“Kenduri Sanding Patutnya 3 Februari Ini”, Suami Isteri Maut Dibunuh

Share

Ternyata cinta keduanya dibawa ke alam barzakh. Niat pasangan suami isteri untuk bersanding pada 6 Februari akan datang di kampung masing-masing berakhir apabila keduanya maut dalam kebakaran Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor semalam.

Awalnya kebakaran ini dianggap kes biasa tetapi bedah siasat ke atas mayat Norwahidah Abdul Hamid, 28 tahun mendapati ada kesan kecederaan akibat hentakan benda keras di kepalanya.

Dalam laporan Kosmo, suasana sedih menyelubungi ahli keluarga pasangan ini di mana ahli keluarga Wan Mohd Baharul Nizam Wan Bakar, 35 berkata, mereka amat bersedih dengan tragedi yang menimpa dan masa yang sama sukar menerima kenyataan pahit ini.

Ahli keluarga Wan Mohd Baharul Nizam Wan Bakar menunjukkan replika kad pengenalan besar yang pernah dihadiahkan arwah sebagai kenangan. Gambar Kosmo.

Ibu Wan Mohd. Baharul Nizam, Siah Mohamad, 65, berkata, mereka sekeluarga terkilan kerana kejadian tragis itu berlaku terlalu hampir dengan majlis resepsi sebelah perempuan dan menyambut menantu yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini dan Rabu depan.

“Kali terakhir saya menghubunginya (Wan Mohd. Baharul Nizam) pada malam sebelum kejadian. Saya memintanya membeli pinggan berwarna putih di Ikea.

“Pinggan itu untuk mengisi lauk-pauk untuk kenduri menyambut menantu dia dan isterinya yang dijadual pada hari kedua Tahun Baru Cina ini.  Kebetulan kanopi dan tirai pelamin yang ditempah juga berwarna putih,” katanya ketika di rumahnya di Felda Tenang, Hulu Besut dekat sini hari ini.

Siah berkata, Wan Mohd. Baharul Nizam yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik bernikah dengan isteri, Norwahidah Abdul Hamid, 28, pada akhir November lalu.

Ada kesan pukulan di kepala

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat mengklasikasikan kes kebakaran semalam adalah kes jenayah.

Beliau berkata ia berdasarkan laporan awal bedah siasat mangsa wanita mendapati ada kesan kecederaan akibat hentakan benda keras di kepala.

“Berdasarkan keterangan ini dan beberapa keterangan yang diperoleh di tempat kejadian, kes diklasifikasikan semula sebagai bunuh. Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, Selasa.

Awalnya kes suami isteri ini dianggap kebakaran biasa namun bedah siasat mendapati ada hentakan tumpul di kepala Norwahidah Abdul Hamid dan kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Beliau berkata laporan bedah siasat terhadap mangsa lelaki bagaimanapun belum diperoleh.Berikutan itu, polis kini masih dalam proses merekod keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan, katanya.

Pada Isnin, Wan Mohd Baharul Nizam Wan Bakar, 35, dan Norwahidah Abdul Hamid, 28, ditemukan mati dalam kebakaran di sebuah rumah teres setingkat di Taman Desa Vista dekat sini.

Kedua-dua mereka adalah penjawat awam yang bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali dalam kenyataan pada Isnin dilapor berkata pihak bomba terpaksa memecahkan jeriji di pintu utama serta pintu rumah itu yang berkunci dari dalam.

“Anggota bomba yang berjaya masuk ke bilik utama menemui seorang lelaki di dalam tandas bilik utama rumah itu mayat wanita itu ditemui ditemui terbaring di atas tilam dengan kesan terbakar,” katanya.

Jurucakap bomba sebelum ini berkata Norwahidah maut di tempat kejadian manakala suaminya yang menerima rawatan daripada anggota Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) juga gagal diselamatkan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 1.13 tengah hari. – BERNAMA

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros