Sekarang ini majoriti rakyat terkena “demam” pilihanraya. Tinggal 7 hari lagi sebelum rakyat keluar mengundi memilih calon yang disukai mereka. Sama ada Barisan Nasional, Pakatan Harapan atau PAS, undi adalah rahsia.
Rata-rata kawasan perumahan, bandar, ceruk kampung dipasang dengan poster parti masing-masing. Terasa meriah sangatkan. Pemandangan begini hanya wujud ketika musim pilihanraya sahaja. Bahkan kalau orang nak bercakap soal politik, inilah masanya kerana selepas itu, kehangatannya sudah tidak terasa.
Paling berdebar menanti sekarang ialah calon-calon yang bertanding sama ada baik di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, debarnya mengalahkan orang nak jabat tangan tok kadi masa nikah!
Di sebalik tak sabar menanti hari mengundi, tentu korang perasankan yang sudah banyak khemah-khemah di dirikan di tepi-tepi jalan. Paling banyak adalah di tepi sekolah! Betul tak?
Kalau tak dekat dengan sekolah pun, lokasi khemahnya agak strategik iaitu yang boleh dilihat oleh orang ramai.
Kalau korang nak tahu khemah ini dipanggil “Pondok Panas”?. Kenapa agaknya ya dipanggil Pondok Panas? Apa fungsinya? Kenapa khemah ini wujud ketika pilihanraya sahaja?
Menurut Encik Nordin yang terlibat dalam pemasangan pondok panas dan poster di Parlimen Lembah Pantai yang menampilkan calon Fahmi Fadzil mewakili Pakatan Harapan, Fauzi Abu Bakar mewakili PAS dan Dato Raja Nong Chik Raja Zainol Abidin Fadzil mewakili Barisan Nasional katanya pondok panas adalah tempat berkumpulnya ahli-ahli parti pilihan masing-masing.
“Biasanya boleh dikatakan setiap malam, ahli-ahli parti duduk di sini. Sama ada makan-makan, minum, berbual dan sebagainya, pondok panas ini merupakan “gelanggang” awal untuk penyokong parti mengetahui berita terkini mengenai calon mereka, calon lawan dan sebagainya.
“Masa yang sama juga biasanya kita akan adakan ceramah berkelompok dan juga ceramah awam. Kalau ceramah kelompok, ia kecil-kecilan tetapi kalau awam, kedatangan orang lebih ramai,” katanya memaklumkan, antara fungsi lain pondok panas ialah membantu pengundi yang masih terkeliru untuk mengundi di sekolah mana yang mana semakan boleh di buat di sini dengan hanya bawa kad pengenalan masing-masing di setiap pondok panas ini,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya lagi, bagi orang muda yang ingin penjelasan lebih lanjut tentang pilihan parti masing-masing, boleh menuju ke pondok panas ini kerana ia terbuka kepada semua.
Terakhir dan paling utama, kenapa pondok panas ini disebut sebegitu adalah kerana di pondok inilah penyokong-penyokong parti masing-masing akan cuba merayu kepada orang ramai untuk memilih calon mereka di hari mengundi kelak. Sebab itulah ia dinamakan pondok panas kerana peraih-peraih undi ini akan sedaya upaya “memujuk” pengundi dengan pelbagai gelagat tersendiri.
“Biasanya pada hari mengundi peraih undi dilarang berada dekat dengan kawasan mengundi. Jadi di pondok panas inilah mereka akan cuba meraih undi sebanyak mungkin agar calon pilihan mereka memenangi pilihanraya tersebut. Adakala wujud provokasi-provokasi dari parti lawan kerana masing-masing ada pandangan tersendiri mengenai politik. Sebab itulah khemah ini disebut sebagai pondok panas,” katanya lagi.
Apa yang pasti, pondok panas ini hanya wujud ketika pilihanraya sahaja tau!.