Kenali Tengku Budriah, Cucunda Raja Kerajaan Melayu Pattani Terakhir

Share

Generasi kini pasti cukup kenal dengan negara Thailand. Ia menjadi salah satu lokasi pelancongan terdekat yang dikunjungi. Baik ke ke Bangkok atau pun Phuket, negara Gajah Putih ini memiliki hubungkait rapat dengan Malaysia dari sejarah dan juga geografi.

Tahukah anda suatu ketika dahulu Kerajaan Melayu Pattani merupakan sebuah wilayah berdaulat yang merangkumi kawasan Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla. Siapa yang tinggal di utara dan timur Malaysia seperti Perlis, Kedah dan Kelantan pasti kenal benar dengan empat daerah ini bukan?

Tengku Abdul Kadir Kamaruddin Syah. Sumber gambar: Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan

Raja terakhir yang memerintah Pattani adalah Almarhum Tengku Abdul Kadir Kamaruddin Syah. Baginda telah dibuang negeri dan dilucutkan jawatan sebagai raja pada tahun 1902 oleh Raja Siam (kini dikenali sebagai Thailand) yang berjaya menawan wilayah selatan. ketika cuba melindungi kerajaan Pattani Tengku Abdul Kadir pernah ditangkap dan dipenjara oleh Raja Siam kerana mengingkari arahan.

Baginda kemudiannya telah tinggal di Kelantan sebagai tempat berlindung.

Walaupun begitu keturunan baginda masih lagi cuba membebaskan Pattani dari cengkaman Siam dengan menubuhkan beberapa pergerakan namun mereka tidak berjaya apabila ketika itu British lebih memihak kepada kerajaan Siam. Walaupun kini sudah tiada kerajaan Melayu Pattani di wilayah selatan Thailand, masih banyak peninggalan dahulu kala seperti istana dan juga masjid yang masih tersergam indah biarpun dimamah usia.

Masid Krue Se ataupun Masjid Kerisik merupakan antara tinggalan kesultanan Melayu di Pattani. Sumber gambar: Tourism Thailand

YMM RAJA PEREMPUAN BESAR TENGKU BUDRIAH

Almarhum Tengku Budriah merupakan cucunda Almarhum Tengku Abdul Kadir Kamaruddin Syah menerusi bonda baginda iaitu, Almarhum Tengku Besar Zubaidah binti Tengku Abdul Kadir. Tengku Budriah dilahirkan di Kuala Krai Kelantan pada tahun 1924 dan kemudiannya baginda mendirikan rumah tangga bersama Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail pada tahun 1941 ketika berusia 17 tahun. Almarhum Tuanku Syed Putra merupakan Raja Perlis yang ke-6.

Almarhum Tengku Budriah telah dimuliakan dengan gelaran Raja Perempuan Besar Perlis selepas anakandanya menaiki takhta kerana kemangkatan Tuanku Syed Putra. Sumber gambar: Warisan Permaisuri

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan 10 orang cahaya mata, lima putera dan lima puteri. Raja Perlis kini iaitu DYMM Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail merupakan anakanda sulung baginda berdua.

Sepanjang hayatnya, baginda pernah bergelar Raja Permaisuri Agong apabila suaminya ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Agong Malaysia ke- 3. Tengku Budriah amat aktif dalam memperkasakan peranan wanita di dalam negara. Baginda banyak menjadi penaung kepada persatuan seperti: –

  1. Yang Dipertua Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKLIM)
  2. Penaung Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah.
  3. Penaung Lembaga Perkumpulan Perempuan Islam Perlis.
  4. Penaung Persatuan Dialisis Tuanku Syed Putra
  5. Penaung Persatuan Hoki Wanita Malaysia.

Salah seorang adinda Almarhum Tengku Budriah merupakan seorang ahli politik dan bekas Menteri Malaysia, iaitu YBM Tengku Sri Mara Raja Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen bin Tengku Mek Haji Ismail. Tengku Ahmad Rithauddeen merupakan bekas menteri kabinet kerajaan Malaysia yang pernah memegang portfolio seperti Menteri Pertahanan dan Menteri Luar Negeri.

Mangkat pada 28 November 2008 pada usia 84 tahun. Almarhum Tengku Budriah meninggalkan legasi sebagai seorang permaisuri dan raja perempuan yang sangat mengambil berat tentang hal ehwal pembangunan wanita.

Kalau nak tahu Almarhum Tengku Budriah merupakan nenda tiri kepada pempengaruh media sosial terkenal, Chazynash atau nama sebenarnya YM Syed Fernash Syed Badlishah Jamalullail.

P/S: Sebagai remaja generasi baharu, kita harus mengenali serba sedikit tentang sejarah negara sebagai pengetahuan umum agar cerita bangsa tidak mati ditelan zaman. It is good to know about our past history.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber: (1), (2), (3)

Published by
Fiezreen