Kemalangan Di Highway! Peguam Kongsi Pengguna Boleh Saman Syarikat Pengendali, Rugi Ramai Tak Buat

Share

Kita sering kali membaca kisah-kisah kemalangan maut menimpa pengguna jalan raya ketika menggunakan lebuhraya di seluruh negara. Bukan saja melibatkan kemalangan maut namun ada yang hilang anggota badan akibat kemalangan menimpa sehingga menjejaskan masa depan mereka.

Ada sesetengah kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu sendiri. Sama ada mengantuk, gagal memotong, memotong di lane berkembar dan sebagainya. Tapi ada juga kemalangan terjadi bukan disebabkan kecuaian pemandu sebaliknya terlanggar objek di atas jalan raya seperti serpihan kayu,tayar pecah, kotak, bekas plastik dan banyak lagi.

Tahukah semua, kita sebenarnya boleh menyaman pihak pengendali jika kecuaian berlaku di lebuhraya yang mereka selenggarakan. Baca perkongsian peguam mengenai tuntutan kemalangan ini.

Bolehkah kita menyaman dan menuntut ganti rugi dari pihak highway sekiranya berlaku kemalangan?

Boleh. Dalam kes Noor Ana Bt Bakri & 3 lagi lawan Projek Lebuhraya Usahasama Berhad & 1 lagi [2019] 5 LNS 19 mahkamah membenarkan tuntutan kehilangan tanggungan sebanyak RM 422,400.00 kepada anak dan isteri si mati dan tuntutan sebanyak RM 57,600.00 kepada bapa si mati.

Bagaimana caranya? Sebelum ini saya pernah menulis tentang tuntutan yang dibuat kepada lebuhraya dengan membuat laporan dan mengisi borang aduan di pejabat lebuhraya sendiri. Di ruang komen tulisan saya diceritakan tentang pengalaman masing-masing. Ada yang dapat dan ada yang tidak.

Jadi sekiranya anda telah mengambil langkah di atas tetapi masih gagal, anda boleh menyaman pihak lebuhraya bagi menuntut ganti rugi. Tidak kiralah sama ada kemalangan yang melibatkan nyawa atau tidak, anda berhak menyaman.

Saya terangkan lebih lanjut tentang kes di atas supaya anda jelas tentang undang-undang kecuaian lebuhraya ini dan sebagai panduan di masa akan datang.
Dalam kes di atas Noor Ana adalah isteri kepada arwah Mohd Aisamuddin. Pada 13.10.2016 jam lebih kurang 8.00 – 8.30 malam di mana Aisamuddin melalui lebuhraya dan terlanggar bongkah kayu di atas lebuhraya di KM 175.4 Lebuhraya Utara Selatan.
.

Sewaktu di Mahkamah pegawai penyiasat menyatakan bahawa bongkah kayu tersebut berada di laluan kecemasan sebelum kemalangan dan terseret ke bahu jalan akibat perlanggaran.

Menurutnya lagi bongkah kayu tersebut digunakan oleh motor/treller untuk menahan tayar dari bergerak. Bermakna arwah telah menunggang motorsikal di laluan kecemasan.

Namun demikian mahkamah berpendapat adalah menjadi tanggungjawab lebuhraya untuk menyelia dan memastikan keselamatan pengguna-pengguna lebuhraya agar ia selamat digunakan seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 11(1) Highway Authority Malaysia (Incorporation) Act 1980.
Saksi-saksi Defendan (pihak lebuhraya) mengesahkan kali terakhir membuat rondaan di tempat kejadian adalah pada jam 6.05 petang dan kejadian ini dipercayai berlaku pada jam 7.55 malam.

Mahkamah berpendapat tempoh masa 1 jam 50 minit ini adalah satu jangkamasa yang panjang untuk “membiarkan” kewujudan bongkah kayu tersebut di atas lebuhraya.

Dalam kata lain, mahkamah berpendapat ia adalah satu bentuk kecuaian dalam membiarkan bongkah kayu tersebut berada di situ sehingga menyebabkan kemalangan yang membawa kematian simati.


.

Setelah meneliti semua keterangan saksi-saksi dari kedua-dua belah pihak, mahkamah memutuskan bahawa pihak lebuhraya telah cuai namun demikian mahkamah mendapati simati turut menyumbang cuai 30% di dalam kemalangan ini.

Ini adalah kerana mahkamah mendapati simati telah menggunakan lorong kecemasan semasa kemalangan yang mana lorong itu hanya dibenarkan untuk digunakan oleh kenderaan yang menghadapi apa-apa kecemasan sahaja.

Oleh yang demikian ahli keluarga layak menuntut 70% dari RM422,400.00 bagi anak dan isteri si mati dan 70% dari tuntutan sebanyak RM57,600.00 untuk bapa si mati.

Begitulah sedikit sebanyak tentang undang-undang kemalangan jalan raya. Malah kadar kiraan ganti rugi sehingga memperolehi jumlah RM422,400.00 dan RM57,600.00 juga adalah berdasarkan peruntukkan undang-undang atas kiraan gaji terakhir si mati, umur si mati, bukti tanggungan si mati dan bukanlah kiraan tanpa asas.

Sekian berhati-hati di jalan raya dan sentiasa berwaspada. Ingat orang yang tersayang. Saya kongsikan link di bahagian komen berkenaan post terdahulu langkah-langkah menuntut dari pejabat highway tanpa prosedur mahkamah sekiranya kemalangan akibat kecuaian lebuhraya.
Oleh: Nor Zabetha

Published by
Almaswa Haji Che Ros