Pengacara, pereka fesyen dan usahawan Indonesia, Ivan Gunawan bersikap bermurah hati apabila bakal menaja pakej menunaikan ibadah Umrah kepada beberapa ratu cantik yang digilap menerusi pertandingan ratu cantik anjurannya, Miss Mega Bintang.
Menerusi sesi secara langsung di akaun Instragram beliau semalam, Ivan memaklumkan telah menawarkan pakej Umrah kepada Valdez Nova Liana (Miss Grand Indonesia 2024); Olla Levina (Miss Planet International 2024) dan Ritassya Wellgreat Waynands (Miss Grand International 2023) untuk ke sana bersama ahli keluarga terdekat seperti ibu mereka.
“Jadi kita tidak dunia-dunia saja. Sebelum puasa (bakal ke tanah suci). Jadi mereka boleh recharge badan dan recharge hati.”
“Aku ingin melihat anakku (para peserta Miss Mega Bintang terpilih) itu bahagia bersama keluarganya seperti ibunya dan insan terdekat dengannya yang selama ini menyokongnya,” katanya.
Ivan sememangnya terkenal dengan sifat dermawan di mana beliau sering dilaporkan bersedekah kepada mereka yang memerlukan termasuklah baru-baru ini membina serta mewakafkan sebuah masjid dan telaga mata air di negara Uganda untuk kegunaan masyarakat Islam di sana.
Malah, Ivan juga pernah diberikan penghargaan atas dedikasinya terhadap kegiatan sosial untuk membantu saudara Islam di negara Palestin.
Di Indonesia, Ivan mengacarakan program bual bicara popular, Brownis selama tujuh tahun bersama tiga pengacara lain iaitu Ayu Ting Ting, Ruben Onsu dan Wendi Cagur.
Beliau juga telah berkecimpung selama 20 tahun dalam industri fesyen serta pernah menggalas tugas sebagai juri dalam beberapa program realiti di negara seberang seperti Indonesia’s Next Top Model (musim kedua dan ketiga) dan Indonesia’s Got Talent.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.