Penerima Anugerah Pelajaran Diraja oleh Majlis Raja-raja Malaysia bagi Kategori Bukan Bumiputera, Wong Yong Jie mengakui cabaran hidupnya bermula seawal usia lapan tahun, apabila dia kehilangan bapa akibat kemalangan jalan raya.
Peristiwa itu mengubah hidupnya dan menyaksikan ibu tercintanya, Ooi Siew Lee yang terpaksa menggalas tanggungjawab besar membesarkan dua orang anak sendirian.
Biarpun tidak bermula sebagai pelajar cemerlang, semangat juang graduan berusia 23 tahun ini semakin kuat selepas ibunya sering berpesan bahawa ilmu adalah kunci untuk mengubah nasib hidup.
ARTIKEL BERKAITAN: Kekurangan Diri Bukan Penghalang Kejayaan, Graduan PKU Ini Jadi Salah Seorang Penerima Hadiah Pingat Emas USM!
Sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanik (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia (USM), dia berusaha keras untuk mencapai kejayaan demi keluarga tercinta.
“Selepas kematian bapa pada 2009, ibu mengambil tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan berniaga barangan perkakasan untuk menyara kehidupan serta pendidikan saya dan abang.
“Ketika di Tingkatan Satu, saya pernah diejek rakan-rakan kerana tiada bapa, dan itulah titik tolak untuk saya tidak menoleh ke belakang,” katanya.
Tambah Yong Jie lagi, dia berjanji untuk bekerja keras demi masa depan yang lebih baik buat keluarganya. Kini, usaha kerasnya membuahkan hasil apabila dia berjaya menggenggam ijazah dan terpilih sebagai salah seorang graduan cemerlang di majlis konvokesyen USM.
ARTIKEL BERKAITAN: Graduan Ini ‘Hadiahkan’ Anugerah Pelajaran Diraja Buat Ibu Bapa, Tekad Mahu Ubah Nasib Keluarga. Tahniah!
“Saya bersyukur kerana dapat membuktikan kejayaan ini bukan hanya untuk diri saya.
“Tetapi juga sebagai hadiah buat ibu yang telah berkorban demi memastikan saya mendapat pendidikan terbaik. Beliau adalah tulang belakang saya,” ujarnya lagi.
Bercita-cita untuk terus menimba ilmu, Yong Jie merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang yang sama melalui laluan pantas ke peringkat Doktor Falsafah, dan berharap suatu hari nanti dapat berbakti sebagai pensyarah di USM.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Bernama.