Kredit foto: Pexels/Cotton Bro Studio

Zaman teknologi yang kian canggih sekarang mampu melahirkan ‘wartawan segera’ yang tumbuh melata bagaikan cendawan selepas hujan. Hampir semua pengguna gajet canggih kini sudah pandai mengedit gambar, video atau audio menggunakan aplikasi mudah. Hasil suntingan boleh disiapkan sekelip mata dengan hanya beberapa minit gubahan. Tidak hairanlah ramai ‘wartawan segera’ muncul melalui platform-platform media sosial.

Jika kita lihat budaya kemasukan pelajar ke universiti dalam bidang Komunikasi Massa pula, kian menurun saban tahun. Adakah ini akan menjadi isu yang besar? Jawapannya ialah ya. Ia akan menjadi masalah besar kepada dunia media penyiaran profesional. Bayangkan dalam masa beberapa tahun akan datang, tiada lagi norma berita sahih disebarkan, sebaliknya yang ada hanya berita popular.

Orang awam sudah tidak tahu hendak membezakan antara berita palsu dengan yang benar. Masyarakat mula menormalisasikan budaya penyebaran khabar angin. Manakala remaja, akan jadi tidak peka dalam kehidupan. Perkara yang penting dianggap tidak penting. Manakala perkara yang kurang penting rancak diperbualkan. Nilai berita? Kian dipandang sepi.

Ads

Kita hanya mampu mengeluh melihat perbezaan ketara budaya penyampaian isu semasa pada saat ini. Ia amat membimbangkan para pengamal media profesional. Benar, sesiapa sahaja mampu menjadi ‘wartawan segera’. Tetapi mereka tidak akan mampu mencapai kriteria wartawan berintelek tinggi.

Wartawan yang berilmu akan mengkaji sesebuah berita dengan teliti, menyusun simbolik kata dengan berhemah atas tujuan mendidik masyarakat. Sekaligus akan memberikan impak kepada kepada komuniti untuk berubah sikap. Perubahan sikap dan tingkah laku masyarakat yang lebih baik adalah capaian tertinggi yang patut dibanggakan oleh seseorang wartawan berintelek.

Ads

Itulah nilai cendekiawan para wartawan profesional yang tidak ada dalam diri ‘wartawan segera’. Oleh itu, janganlah memandang enteng kepada secebis ilmu komunikasi. Ia sebenarnya mampu merubah peradaban dunia.

Ads

Artikel ini ditulis oleh Puan Hazwani binti Abdul Wahab yang merupakan seorang Pensyarah di Jabatan Sains Kemanusiaan, Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial, Universiti Sultan Azlan Shah.

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI