
Hanya remaja yang lahir pada 2007,akan dipanggil menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 apabila ia dilaksanakan pada tahun hadapan.
ARTIKEL BERKAITAN: 90% Latihan Ala Tentera, PLKN 3.0 Bakal Kembali Demi Lahirkan Belia Malaysia Berwawasan
Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataannya, berkata kerajaan telah bersetuju untuk memperkenalkan semula PLKN dengan kaedah yang baru selaras dengan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).
“Pelatih akan dipilih mengikut tahun kelahiran. Ada garis permulaan tahun kelahiran tertentu bagi pelatih untuk memulakan PLKN 3.0.
“Sekiranya pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai latihan khidmat negara atas sebab yang dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan. Had maksimum untuk menjadi pelatih adalah sehingga berusia 35 tahun.
“MINDEF turut berharap penjelasan ini dapat menyelesaikan kekeliruan dan kegusaran orang awam mengenai penetapan umur pelatih PLKN3.0,” katanya.
Baru-baru ini, tular di media sosial apabila ada pihak membuat ciapan dengan mendakwa peserta yang akan dipilih menyertai PLKN untuk fasa baharu adalah individu dalam kalangan belia berusia 16 hingga 35 tahun.
Terdahulu, dilaporkan pelaksanaan semula PLKN yang dimansuhkan pada 2018 akan dilaksanakan membabitkan dua fasa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata, Fasa 1 membabitkan pelajar Tingkatan Empat melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap akan diperkasakan pada peringkat itu.
Mohamad dilaporkan berkata, pelajar Tingkatan Lima yang dikecualikan untuk menjalankan latihan di Fasa 1 bagi memberi laluan kepada mereka melakukan persediaan menempuhi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, akan menyertai Fasa 2 di kem latihan Askar Wataniah sedia ada.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
IHSAN FOTO/ARTIKEL: Berita Harian
Hari Malaysia Disambut Dengan Pengucapan Awam Lantang 6 Pelajar Sekolah Menengah

Bagi majoriti rakyat Malaysia, tarikh 16 September pada hari ini hanyalah merupakan satu lagi hari cuti kebangsaan yang diambil bagi memperingati pembentukan negara Malaysia pada tahun 1963.
Namun, adakah mereka benar-benar mengambil semangat di sebalik gabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada tarikh ini 58 tahun lalu atau sekadar menikmati masa terluang pada hari cuti ini untuk merehatkan diri serta minda?
Bagi enam orang pelajar sekolah menengah ini, mereka sesungguhnya telah menggunakan hari ini sebagai momen terbaik untuk meluahkan rasa cinta kepada Malaysia dengan meluahkan pandangan serta skil penyampaian mereka menerusi pertandingan Pengucapan Awam bersempena kempen ‘Saya #RemajaMalaysia’.
Bagi anda yang telah mengikuti perjalanan kempen ini, tentunya ada tahu bahawa ia adalah satu inisiatif oleh syarikat Nu Ideaktiv Sdn Bhd menerusi Majalah Remaja dengan kerjasama rakan strategik, Dewan Bahasa & Pustaka Malaysia serta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Setelah pertandingan ini membuka peluang bagi pelajar sekolah menengah yang berada di Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5 untuk menghantarkan penyertaan mereka secara atas talian ke laman web Majalah Remaja sepanjang bulan kemerdekaan lalu, akhirnya hanya enam orang peserta saja dipilih sebagai finalis. Dengan itu, mereka mempersiapkan diri untuk berentap secara maya bermula jam 11 pagi tadi dalam satu segmen yang diacarakan oleh pelakon, pengacara dan Dewi Remaja 2019 iaitu Shaza Bae.
Enam pelajar sekolah tersebut terdiri daripada (mengikut giliran penyampaian) Ainea Batrisyia Binti Sulaiman (15 tahun, Kolej Tunku Kurshiah), Muhammad Aniq Aqil Bin Roslan (17 tahun, Sekolah Agama Menengah Paya Jaras), Nur Yasmin Binti Hanafi (15 tahun, Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz : SMISTA MAIWP), As Afibie Chai Binti Chai Ming Fook @ Abu Bakar Abdullah (17 tahun, SMK Pusat Bandar Puchong 1), Hanis Hamizan Bin Muhammad Rahfee (17 tahun, SMK Seksyen 1 Bandar Kinrara) dan Nur Adriana Muzfirah Binti Muzamzul Zamani (16 tahun, Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah).
Dalam masa lima minit saja, setiap peserta telah diminta untuk mempersembahkan pengucapan awam dengan tajuk berbeza mengikut undian. Pelbagai topik telah dikupas dengan cukup cemerlang dan bernas oleh para peserta.
Persembahan mereka itu kemudiannya telah diadili oleh tiga juri yang dilantik. Mereka terdiri daripada Pengurus Bahagian Jualan dan Pemasaran di syarikat SP Setia Berhad dan bekas pendebat UiTM iaitu Encik Muhammad Hariri Bin Zolkifli; Perancang Bahasa, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan dari Dewan Bahasa & Pustaka Malaysia iaitu Encik Rusdi Abd Rahman dan pelakon serta pengacara, Uyaina Arshad.
Berikut merupakan sebahagian daripada intipati menarik daripada setiap penyampaian tersebut.
*
“Adakah cukup sekadar menuturkan bahasa Melayu tercinta tetapi tidak dihayati bersama? Jikalau hati dan jiwa masih prejudis, terhadap keagungan bahasa Melayu yang suci nilai? Tepuk dada, tanya selera. Salam satu bahasa, keluarga Malaysia.” – Bahasa Penyatu Bangsa oleh Aiena Batrisyia
“Sekiranya kita kehilangan salah satu elemen ini, kita akan kehilangan tamadun. Penemuan sains Thomas Edison, Ibnu Sina hatta teori Albert Einstein jika tidak dirakam sejarah, maka tidak akan berkembang ilmu dan teknologi pada hari ini. Sejarah turut memberi panduan kepada manusia untuk membuat ciptaan dan penemuan lanjutan.” – Sejarah Atau Sains, Mana Lebih Penting? oleh Aniq Aqil
“Pembelajaran atas talian ini sebenarnya mampu menghasilkan seseorang yang mempunyai kemahiran pembelajaran sepanjang hayat atau live long learning. Disebabkan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita diberi peluang untuk mengasah kemahiran ini yang amat penting untuk kekal bermandiri pada abad ini. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.” – Kualiti Pendidikan Negara Ketika Pandemik COVID-19 oleh Nur Yasmin
“Golongan muda yang celik IT mampu menarik lebih ramai remaja untuk terlibat dalam program-program alam sekitar. Contohnya seperti kempen-kempen yang dilancar oleh kerajaan, NGO dan persendirian akan mendapat maklum balas yang baik daripada golongan remaja. Program seperti 3R contohnya perlu disebar luas bukan saja dalam komuniti tetapi bermula seawal sekolah rendah. Sekian, salam kehijauan.” – Kesinambungan Alam & Pembangunan Malaysia oleh As Afibie Chai
“Sewajarnya di Malaysia, kita telah meletakkan standard pada kualiti barangan tempatan yang mematuhi piawaian SIRIM sebagai bukti produk tempatan juga bermutu tinggi. Hal ini juga menjadi lambang kemegahan bahawa barangan buatan Malaysia setanding dengan negara membangun dan sesetengahnya lebih baik daripada barangan import.” – Sokong Barangan Buatan Malaysia oleh Hanis Hamizan
“Kalau kita tenung dan pandang dari sudut positif, (norma baharu untuk duduk di rumah) sebenarnya memberikan kita peluang sebagai rakyat Malaysia, anak, ibu, ayah dan manusia untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Saya tahu ada yang keluarga duduk nun jauh di Malaysia. Bersyukurlah kita duduk di Malaysia, sebuah negara yang berteknologi untuk kita hubungi mereka walaupun dari jarak jauh. Mobiliti manusia yang perlahan memberi peluang kepada alam sekitar untuk ‘beristirehat daripada dibanjiri manusia.” – Hubungan Sosial Di Era Norma Baharu oleh Adriana Muzfirah
*
Ini baru sedikit, banyak lagi poin menarik yang telah sempat dikupas oleh mereka berenam.
Masing-masing mempunyai kelebihan daripada segi intelek yang pantas, lidah yang petas, personaliti penuh keletah dan tentunya keyakinan yang cukup tinggi untuk berada di hadapan skrin dan berucap di hadapan orang ramai terutamanya para juri biarpun secara maya.
Namun, adat pertandingan lah; akan ada yang dinobatkan sebagai juara manakala peserta lain berada pada posisi seterusnya.
Penganjuran pertandingan Pengucapan Awam pertama oleh Majalah Remaja hari ini telah menobatkan pelajar dari Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembila iaitu adik Aiena Batrisyia sebagai juara pada hari ini.
Biarpun tampil sebagai peserta pertama untuk melakukan persembahan, Aiena jelas amat bersedia dengan poin yang disimpan serta riak gaya serta wajah yang amat kena dengan topik yang dibualkannya. Pada usia 15 tahun, jelas Aiena berbakat besar untuk pergi lebih jauh dalam bidang akademik dan aktiviti luar kelas seperti ini.
ARTIKEL BERKAITAN : Juara Pengucapan Awam #SayaRemajaMalaysia ‘Menang Besar’ Di Hari Malaysia – REMAJA
Tempat kedua pula disambar oleh Nur Adriana Muzfirah daripada Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah manakala Nur Yasmin dari Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz : SMISTA MAIWP cemerlang di tempat ketiga.
Ucapan syabas juga wajar diserahkan buat As Afibie Chai (SMK Pusat Bandar Puchong 1), Hanis Hamizan (SMK Seksyen 1 Bandar Kinrara) dan Muhammad Aniq Aqil (Sekolah Agama Menengah Paya Jaras) yang turut memberikan saingan sengit kepada peserta lain.
Dengan ini, berakhirlah kempen ‘Saya #RemajaMalaysia’ yang dibawakan oleh Majalah Remaja pada tahun ini. Sebulan setengah kami melaungkan kata-kata semangat memuji negara dan memahat rasa patriotik dalam diri masing-masing untuk disemai bersama remaja seperti anda. Jangan ditolak ke tepi semua itu.
Seharusnya sebagai seorang remaja Malaysia, kita harus sentiasa berbangga dengan jati diri kita sendiri. Jika bukan kita yang menutur bahasa kebangsaan, melawat tempat-tempat menarik di dalam negara, menyokong barangan buatan Malaysia mahupun mengharumkan negara tercinta di peringkat antarabangsa; siapa lagi?
*
Jom tonton semula acara penuh pertandingan Pengucapan Awam ‘Saya #RemajaMalaysia’ di bawah :
Pemain Muda PUBG Negara, Izzrudin Hashim Terima Pingat Jasa Kebaktian Negeri Sembilan

Pemain e-sukan negara, Muhammad Izzrudin Hashim tidak asing lagi sebagai salah seorang pemain PUBG Mobile terbaik di Malaysia.
Baru-baru ini, Izzrudin yang lebih dikenali sebagai Jumper telah dianugerahkan dengan Pingat Jasa Kebaktian dari Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di Istana Besar di Seri Menanti.
Perkara tersebut dikongsikan anak muda kelahiran Kuala Pilah itu menerusi sebuah hantaran di entri Instagram miliknya.
ARTIKEL BERKAITAN: Yoodo Alliance Rancakkan e-Sukan Di Malaysia, Perkuat Skuad Musim Baru
“Menjunjung Kasih dan Kurnia Kebawah Tuanku D.Y.M.M Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus. Terima Kasih kepada kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan Dato Seri Haji @dsaminuddinharun.
“Dan Exco Belia Dan Sukan Negeri Sembilan YB Dato Haji @taufek_paroi atas sokongan yang diberi dalam memartabatkan Sukan Elektronik di peringkat Negeri dan kebangsaan. Semoga esport Negeri Sembilan terus berkembang dan maju jaya,” tulisnya menerusi sebuah kapsyen.
Pemerhatian Remaja mendapati, rata-rata warganet dan kenalannya turut menumpang gembira dan tidak terlepas menzahirkan ucapan tahniah buat Jumper.
Buat pengetahuan pembaca REMAJA, pingat ini hanya diberikan kepada mereka yang berbuat jasa cemerlang kepada negeri dan juga menunjukkan kebolehan luar biasa menerusi bidang yang diceburi.
Maka, Pingat Jasa Kebaktian tersebut diberikan kepada pemain itu atas hasil usahanya dan kejayaannya dalam bidang e-sukan. Dengan ini, Jumper sekaligus muncul sebagai individu kedua yang menerima Pingat Jasa Kebaktian selepas Soloz.
Untuk rekod, Izzrudin pernah mewakili Malaysia dalam kategori individual dan pasukan untuk acara PUBG Mobile di Sukan SEA ke-31, Vietnam. Tidak lupa juga prestasi cemerlang pasukan 4Rivals ketika PUBG Mobile Global Championship 2022.
Sekadar informasi, Izzrudin kini adalah ejen bebas selepas keluar dari pasukan 4Rivals pada hujung Januari.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Izzrudin Hashim
Selepas Berkahwin, Safawi Rasid Akan Berkelana Ke Thailand Awal 2023

Perkhabaran pemain kelab Johor Darul Taazim (JDT), Safawi Rasid ke Thailand sebagai ‘rumah’ baharunya telahpun disahkan oleh Pengerusi Ratchaburi FC, Tanawat Nitikanchana dan disiarkan oleh portal antarabangsa, Main Stand – International pada hari Ahad.
Penyertaan Safawi dalam kelab Ratchaburi FC untuk bermain dalam Liga Thailand adalah peluang kedua pemain berusia 25 tahun ini bermain dengan kelab antarabangsa setelah pernah bermain untuk kelab Portimonense SC dalam Liga Premier Portugal pada tahun 2020.
Percaturan untuk mengembangkan kerjayanya juga telah dibincangkan apabila Tanawat berkata segala perjanjian telahpun diselesaikan.
“Dia (Safawi) akan menyertai pasukan kami selepas menyelesaikan tugas kebangsaannya (bersama pasukan kebangsaan di Piala AFF) dan saya harap ia akan membawa manfaat dan kebaikan kepada kelab kami,” tambah Tanawat.

Untuk pengetahuan, Liga Thailand merupakan salah satu liga antarabangsa yang ‘popular’ dalam kalangan pemain Malaysia setelah ramai tonggak tempatan yang pernah beraksi di sana. Ini termasuklah Dominic Tan (2019-2021, Police Tero), Shahrel Fikri (2018, Nakhon Ratchasima) dan Junior Eldstal (2021, Chonburi FC).
Selamat maju jaya Safawi!
P.S: Agaknya, Syifa akan mengekori suaminya itu tak ke Thailand? Hehe..
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.