Ramai dari kalangan orang muda terlalu mengambil mudah waktu bangun dari tidur. Rata-ratanya akan tidur lewat sama ada keluar lepak dengan kawan-kawan, membelek-belek dalam tempoh berjam-jam atau paling tidak menonton tv.
Biasanya bila matahari sudah tegak di atas kepala, barulah hendak bangun. Bangun pun kerana lapar atau sudah kena bebel dengan mak ayah. Sudah tentulah solat Subuh akan tertinggal jika sudah bangun meninggi diri sedangkan pagi adalah permulaan rezeki yang sangat dituntut.
Bagi golongan remaja dan anak muda baik lelaki mahu pun perempuan yang liat sangat nak bangun pagi dan solat Subuh ini, Ustaz Abu Hurairah Asifa berkongsi tip paling mudah bagaimana mudahnya nak bangun pagi.
Rupanya taklah susah sangat, apa yang penting ialah tinggalkan sikap buruk dan barulah hidup kita akan lebih mendapat keberkatan Allah. Kalau selama ini kita tertanya-tanya kenapa Allah kurang beri rezeki, susah sangat nak dapat kerja, tak boleh masuk apa cikgu ajar, duit tak banyak pun di tangan serta bermacam-macam masalah lain, solat Subuh adalah jawapan kepada segala-galanya.
Baca perkongsian dari Ustaz Abu Hurairah Asifa ini.
Tips nak bangun subuh awal.
- Tido awal. Lepas pukul 10 malam adalah waktu paling baik untuk rehat. Dalam hadis menyebut tentang 1 jam pertama selepas isyak adalah waktu yang sepatutnya manusia itu rehat.
- Kurangkan melihat handphone selepas pukul 10 malam. Yang menyebabkan kita susah nak bangun subuh adalah bebannya mata yang melihat banyak kejahatan di media sosial dan internet.
- Maghrib dan isyak, wajibkan diri untuk berada di rumah. Demi untuk memastikan kita dapat solat maghrib dan isyak yang tak lewat. Masuk waktu, kita solat terus. Itulah kekuatan untuk bangun subuh.
- Sebelum tidur, banyakkan zikir dan selawat. Baca doa sebelum tidur juga akan membantu kita untuk bangun subuh. Jangan tidur lepas tengok movie. Jangan tidur lepas baca gosip rampas suami orang. Jangan tidur lepas komen buruk di fb orang lain.
- Sebelum tidur, macam-macam kita baca. Baca doa. Baca hadis. Baca Al Quran. Tapi, bila tersedar kita lupa nak baca doa. Sedangkan, bila kita baca doa maka akan terputuslah tali yang mengikat dan memalaskan kita untuk bangun subuh.
- Minta pada Allah untuk bangun subuh. Minta lah. Kerana kekuatan bangun subuh ini juga ada pada Allah. Bangunkan aku wahai Allah esok hari. InsyaAllah, kita akan mudah bangun subuh.
Ini antara cara yang kita boleh lakukan supaya kita dapat bangun subuh.
Kerana, berkat pertama itu bermula dari subuh.
Kalau subuh kita pukul tujuh, mampu kah kita hidup hari ini, di mana kita hidup dalam akhir zaman yang sangat menyakitkan?
Mampu nak hadapi ujian?
Mampu nak hadapi kecaman?
Kekuatan itu ada pada subuh. Carilah keberkatan subuh.