Bak kata pepatah, melentur rebung biarlah dari rebungnya.
Tibanya bulan Ramadan memberi keterujaan bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil untuk mendidik mereka berpuasa. Bayangkanlah si kecil berusia lima dan enam tahun yang semakin petah berbicara dan bertanyakan pelbagai soalan mengenai puasa menjadikan ibu bapa lebih prihatin untuk menjelaskan mengenai ibadah puasa serta membuat persiapan untuk si kecil.
Namun bila mereka berada di sekolah mahupun pusat asuhan pasti kawan-kawan berbangsa lain juga rasa pelik bila mereka tidak mahu makan bersama secara tiba-tiba. Hal ini juga yang berlaku kepada legenda badmintan negara iaitu Datuk Lee Chong Wei.
Menurut perkongsian wira badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, anak sulungnya di sekolah di hari pertama berpuasa di mana dia dinasihatkan untuk makan di satu sudut sebagai menghormati rakannya yang lain sedang berpuasa.
Namun, anak sulungnya masih belum memahami perkara itu dan meminta penjelasan daripada bapanya.
Inilah yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik, kepelbagaian bangsanya yang boleh tinggal bersama di bawah satu bumbung dalam suasana yang penuh keharmonian.
Setiap bangsa mempunyai agama dan kepercayaan masing-masing. Dan oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk menghormati pegangan masing-masing dan contohnya seperti di bulan ramadan ini, yang bukan beragama Islam menjaga sensitiviti seperti tidak makan di depan mereka yang berpuasa, sebagai tanda hormat. Dan begitu juga jika sebaliknya.
Rata-rata warganet memuji tindakan dan respon bapa dua anak ini.