Malang tidak berbau…
Berita mengenai kemalangan melibatkan dua orang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak yang dipercayai tercampak ketika menaiki permainan ‘sotong ride’ di Fun Fair Puncak Alam malam semalam, mencuri perhatian ramai.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, memaklumkan yang pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai insiden itu kira-kira pukul 8.50 malam. Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut.
ARTIKEL BERKAITAN: 40 Tahun Di Malaysia, Hot Wheels Bakal ‘Release’ Proton Saga Model Pertama
Menurut laporan Harian Metro, pengusaha tapak pesta ria (fun fair) rupanya melanggar arahan sita sehingga menyebabkan kemalangan yang mengakibatkan kecederaan, semalam.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Rahilah Rahmat berkata, sitaan telah dibuat selepas permit operasi tidak diluluskan pada 29 November lalu. Bukan saja menjalankan operasi tanpa permit sah, tapak tersebut turut tidak mendapat kebenaran MPKS, selain polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
“Pengusaha tapak pesta ria itu ada membuat permohonan permit daripada MPKS. Namun kita tidak meluluskannya dan menyita lokasi itu.
“Bagaimanapun, pihak berkaitan masih berdegil untuk beroperasi bermula Sabtu lalu (10 Disember) hingga mengakibatkan berlaku insiden malang itu,” katanya.
Selain itu, Rahilah turut memaklumkan bahawa pengusaha tersebut hanya mendapat kebenaran daripada pemilik tapak atau tanah.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Facebook Mua Faeezah Pija & Kosmo Saddam Yusof