Kementerian Pendidikan Terima Peruntukan Terbesar #Belanjawan2020, Tidak Lupa Pelajar OKU!

Share

Masih berkisar tentang Pembentangan Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Dewan Rakyat petang tadi memang dinantikan seluruh rakyat Malaysia terutamanya apabila berlaku peralihan pentadbiran negara daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan.

Kementerian Pendidikan terus menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2020 membabitkan RM64.1 bilion, peningkatan sebanyak RM3.9 bilion berbanding RM60.2 bilion pada belanjawan tahun ini.

Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menekankan tanggungjawab dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang dapat memberi manfaat kepada pelbagai.

Menurut Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, peruntukan RM23 juta kepada sekolah kebangsaan bagi pembangunan kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu golongan itu mendapat pendidikan sama rata.

Selain itu, peruntukan ini  juga  memberi kelegaan kepada ibu bapa pelajar OKU yang ingin anak mereka tidak tercicir dalam mendapatkan ilmu pembelajaran.

“Ini merupakan berita gembira kepada anak-anak berkeperluan khas atau OKU dan ibu bapa mereka kerana buat pertama kali RM23 juta diperuntukkan untuk kita mengamalkan polisi penolakan sifar di mana kanak-kanak OKU tidak akan dinafikan hak pendidikan disebabkan kelainan upaya mereka,”ujarnya

Menjadi kementerian yang menerima peruntukan terbesar, Maszlee berkata beliau amat puas hati dan menganggapnya sebagai amanah dalam memastikan setiap peruntukan sampai kepada golongan sasar.

Sementara itu, Pengarah Pusat Genius Kurnia yang juga pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaaan Malaysia Profesor Madya Dr Hasnah Toran berkata peruntukan itu secara langsung menunjukkan kesungguhan kementerian dalam memperjuangkan hak anak-anak kurang upaya untuk ke sekolah dan mendapat pendidikan yang sewajarnya.

Syabas buat Dr Maszlee Malik, Remaja berharap #belanjawan2020 ini dapat membantu menaik taraf dan meningkatkan sistem pendidikan buat pelajar kurang upaya (OKU) seterusnya akan melahirkan lebih ramai pelajar kurang upaya yang cemerlang dalam akademik dan sukan.

Sumber : Twitter Dr Maszlee Malik, Bernama.com

Published by
Nana