Nampaknya modus operandi love scam tidak mengenal usia. Jika suatu masa golongan berusia menjadi sasaran kerana kesunyian selain mudah diperdaya apabila digertak, nampaknya remaja juga tidak terkecuali.
Terkini, mereka menyasarkan golongan muda remaja dan sila berhati-hati dengan individu yang dikenali melalui media sosial ya. Ini kerana love scam ini sudah menggila dan hanya mahu dapatkan wang semata-mata.
Akhbar melaporkan, seorang remaja lelaki 14 tahun diperdaya seorang 'gadis' yang dikenalinya dalam laman Facebook sehingga sanggup menyerahkan RM295,950 menerusi 21 transaksi pindahan wang antara 2 Mei hingga 20 Jun lalu.
Remaja itu yang dipercayai diperdaya sindiket Love Scam bukan sahaja menyerahkan wang simpanannya tetapi juga membabitkan wang yang dipinjam daripada ahli keluarga.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata, perkenalan antara mangsa dan suspek bermula Februari lalu menerusi iklan jualan telefon di Facebook yang dibuat oleh seorang gadis bernama Dea Anis atau Anis Anis.
"Remaja itu tertarik dengan telefon yang diiklankan lalu menghubungi gadis berkenaan melalui nombor telefon yang disertakan.
"Bermula dari situ, terjalin hubungan antara mereka dan mangsa sering menghubungi gadis itu untuk berbual melalui aplikasi WhatsApp dan bermain permainan video dalam talian PUBG mobile," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Katanya, selepas empat bulan berkenalan, gadis itu meminta bantuan mangsa untuk meminjam wang dan permintaan itu dipenuhi.
"Dalam tempoh 2 Mei hingga 20 Jun lalu, mangsa meminjamkan wang kepada gadis itu melalui 21 transaksi pindahan wang ke dua akaun bank yang diberikan namun atas nama individu yang berlainan.
"Suspek berjanji akan membayar hutangnya itu namun hingga kini dia gagal berbuat demikian," katanya.
Menurutnya, selepas mengetahui penipuan itu, bapa mangsa yang berusia 53 membuat laporan polis di Balai Polis Brinchang, Cameron Highlands semalam.
"Polis kini sedang mengesan seorang lelaki pemilik nombor akaun yang digunakan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya. Sumber : BERITA HARIAN