KELUARGA Malaysia : Ingin Pembangkang, Anak Muda Sama-Sama Berkhidmat

Share

 

Ucapan pertama oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia sebentar tadi telah menarik perhatian REMAJA menerusi dua poin yang disebut beliau.

BACA LAGI : Lulusan Undang-Undang Universiti Malaya, PM Ke-9 Berstail ‘Relaks’ – REMAJA

Demi memperkukuhkan asas ekonomi negara dan mengembalikan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara, Perdana Menteri meminta agar penglibatan anak muda bertambah selepas ini.

“Saya pastikan suara anak muda didengari dan diberikan tumpuan dalam kerajaan ini.”

“Jangan risau, penglibatan anda semua amat dihargai dan mengharapkan anda bersama-sama dengan kerajaan ini untuk menjayakan agenda besar pemulihan negara,” umum beliau.

Dengan baki sekitar 21 bulan saja sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, Perdana Menteri sedar; segala kemelut politik Malaysia selama ini sehinggakan posisi ‘Perdana Menteri’ perlu bertukar tangan hingga dua kali dalam satu penggal adalah sesuatu yang merugikan.

“Negara telah melalui dua peralihan kerajaan dan dua (peralihan) Perdana Menteri. Sebenarnya, peralihan tersebut dalam tempoh sepenggal adalah landskap politik yang merugikan rakyat dan negara.

“Marilah sama-sama kita bergerak ke hadapan. Kita leraikan segala perebutan kuasa politik.

“Kita sama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri untuk memulihkan semula tanah air kita ini,” seru beliau seiring dengan titah Yang di-Pertuan Agong semasa pertemuan bersama ketua-ketua parti, baru-baru ini.

PM Malaysia kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan tetap memberikan sokongan sepenuhnya kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob walaupun perlu melepaskan jawatan tersebut kepada Timbalannya. Dalam perucapan hari ini, Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin atas segala jasa dan penglibatan beliau dalam pemerintahan negara sepanjang bergelar Perdana Menteri hingga hari Isnin lepas. Sumber Foto
: Facebook Muhyiddin Yassin

Tambah beliau, dalam waktu mencabar ini, semua pihak sepatutnya bersedia untuk bekerja keras dalam satu pasukan secara harmoni. Di sinilah Perdana Menteri ingin mengajak rakyat Malaysia tanpa mengira kepercayaan politik untuk memegang prinsip kebersamaan. Usah timbulkan lagi keresahan politik yang tidak berkesudahan dan merugikan semua pihak.

“Kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan. Ini termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti.

“Justeru, saya ingin menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan jawatankuasa khas menangani COVID-19..”

Untuk pengetahuan, sebelum ini beberapa nama pemimpin muda yang pernah disenaraikan dalam cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad termasuklah Datuk Seri Azalina Othman Said, Hannah Yeoh, Fahmi Fadzil dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Selain sektor politik, MPN juga diharap dianggotai oleh kumpulan profesional dari sektor perubatan, perundangan dan ekonomi bagi mencukupkan 20 anggotanya.

Semasa pemerintahan Maaysia di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin, MPN yang digerakkan oleh Tun Dr Mahathir ini telah sempat mengadakan mesyuarat pertamanya pada 5 Ogos lalu bersama 20 anggota terpilih seperti kesemua ahli politik yang disenaraikan di atas, Tan Sri Rafidah Aziz, Prof Dr Jomo K Sundram, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Dato Dr Fadzillah Kamaludin, Profesor Datuk Dr Lam Sai Kit dan beberapa nama lain.

REMAJA masih menantikan respon ahli politik muda negara di atas penawaran Dato’ Sri Ismail Sabri ini. Adakah masing-masing mampu mengenepikan kepentingan politik dan agenda sendiri demi kesejahteraan rakyat dan negara? Atau masing-masing masih berkeras hati disebabkan permainan politik yang dicatur mereka sehingga PRU yang akan datang? Sama-sama kita nantikan.

Ikuti ucapan penuh beliau di bawah.

ARTIKEL BERKAITAN : Persalinan Khas Jovian Mandagie Buat Ibu Mertuanya Curi Tumpuan – REMAJA

Published by
FZ