Esok, 22 Mei tepat dua minggu rakyat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Dalam pilihanraya ke-14 kali ini menyaksikan kerajaan Barisan Nasional tumbang selepas 61 tahun memerintah negara dan kerajaan kini menjadi milik Pakatan Harapan yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7.
Di sebalik isu politik yang mengujakan orang ramai mengetahuinya khususnya tentang rampasan barangan di rumah bekas kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, isu beg tangan Hermes Birkin, barangan kemas, peti misteri dan banyak lagi isu lain, ada sesuatu yang mungkin sudah dilupakan oleh penyokong kuat Barisan Nasional kali ini.
Mungkin kisah DS Najib yang mengaku dia kini penganggur, DS Rosmah yang sudah dapat tidur dengan lena, Khairy Jamaluddin yang mula memberi “smash” kepada kepimpinan terdahulu yang mana bekas Menteri Belia dan Sukan itu meminta agar tiga kerusi utama Umno iaitu kerusi Presiden, Naib Presiden yang sebelum ini tidak dipertandingkan, perlu dipertandingkan sehingga menimbulkan cakap-cakap di belakang mengenai tindakannya.
Lupakan seketika soal itu kerana biar nampak remeh tetapi ia menampakkan “kesetiaan” adalah sebenarnya bersangkut paut dengan soal wang.
Jika diperhatikan, banyak bahan kempen Barisan Nasional masih tidak dibuka khususnya melibatkan bendera parti yang masih memenuhi sebahagian jalan raya sedangkan tarikh menurunkan bahan kempen akan tamat esok iaitu selepas 14 hari pilihanraya diadakan pada 9 Mei lalu.
Sedikit info, calon wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri perlu meletakkan deposit sebanyak RM5000 manakala bagi Parlimen pula RM10,000. Manakala deposit bagi bahan kempen bagi Parlimen adalah sebanyak RM5000 dan bagi DUN adalah sebanyak RM3000. Kesemua bahan kempen ini perlu dibersihkan sekurang-kurangnya 14 hari dari tarikh pilihanraya diadakan.
Tinjauan REMAJA bagi Parlimen Lembah Pantai yang menyaksikan Fahmi Fadzil dari Pakatan Harapan menumbangkan Raja Nong Chik mendapati masih banyak bahan kempen Barisan Nasional dipandang sepi biar tarikh ini semakin dekat. Tidak hanya di Lembah Pantai, DUN Kuang yang menyaksikan BN tumbang juga masih berdiri megah bekas Adun kawasan itu bergambar bersama bekas Perdana Menteri.
Tindakan ini seolah-olah membuktikan “ADA KERJA ADA DUIT”, No Money No Talk dan bukannya kerana cinta dan ada semangat kepartian itu sendiri. Satu sumber memaklumkan, kebanyakan anak muda yang bertindak memasang bahan kempen ini memperoleh RM150 seorang jika memasang bendera. Mungkin selepas Barisan Nasional tumbang, sudah tiada siapa ambil tahu, berminat untuk ambil tahu kerana tahu tiada wang kalau mereka melakukan kerja menurunkan bendera parti ini.
Masa yang sama, bahan kempen dari Pakatan Harapan sudah banyak diturunkan. Begitu juga dengan PAS berbanding bahan kempen untuk Barisan Nasional.
Menurut peraturan Suruhanjaya Pilihanraya calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberi tempoh selama 14 hari selepas hari pengundian untuk membersihkan semua kelengkapan yang berkaitan dengan pilihan raya.
Sekiranya bahan kempen itu tidak dibersihkan, wang deposit bahan kempen iaitu RM5,000 bagi calon Parlimen dan RM3,000 bagi calon Dewan Undangan Negeri tidak akan dipulangkan.
Ini bermakna, jika kita bekerja kerana DUIT, inilah yang dapat kita lihat.