Kemenangan Aniq Kasdan bagi kategori angkat berat 55-kilogram dalam disiplin Snatch dan Clean & Jerk berjaya membuka tirai emas Malaysia dalam Sukan Komanwel 2022 yang berlangsung di Birmingham. Bukan hanya itu, dia mencipta sejarah buat dirinya sendiri.
Aniq menamatkan saingan Snatch dengan angkatan seberat 107-kilogram dalam percubaan pertamanya. Kemudiannya, dia memecahkan rekod Sukan Komanwel dalam saingan Clean & Jerk dengan angkatan 142 kilogram.
Dengan angkatan berat keseluruhan 249-kilogram, ia sekaligus meletakkan Aniq mendahului semua atlet yang bertanding. Di tempat kedua ialah atlet India, Sanket Mahadev Sargar, manakala Dilanka Isuru Kumara Yodage dari Sri Lanka terpaksa berpuas hati berada di tempat ketiga.
KENALI ANIQ
Dilahirkan pada 16 Jun 2002, Aniq antara atlet termuda yang mewakili negara di Sukan Komanwel tahun ini pada usia 20 tahun.
Walaupun aktif sebagai atlet negara, pemilik nama penuh Mohamad Aniq bin Kasdan ini merupakan pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi di Universiti Teknologi MARA.
Dia yang merupakan anak kelahiran Johor Darul Takzim merupakan atlet angkat berat pertama Malaysia yang memenangi pingat di Kejohanan Angkat Berat Dunia 2021 yang berlangsung di Tashkent, Uzbekistan apabila dia memenangi perak dalam acara 55 kg lelaki Clean & Jerk.
Sebelum mencipta sejarah di Sukan Komanwel 2022, Aniq terlebih dahulu menggondol pingat gangsa di Kejohanan Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) 2021 yang berlangsung pada pertengahan tahun ini.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.