Sambutan luar biasa daripada puluhan ribu penonton yang hadir pada Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur, di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi ternyata memberi impak cukup kuat kepada ahli band tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Chris Martin ‘Sujud’ Di Depan Pesawat Bukan Benda Baharu, Peminat Anggap Vokalis Coldplay Ambil Berkat
Chris Martin, penyanyi utama, menyatakan bahawa mereka tidak pernah menyedari sebegitu ramai peminat mereka di Malaysia yang sudah sekian lama menantikan konsert mereka.
“Kenapalah kami tidak berkunjung ke sini lebih awal. Selama lebih 20 tahun, orang pernah cakap penonton di sini adalah antara yang terbaik di dunia,” katanya.
Seperti yang diramalkan, hujan mulai turun beberapa minit setelah kumpulan itu menyelesaikan lagu pertama. Walaupun begitu, penonton tetap bertahan tanpa berganjak, merelakan diri dibasahi hujan yang turun.
“Terima kasih kerana sanggup berhujan, meredah trafik, datang demi kami, dan menyayangi kami. Ini hujan rahmat dan terima kasih setia menunggu 27 tahun,” komennya.
Kesetiaan penonton selama ini terbalas apabila Coldplay, yang turut dianggotai oleh Johny Buckland, Guy Berryman, dan Will Champion, memberikan pengalaman konsert yang sangat memukau.
Disajikan dengan persembahan yang penuh warna dan prop yang menarik. Bahkan, beberapa sesi letupan bunga api di udara turut memeriahkan lagi persembahan mereka.
Beberapa lagu yang dimainkan termasuk Fix You, Yellow, The Scientist, Viva La Vida, My Universe, Clocks, In My Place, Paradise, dan banyak lagi.
Sekadar info, peminat dimaklumkan sudah berbaris untuk memasuki pintu stadium seawal 7 pagi meskipun pintu hanya akan mula dibuka pada jam 5 petang.
BACA LAGI: Angkara Obses Dengan Jimin BTS, Pelakon Kanada Meninggal Dunia Selepas Jalani 12 Pembedahan
KREDIT FOTO:
Instagram Coldplay+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.