Kemenangan Malaysia ke atas Singapura semalam memberikan satu kegembiraan kepada peminat bola sepak negara yang tidak putus-putus memberi sokongan. Dengan jumlah gol 4 berbalas 1, ternyata skuad negara membuktikan yang mereka masih memiliki ‘taring’ berbisa.
Daripada empat gol yang dijaringkan, dua daripadanya merupakan hasil sepakan pemain berusia 24 tahun, Stuart Wilkin. Dia yang merupakan anak kacukan England dan Malaysia berjaya menjaringkan kedua-dua gol berkenaan berselang kurang empat minit sekaligus menarik perhatian ramai.
Jadi siapa sebenarnya pemain Harimau Malaya yang memakai jersi nombor lapan ini? Jom kita ikuti trivia mengenai dirinya.
- Memiliki nama penuh Stuart John Wilkin, dia dilahirkan pada 12 Mac 1998 di England dan kini memegang kewarganegaraan Malaysia.
- Menurut sumber, Stuart sebelum ini merupakan pelajar jurusan Komunikasi di Missouri State University dan dia merupakan salah seorang atlet bola sepak untuk kelab universiti berkenaan iaitu Missouri State Bears. Dia pernah diangkat sebagai Athlete of The Week.
- Sebelum menyertai Missouri State Bears, dia pernah dipilih sebagai salah seorang pemain Southampton FC sebagai pemain remaja.
- Jejaka kacak berketinggian 180cm ini berhijrah ke Malaysia pada 2021 apabila mendapat tawaran untuk menyertai pasukan JDT II.
- Stuart kemudiannya dipinjamkan kepada Sabah FC. Namun begitu pada Disember 2022 dia telah mengumumkan di laman Facebook miliknya yang dirinya telah menjadi pemain tetap kelab berkenaan.
- Sepanjang Piala AFF Mitsubishi 2022, Stuart telah berjaya menjaringkan tiga gol. Gol pertama ketika Malaysia menentang Laos dan dua gol lagi ketika Malaysia menentang Singapura.
- Perlawanan Piala AFF Mitsubishi 2022 merupakan kali pertama dia dipanggil untuk menyertai pasukan Harimau Malaya setelah jurulatih Kim Pang-Gon tertarik dengan gaya permainannya.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Kredit foto: Instagram Stuart Wilkin