Keluhan Pelajar Didengari, KPM Akan Keluar Jadual Baharu SPM

Share

 

Setelah dua malam berturut-turut keluhan lantang didengari daripada pihak calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 setelah mendapati jadual peperiksaan yang harus mereka hadapi pada bulan Februari tahun hadapan terlalu ketat, hari ini Kementarian Pendidikan (KPM) telah mengumumkan bahawa mereka bakal mengeluarkan jadual baharu SPM dalam tempoh terdekat.

Tinjauan REMAJA di media sosial sejak hujung minggu lalu mendapati ramai yang tidak berpuas hati dengan jadual peperiksaan yang meletakkan beberapa subjek kritikal secara berturutan tanpa membiarkan sedikit ruang untuk pelajar benar-benar melakukan persiapan saat terakhir dengan selesa.

Malah, mereka turut mengkritik tarikh peperiksaan yang jatuh pada hari Jumaat dan Ahad menurut paparan di portal rasmi Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Ini termasuklah subjek Princip Perakaunan Kerta 1, 2 dan 4 serta subjek Al-Adab wa Al-Balaghah yang dijadualkan pada hari Ahad, 6 Mac. Subjek lain seperti Pendidikan Seni Visual – Ujian Melukis, Pendidikan Muzik dan Reka Cipta juga pada awalnya dijadualkan berlangsung juga pada hari Ahad, 13 Mac.

Sementara itu, subjek seperti Bahasa Cina, Bahasa Iban, Bahasa Tamil, Bahasa Kadazandusun, Bahasa Semai, Bahasa Arab, Al-Luhhah Al-Arabiah Al-Mu’asirah dan Turath Bahasa Arab pula jatuh pada hari Jumaat, 18 Mac.

Oleh kerana subjek-subjek ini jatuh pada hari cuti mingguan (Jumaat atau Ahad mengikut negeri), maka ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati kerana situasi tersebut tidak pernah berlaku sebelum ini.

Lalu menerusi hantaran video di Facebook hari ini, Menteri Pendidikan iaitu Datuk Dr Radzi Jidin bekata beliau sudahpun mengadakan perbincangan dengan pihak LPM dan Pengurusan Tertinggi KPM dengan mengambil kira semua pandangan yang diberikan sama ada dari ibu bapa mahupun pelajar. Malah, pandangan pihak guru yang perlu bertugas sebagai pengawas peperiksaan juga diambil kira.

“InsyaAllah kita akan keluarkan satu jadual baharu berkaitan Peperiksaan SPM 2021 dalam masa terdekat,” jelasnya.

Terdahulu, isu jadual peperiksaan SPM 2021 ini turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

ARTIKEL BERKAITAN : Syed Saddiq Gesa KPM Ubah Jadual SPM 2021 – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ