Linangan air mata tidak dapat dielakkan oleh pemenang pingat perak negara dalam acara keirin lelaki, Datuk Azizulhasni Awang sebentar tadi sewaktu ditemuramah oleh rakan media di Astro Arena selepas aksi cemerlangnya di velodrom Izu, Shizuoka Jepun.
Azizulhasni yang berjaya melangkah ke peringkat final pagi tadi akur dengan strategi yang dipasang pelumba Great Britain, Jason Kenny dan bersyukur dengan kilauan sebutir perak yang dibawa pulang pada hari terakhir Sukan Olimpik.
Dalam temuramah dalam suasana hiba itu di mana Azizulhasni masih mengesat air mata mengenangkan pengorbanan yang telah dilakukan selama ini, dia kemudiannya diberitahu satu perkhabaran manis yang telah ‘disembunyikan’ daripadanya selama berada di Tokyo.
Kata wartawan Astro Arena, Bazly Azmi kepada Azizulhasni; dia dan delegasi Malaysia terpaksa menyembunyikan berita ini demi memastikan atlet itu terus fokus dengan misi negara di Sukan Olimpik hingga ke saat terakhir.
“Datuk Azizulhasni Awang, awak adalah lagenda basikal negara.
“Mereka (produksi) suruh saya berhenti di sini. Tetapi saya terpaksa berkongsikan satu berita yang saya simpan dah lama. Azizul… Tia (isteri Azizulhasni, Athiah Ilyana) pregnant. Anak ketiga Joe!”
Untuk pengetahuan, Athiah dan dua anak mereka iaitu Amna Maryam, 8 dan Amna Khadeeja, 5 kini menetap di Melbourne, Australia iaitu pusat pangkalan latihan Azizulhasni selama ini.
Dengan reaksi wajah terkejut, Azizulhasni segera bersujud syukur di hadapan kamera (dan di hadapan skuad berbasikal negara yang sedang menonton dari satu sudut di belakang).
“Ya Allah, thank you bro (di atas perkhabaran ini).
Alhamdulillah bro. It is good news, it is good news. (Emosi) saya bercampur-aduk sekarang ini tapi apa yang saya fikir dalam kepala saya, saya tidak sabar untuk balik berjumpa dengan keluarga saya.
“Guys, terima kasih atas sokongan semua dan… saya minta maaf guys,” kata beliau yang memahami betapa besarnya harapan rakyat untuk menyaksikan kilauan emas pertama Malaysia dalam sejarah penyertaan negara di Sukan Olimpik.
Azizulhasni, anda tidak perlu memohon maaf!
Ini ada prestasi terbaik yang pernah ditunjukkan oleh atlet berusia 33 tahun tu sepanjang penglibatannya dalam Sukan Olimpik. Cuma tuah strategi pelumba Great Britain, Jason Kenny dalam final keirin lelaki tadi berkesan untuknya bagi meraih emas.
Selain itu, Azizulhasni telah mengerah segala kudrat untuk mengatasi kelompok 4 pelumba lain di belakang Jason bagi memenangi pingat perak.
Ini adalah momen yang amat manis buat Malaysia. Satu pengakhiran di Tokyo 2020 yang akan diingati kita semua sampai bila-bila. Ya, perjalanan Malaysia di Sukan Olimpik kali ini agak mencabar ranjaunya. Tambahan pula dengan penangguhan kejohanan akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Namun, segala pengorbanan yang dihulurkan wira dan wirawati negara ini akan sentiasa tersemat dalam sejarah.
TAHNIAH AZIZULHASNI, TAHNIAH MALAYSIA!