Universiti Teknologi MARA (UiTM) semalam telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajarnya terjaga setelah ia menamatkan perkhidmatan seorang pensyarahnya yang didakwa telah melakukan gangguan seksual terhadap seorang bekas siswazah.
UiTM dalam kenyataan rasminya memaklumkan bahawa mereka telah melakukan siasatan mengikut garis panduan serta proses perundangan yang termaktub dalam Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605].
Mengikut akta tersebut, tindakan tatatertib boleh diambil ke atas staf yang melanggar peraturan, tatakelakuan serta larangan-larangan yang terdapat dalam Akta 605 dan Peraturan UiTM.
Terdahulu, Farah Azuin Razak yang merupakan bekas siswazah UiTM menerusi laman media sosial Twitter telah menzahirkan kekecewaannya kerana tiada tindakan undang-undang yang diambil ke atas seorang pensyarah yang didakwannya melakukan gangguan seksual terhadapnya sewaktu menuntut di UiTM Segamat, Johor.
Ini termasuklah pelbagai pertanyaan berbaur lucah terhadap bekas pelajar itu atas alasan menjalan kaji selidik. Ia juga diselang-seli dengan percakapan tidak senonoh.
Lantas, Farah dan beberapa rakan sekelas berpakat untuk merakam perbualan telefon di antara Farah dan pensyarah itu demi mendapatkan bukti.
Pada keesokan harinya, Farah telah membuat laporan di Balai Polis Tangkak bersama abangnya, rakan sekelas dan pelajar senior yang bertindak sebagai saksi.
Segala bukti rakaman perbualan telefon dengan pensyarah itu telahpun diserahkan. Begitupun, tiada tindakan susulan diambil oleh pihak berkuasa mahupun pentadbiran UiTM di kampus induknya di Shah Alam setelah lebih setahun berlalu.
Biarpun lewat mengambil tindakan, Unit Integriti UiTM dalam kenyataan semalam berkata pihaknya telah menjalankan siasatan yang teliti bermula tahun lalu lagi di mana bahan bukti dikumpulkan sebelum kesalahan dapat dibuktikan dan jenis hukuman ditentukan.
Hanya selepas siasatan dalam selesai dan dimesyuaratkan di Jawatankuasa Tatatertib Peringkat Tertinggi, UiTM telahpun menamatkan perkhidmatan berkuat kuasa serta-merta terhadap pensyarah itu.
ARTIKEL BERKAITAN : UiTM Siasat Pengantunan Seksual & Mesej Tular Pensyarah Kepada Pelajar – REMAJA
Ingat pelajar UiTM, jika ada kes gangguan seperti ini yang berlaku kepada korang, wujudnya Akta 605 ini yang akan melindungi warga universiti.
BACA LAGI : UiTM Tenang Hadapi Kecaman Warganet, Akan Ambil Tindakan Terhadap ‘Profesor T20’ Biadap – REMAJA
Sumber : BERNAMA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.