember 2019.
Kami gembira melihat Cik B dan Kacak kini semakin yakin membawa diri biarpun kadangkala tidak ditemani oleh mama mereka.
Al-Fatihah buat Allahyarham berdua.
BACA LAGI: Ditulis Dengan DSV! Lihat 5 Lirik Menarik Dari Single Baru Cik B, ‘Tolonglah’ – REMAJA