Kenali Gajah Oleng, Busana Tradisi Melayu Sarawak Yang Digayakan Camelia Di Istana Negara

Share

Baru-baru ini telah tular gambar Datin Seri Dayang Noor Camelia Abang Khalid yang dimuat naik jurusolek terkenal Malaysia, Khir Khalid di media sosial. Menerusi kapsyen hantaran tersebut, wanita anggun itu telah dijemput untuk mengadakan persembahan di Majlis Santapan Malam sempena memuliakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-259 di Istana Negara.

Menerima lebih enam ribu tanda suka, pujian demi pujian diberikan kerana Camelia masih lagi kekal anggun seperti permulaannya dalam dunia seni suatu ketika dahulu. Apatah lagi wajahnya dirias oleh jemari jurusolek terkenal itu.

Kredit foto: Instagram Khir Khalid

Menarik perhatian penulis adalah busana yang digayakan oleh pemenang Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik Malaysia 1998 ini. Beliau tampil mewah dan memukau dalam persalinan Gajah Oleng, busana ini merupakan pakaian tradisi atau busana adat persandingan Melayu Sarawak.

Seperti yang dijelaskan oleh Danny Zulkifli yang merupakan pemilik jenama dkeringkam yang bertanggungjawab menata gaya Camelia dalam satu hantaran di Instagram, “Walaupun terdapat pelbagai pengaruh dari pelbagai budaya di sekitar Nusantara, busana ini tetap memiliki identiti tersendiri melambangkan budaya Melayu Sarawak.

“Perhiasan mahkota bertingkat-tingkat yang mempunyai identity tersendiri dengan bentuknya seperti telinga gajah dan perhiasan kecilnya yang teroleng-oleng atau bergoyang kemungkinan besar busana ini digelar Gajah Oleng.”

Busana tradisi yang menyerlahkan aura mewah ini menggunakan fabrik  Kain Berunei yang merupakan songket tenun Melayu Sarawak dan dilengkapkan dengan pemakaian keringkam.

Jelasnya lagi, “Busana ini mempunyai beberapa komponen penting dari perhiasan kepala hingga kaki. Semunya mesti diatur mengikut aturan tertentu. Rambut mestilah disanggul lipat pandan. Busana ini dipakai sedemikian rupa sejak dahulu sehingga ke hari ini. Tukang hias atau tukang dandan mewarisi ilmu ini dari generasi ke generasi.”

Gaya pemakaian Gajah Oleng pada sekitar tahun 1960an. Kredit foto: Kuching In And Out

Menurut artikel yang disiarkan oleh laman sesawang kuchinginandout.com, kewujudan Gajah Oleng dalam masyarakat Melayu Sarawak boleh dibuktikan melalui rekod yang diterbitkan seawal pertengahan abad kesembilan belas, semasa pentadbiran James Brooke.

Ia disebut oleh Harriette McDougall dalam bukunya, Sketches of Our Life at Sarawak (1882) ketika dia menghadiri majlis perkahwinan cucu Datu Temenggong, Matussin dengan anak perempuan Nakhoda Sadum.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen