Kenapa Dua Remaja Malaysia Ini Layak Diviralkan Kerana Pencapaian Mereka?

Share

Membaca kisah kejayaan Muhammad Aman bin Ahmad Tifli berusia 20 tahun dan dinobatkan sebagai pelajar terbaik Fizik peringkat A-Level, kami di majalah Remaja ingin mengucapkan tahniah buat anak muda ini.

Ternyata, dalam negara tidak pernah tandus dengan mereka yang berjaya dalam pelajaran. Dan ini amat membanggakan bagi anak muda Malaysia yang sememangnya sangat cerdik tetapi kurang didedahkan kejayaan mereka. Ia bukan seperti kisah gadis cendol manja yang mendapat sejuta viewer biarpun tiada kisah kejayaan mereka kecuali diviralkan atas sebab-sebab kurang pasti.

Bukan saja kejayaan Muhammad Aman, malahan di web site Majlis Amanah Rakyat (MARA) semalam turut memaparkan ucapan tahniah buat Nurfarisha Ahmad Fazli, bekas pelajar MRSM Parit yang mewakili delegasi Malaysia ke United Nation Winter Youth Assembly di ibu pejabat United Nation (UN) di New York.

Carian Remaja mengenai Winter Youth Assembly ini ia  adalah satu persidangan melibatkan golongan remaja yang cerdik dan mereka akan membincangkan isu-isu  semasa. Malah mereka akan membentangkan idea mengenainya di hadapan golongan berpengaruh di United Nation itu sendiri. Sudah tentulah ia bukan satu perkara mudah kerana mereka yang berada di UN adalah orang-orang pintar dan berpengaruh di dunia.

Aman dinobatkan sebagai pelajar terbaik Fizik Jerman di GMI dan bakal ke luar negara dalam masa terdekat untuk menyambung pengajian di sana

 

Inilah Nurfarisha yang mewakili Malaysia ke UN. Tahniah dari Majalah Remaja

 

Tetapi sayang, artikel mengenai kedua-dua remaja pintar ini tidak banyak disiarkan kecuali hanya berita mengenai Aman yang disiarkan dua hari lepas. Baca artikel ini di bawah ini dan bagaimana dia berkongsi tip belajarnya.

Kalau anak muda lain sibuk dengan Instastory, OOTD, panama dance dan juga viral gadis cendol, lain sekali dengan Muhammad Aman bin Ahmad Tifli. Pemuda berusia 20 tahun ini sibuk mempersiapkan bagasinya untuk terbang ke Jerman bulan depan.

Beliau baru sahaja diumumkan sebagai pelajar terbaik keseluruhan bagi subjek Fizik peringkat peperiksaan As (GCE A-Level kerjasama UCLES United Kingdom) di majlis graduasi pelajar Program Persediaan A-Level Jerman di German-Malaysian Institute (GMI) di Dewan Gemilang Mercu Idaman di kampusnya di Kajang Selangor. Aman mencapai markah tertinggi dan pelajar terbaik bagi subjek Fizik dari seramai 101 orang pelajar Persediaan A-Level Jerman bagi kumpulan 2016.

Kata Aman, “Tak ada rahsia khusus, hanya saya banyakkan ulangkaji soalan-soalan tahun lepas”. Ujarnya lagi untuk seseorang mahir dalam subjek Fizik. Mengekalkan momentum pembelajaran sangat penting dan beliau nasihatkan jangan hanya belajar di saat-saat akhir menjelang peperiksaan.

Untuk kemahiran berbahasa Jerman pula, Aman hanya banyakkan menonton filem-filem Jerman dan sebanyak boleh mempraktikkannya dengan berkomunikasi dengan rakan-rakan dan juga pelajar praktikal dari Jerman yang berada di GMI. Bahkan katanya, semasa dipilih mengikuti program persediaan A Level ke Jerman di GMI, beliau tiada langsung pendedahan kepada Bahasa Jerman dan mula mempelajarinya di kampus GMi sahaja.

Anak kedua dari tiga adik-beradik ini ialah bekas pelajar SMK Seksyen 7 Shah Alam,  Selangor  ditawarkan Skim Pelajar Cemerlang MARA untuk program Persediaan A-Level Jerman di GMI selepas menerima keputusan cemerlang SPMnya.  Selama 22 bulan di GMI, Aman akan menyambung perjuangan ilmunya di Weilheim Jerman awal bulan Mac 2018 ini. Minatnya ialah ingin melanjutkan pengajian dalam Kejuruteraan Komputer di Universiti of Applied Sciences Jerman pada musim dingin 2018 ini iaitu sebaik melengkapi program insentif enam (6) bulan bahasa Jerman dan menduduki peperiksaan Bahasa Jerman, TesDAF.

Aman sempat menceritakan kenangan manis di GMI iaitu penglibatan aktifnya dalam  pertandingan pidato dan mewakili GMI di Tenby Kuala Lumpur untuk Persidangan Model UN (United Nations Security Council) 2017 dan di Taylors College Seri Hartamas untuk Persidangan Model UN (United Nations International Strategy  for Disaster Reduction) memenangi kategori delegasi terbaik 2017. Aman juga aktif dalam sukan Frisbee dan memanah.

Satu perkara yang sinonim apabila menemubual pelajar cemerlang ialah tidak lekang dari bibir mereka ucapan terima kasih dan penghargaan kepada ibu bapa mereka. Ini juga yang diucapkan  Aman. Beliau sangat berterima kasih dan menghargai setiap pengorbanan yang dilakukan oleh ayahnya, Encik Ahmad Tifli Talha dan ibunya, Puan Noraniza binti Abdul Latif  untuk melihat dirinya cemerlang.

Tahniah Aman dan moga Malaysia melahirkan lebih ramai pemuda bersahsiah tinggi seperti Aman.

Kredit :e-warta Mara

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros