
YouTuber mukbang Korea, Hamji yang mempunyai seramai 5.31 juta pengikut di laman tersebut mengatakan bahawa pada 18 Januari lalu, agensi Tiongkok memberitahunya bahawa mereka telah menamatkan kontrak beliau kerana mendakwa Hamji telah mengatakan Kimchi dan Ssam (bungkusan sayuran) adalah makanan Korea.
Pada 15 Januari lalu, Hamji telah menyiarkan videonya makan sotong kurita Bibimpap dan kimchi putih di saluran YouTubenya. Namun, perbalahan kuat dibahagian komen tercetus antara penonton Korea dan Cina yang menonton video tersebut.

Alasan hujah tersebut adalah kerana Hamji menekan butang ‘like’ pada salah satu komen netizen yang mengatakan “Saya marah kerana orang Cina mendakwa bahawa Ssam adalah milik mereka, tetapi saya gembira kerana anda telah menyiarkan video makan Ssam.
Kontroversi semakin memuncak kerana komen tersebut telah disalah tafsir dan netizen China membincangkan isu tersebut bersama YouTuber di media sosial Weibo yang mengatakan bahawa Hamji menghina orang-orang Cina. Sejak itu, netizen China telah meninggalkan komen jahat pada video mukbang Hamji.
Agensinya dari China sudah membuat permohonan maaf tetapi netizen China masih tidak berhenti menyiarkan komen-komen negatif.
Hamji secara peribadi menjelaskan tentang kontroversi itu dan menyiarkan mesej di komuniti YouTubenya. Dia menjelaskan bahawa agensinya meminta maaf kerana ramai netizen China percaya bahawa dia telah memfitnah orang Cina.

Hamji turut menjelaskan perbuatannya menekan butang ‘like’ pada komen tersebut kerana dia percaya bahawa Kimchi dan Ssam adalah makanan dari Korea dan tidak masuk akal jika isu ini mahu menjadi perdebatan tentang adakah ia milik orang Korea atau China.
YouTuber mukbang ini juga turut menjelaskan bahawa agensi China yang membantunya menguruskan saluran di China telah memberitahu mengenai penamatan kontrak pada 17 Januari.
Menurut agensi China, mereka telah mengesahkan secara rasmi untuk memutuskan semua hubungan kerjasama dengan Hamji kerana kontroversi dan penghinaannya yang telah memberi kesan kepada masyarakat di China. Mereka mendakwa YouTuber itu telah melukai perasaan peminat di China dan memutuskan kepercayaan dengan syarikat tersebut.
Hamji memohon maaf atas kesalahfahaman yang telah menyebabkan pengikutnya terluka dan tidak akan mempromosikannya di China jika dia harus mengatakan bahawa Kimchi adalah makanan orang China.
Fuh, macam-macam pula jadinya. Tak pernah pula kami tengok drama Cina makan Kimchi. Hiks! Diharap isu ini tidak lagi menjadi perbalahan kerana Hamji pun sudah bersetuju untuk tidak lagi mempromosikan videonya di China.
Sumber: Allkpop
TERIMA KASIH – 7 Pemimpin Ini Akan Dirindui Setelah 2 Tahun Pemerintahan

Isi Kandungan
Toggle
Pelantikan Perdana Menteri di bawah gabungan kerajaan baru pada hari ini akhirnya berlangsung juga.
ARTIKEL BERKAITAN: Ucapkan Hello Kepada PM Ke-8
Hasilnya, beberapa pemimpin yang telah menerajui tampuk kerajaan sejak 2018 kini perlu memberikan laluan kepada pemimpin baharu di kementerian masing-masing.
Tinjauan di media sosial sejak pertengahan minggu ini menunjukkan betapa rakyat mampu untuk membezakan di antara pemimpin yang benar-benar ikhlas bekerja dan pemimpin yang sekadar bermain dengan agenda politik.
Kepada 7 orang pemimpin ini, rakyat mengucapkan TERIMA KASIH atas usaha yang telah kalian lakukan. Ini adalah penghargaan REMAJA buat mereka.
Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR)
Timbalan Perdana Menteri wanita pertama di Malaysia ini cukup hebat dan melakar sejarah terutamanya untuk wanita di Malaysia.
Sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, warga kementerian yang dipimpin beliau tahu betapa dedikasinya masa dan tenaga yang diluangkan oleh beliau untuk melakukan yang terbaik dalam agenda kementerian tersebut.
“Sebelum saya mengundur diri, saya ingin mengucapkan penghargaan saya terhadap semua orang yang telah menjalankan tugas kepada negara sewaktu saya memimpin kementerian.”
YB Hannah Yeoh (DAP)
Sama ada dalam rakyat sedar atau tidak, Yang Berhormat Hannah Yeoh tidak putus-putus memperjuangkan hak wanita, memperkasakan golongan ibu dan kanak-kanak serta memberikan galakan yang tak berbelah bahagi.
Beliau tidak seperti sesetengah ahli politik yang menanti masa untuk memuat naik posting yang boleh menimbulkan ketegangan.
“I would not do it even if I has the time because we are limited by law, by time, by politics but the Almighty isn’t. Clean hands and clean hearts matter. Saya tahu kini Putrajaya mempunyai ramai kakitangan kerajaan yang berdidikasi. Teruskan bekerja!”
YB Yeo Bee Yin (DAP)
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ini selalu mengingatkan kakitangan kementerian beliau bahawa mereka memegang amanah dan tanggungjawab daripada rakyat.
Kini sarat mengandung sambil bekerja, beliau tetap positif dengan masa hadapan negara.
“Saya harapkan kita semua masih mempunyai kepercayaan pada sistem perlembagaan. Percaya jika kita lakukan yang terbaik, rakyat akan dapat yang terbaik. Tak kiralah siapa yang akan menjadi menteri selepas ini, saya harap kita (kakitangan kementerian) akan selalu ingat tagline kita ‘Own It Do It Ace It’.
Dr Dzulkefly Ahmad (AMANAH)
Dr. Dzul sedari awal sudah memperkemaskan bio di akaun Twitter beliau yang kini tercatit jawatan ‘X-Minister of Health’.
Bekas Menteri Kesihatan ini banyak berjasa menerusi kementerian yang dipacu beliau walaupun dalam tempoh 2 tahun saja. Cara Kementerian Kesihatan mengendalikan kes Covid-19 begitu teratur.
Di bawah pimpinan Dr Dzul juga, rakyat berpeluang menerima rawatan vaksin pneumococcal secara percuma dan Malaysia mempraktikkan peraturan ‘Rokok 3 Meter’ walaupun pada awalnya mendapat tentangan.
Dr Maszlee Malik (BERSATU)
Tidak Bersetuju Dengan Gabungan Baru
Bekas Menteri Pendidikan ini kekal dengan prinsip dan integriti tidak kiralah tentangan yang beliau terima sepanjang kepimpinan.
Sebelum melepaskan jawatan pada awal Januari lalu, perjuangan Dr Maszlee Malik untuk warga pendidik dan pelajar di Malaysia diterima positif oleh ramai orang termasuklah isu ‘kasut hitam’ yang dipopularkan. Kini amanah yang beliau terima sebagai Ketua Bahagian BERSATU Simpang Renggam akan cuba digalas beliau sebaik mungkin.
YB Anthony Loke (DAP)
Yang Berhormat Anthony Loke diakui telah memegang jawatan Menteri Pengangkutan dengan baik. Ya, bukan mudah untuk Kementerian Pengangkutan menyelesaikan semua isu dalam tempoh 2 tahun saja, namun menteri yang rajin melakukan ‘spot check’ secara rawak ini dilihat terus berusaha.
YB Gobind Singh Deo (DAP)
Akhir sekali tentulah Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Beliau memberi sokongan dan perhatian terhadap pembangunan industri kreatif digital melalui kempen seperti MYGameOn dan aniMy.
Beliau juga menggesa TM menurunkan harga langganan Streamyx kepada pakej paling murah (RM69 untuk kelajuan 8Mbps) dan memperluaskan lagi jaringan gentian optik ke kawasan yang sebelum ini tidak mendapat liputan.
*
Siapakah lagi menteri dan timbalan menteri yang kita semua hargai?
“Ahli Politik Datang Dan Pergi..” – Apa Rancangan Syed Saddiq Selepas Ini?
Kenapa Orang NS Tak Dibenarkan Kahwin Sesama Suku? Tak Sangka Ini Sebabnya

Siapa orang Negeri Sembilan yang membaca artikel ini?
Jangan pula bersangka ianya agak “kejam” tetapi negeri yang terkenal menjunjung adat perpatih ini amat menitik beratkan adat yang sudah turun temurun diamalkan.
Sebagai satu-satunya negeri yang mengamalkan adat Pepatih yang menumpukan perhatian lebih kepada golongan perempuan, sudah tentulah negeri yang kaya dengan adat ini dijunjung sepenuhnya.
Bagi korang yang ingin tahu dan belum tahu, di Negeri Sembilan ada 12 suku iaitu biduanda (suku inilah yang membolehkan individu dilantik sebagai pemimpin), Batu Hampar, Paya Kumbuh, Mungkal, Tiga Nenek, Seri Melenggang, Seri Lemak, Batu Belang, Tanah Datar, Anak Acheh, Anak Melaka dan terakhir sekali Tiga Batu.
Bagi korang yang nak tahu kenapa gadis Negeri Sembilan dilarang bertemu sesama suku diamalkan, ini sebab-sebabnya. Hikz, Admin pun orang Negeri Sembilan, lahir di Negeri Sembilan tapi bukan adat Pepatih kerana nenek orang luar yang merantau, hahaha.
Jom baca kenapa dilarang kahwin sesama suku di Negeri Sembilan.

Walaupun sistem Adat Perpatih menyediakan sedikit ruang kepada anak adat (keturunan) suku tertentu berkahwin sesama suku, pada prinsipnya sistem adat yang dianuti oleh masyarakat Negeri Sembilan itu tidak membenarkan perkahwinan di kalangan sesama anak suku – “Sama Suku Tidak Boleh Berkahwin”. Contoh, lelaki dari Suku Tiga Nenek tidak boleh berkahwin dengan wanita dari Suku Tiga Nenek.
Perkahwinan yang dibenarkan oleh sistem Adat Perpatih adalah di kalangan pasangan yang berlainan suku atau lain suku.
Masyarakat Adat Perpatih menganggap mereka di kalangan suku yang sama umpama adik-beradik. Ini adalah kerana anggota sesuatu suku itu berasal daripada seorang nenek moyang (nasab dalam adat perpatih mengikut nasab ibu) yang mulanya membentuk keluarga, kemudian rumpun, perut dan apabila keturunan berkembang melalui perjalanan masa mewujudkan suku.
Masyarakat Adat Perpatih mempunyai rasional mereka sendiri mengenai larangan berkahwin sesama suku. Antaranya; Larangan berkahwin sesama suku memperkasa institusi kekeluargaan kerana setiap anggotanya yang mengetahui ikatan kekeluargaan tentunya mengambil tahu dan menjadi pelindung kepada masyarakat sukunya.
Sementara itu, golongan lelaki pada setiap masa memandang dan mengganggap anggota perempuan yang sesuku dengan mereka sama ada sebagai ibu, kakak, adik atau anak yang wajib dihormati, dijaga, dilindungi dan disayangi.
Mungkin di atas faktor inilah menyebabkan tiadanya kejadian sumbang di kalangan jiran sekampung dalam masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan.
Catatan ini bertujuan untuk berkongsi maklumat dengan pembaca mengenai hukuman yang ditetapkan Adat Perpatih terhadap pasangan yang berkahwin sesama suku.
Perkahwinan sesama suku terbahagi kepada dua kategori. Kategori pertama diklasifikasikan sebagai perkahwinan ’Sumbang Sewaris’. Yang kedua, ‘Sumbang Sekadim’.
Hukuman yang dikenakan terhadap pasangan yang berkahwin sesama suku dinamakan ‘ Hukum Kahar ‘.
Masyarakat Adat Perpatih memandang pelaku kahwin sesama suku ibarat haiwan dan tidak layak wujud dalam masyarakat. Pelaku dan pasangan akan dipulaukan dan disisihkan daripada segenap sudut kehidupan seharian masyarakat.
(a) Sumbang Sewaris
Definasi: Sumbang sewaris adalah berkahwin sesama suku.
Hukuman: Pasangan dihalau oleh ahli-ahli sukunya, tidak dibenarkan duduk di dalam sukunya dan juga tidak diterima oleh suku-suku lain di wilayah atau luak (daerah) berkenaan. Digambarkan bahawa betapa jijiknya pasangan itu di mata masyarakat adat sehingga bekas tempat duduk mereka akan dibasuh.
Lelaki yang melakukan kesalahan hilang hak memegang jawatan ( menjunjung saka) yang terdapat dalam sistem Adat Perpatih. Seandainya pelaku itu memegang jawatan semasa melakukan kesalahan, jawatannya akan dilucutkan dengan serta merta.
Pelaku kesalahan perempuan akan kehilangan hak ke atas segala harta pusaka suku.
Pasangan terlibat diperbilangkan sebagai, “Laksana buah beluluk, Tercampak ke laut tidak dimakan ikan, Tercampak ke darat tidak dimakan ayam.
Cantiknya sistem Adat Perpatih adalah kerana walaupun tegas tetapi masih ada jalan pulang kepada pesalah adat yang ‘ingin pulang ke pangkuan adat’. Bagaimanapun, pelaku kesalahan adat perlu melalui dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan terlebih dahulu. Dikatakan bahawa syarat asas pengampunan pesalah adat tidak seragam antara luak (daerah).

Ada luak yang mensyaratkan pesalah adat yang kematian pasangan atau bercerai sahaja boleh diampunkan. Sebaliknya, ada juga daerah yang tidak mensyaratkan peraturan sedemikian berat.
Penerimaan sistem adat/masyarakat terhadap pelaku kesalahan adat yang ingin kembali ke pangkuan adat bergantung kepada keizinan anggota kelompok kekerabatan dan direstui oleh Ketua-Ketua adat. Setelah ada persetujuan yang terhasil dari majlis berkampung dan bermuafakat, pelaku kesalahan adat perlu melakukan syarat-syarat yang ditetapkan dalam majlis yang diawasi oleh Datuk Lembaga (Ketua Suku) suku berkenaan.
Syarat-syarat yang perlu dilaksanakan ialah:
Menyediakan 50 gantang beras, wang tunai RM14.00 dan mengadakan seekor kerbau atau lembu untuk majlis kenduri.
Menjemput Ketua-Ketua Adat dengan penuh istiadat ke majlis kenduri.
Pelaku kesalahan adat (berkahwin sesama suku) mengisytiharkan kesalahan yang telah dilakukan dan membayangkan keinginan untuk kembali ke pangkuan suku serta bergabung semula dalam ikatan keluarga seperti mana dahulu.
Selepas mengakui kesalahan dan meminta maaf kepada orang ramai, pelaku kesalahan adat ‘ menyembah’ semua anggota suku yang hadir untuk meminta maaf. Majlis kenduri tersebut adalah gelanggang bagi menghebahkan kepada masyarakat sesuku dan seluak bahawa pasangan pelaku kesalahan adat telah kembali ke pangkal jalan ( surut ke pangkal jalan), serta mengakui di samping menebus kesalahan (nya/mereka). Majlis itu adalah satu cara memohon maaf secara terbuka.
Pelaku kesalahan adat yang telah ‘diampunkan’, dibenarkan balik ke tempat asal dan diberi kedudukkan seperti sebelum berlakunya kesilapan setelah istiadat dilakukan dengan jayanya.

(b) Sumbang Sekadim
Definasi: Sumbang Sekadim adalah melakukan perkahwinan di kalangan sama suku dengan ‘ahli seperut ‘. Ahli seperut bermaksud lebih kurang, “Ikatan kekeluargaan di kalangan ahli suku yang sama pada kedudukkan selepas keluarga kandung.” Dalam masyarakat Negeri Sembilan, ahli seperut kebiasaannya ialah jiran di sebelah rumah dan lokasi tanah/dusun/sawah pusaka di kalangan ahli seperut kebiasaannya bersebelahan atau berhampiran.
Sama sesuku di kalangan masyarakat adat boleh berlaku kepada masyarakat adat yang berlainan kampung. Bagaimanapun, sama ‘ seperut’ cuma berlaku di kalangan masyarakat adat sekampung sahaja..
Hukuman Kerana Sumbang Sekadim:
Kesalahan kerana berkahwin sesuku di bawah kategori ‘Sumbang Sekadim’ adalah kesalahan besar dalam sistem Adat Perpatih. Ini boleh difahami dengan mudah kerana ikatan kekeluargaan mengikut struktur Adat Perpatih seperti yang diterangkan pada perenggan di atas.
Hukumannya ialah:
Segala harta benda pasangan dirampas.
Diceritakan bahawa pernah berlaku di zaman dahulu mengenai satu pasangan yang melakukan kesalahan kategori ini dikenakan hukuman bunuh. Mereka ditangkap, dimasukkan ke dalam bakul dan dibenamkan ke dalam sungai. Kubur mereka dikenali sebagai Jerat Sumbang.
Ungkapan di kalangan masyarakat Adat Perpatih kepada mereka yang melakukan Sumbang Sekadim ialah: Hidup tidak terpelihara, Mati Tak Ditanam, Harta Diambil, Tuan dibunuh.
Terdapat juga perbilangan yang berbunyi, “ Ke laut tumpah karam, Ke darat sial terbakar”.

ULASAN:
Kejadian berkahwin sama sesuku jarang berlaku. Sepanjang hidup saya yang kini melebihi 50 tahun, belum ada lagi berlaku perkahwinan sama suku di kampong saya di Rembau, Negeri Sembilan. (Perkahwinan sama suku tetapi berlainan sub-suku di kalangan Suku Biduanda Lela Maharaja dengan Suku Biduanda Sedia Raja seperti yang saya kisahkan dalam catatan terdahulu ‘Kahwin Sama Suku ‘ dibenarkan oleh sistem Adat Perpatih).
Secara umumnya, masyarakat adat di Rembau adalah masyarakat yang masih kuat berpegang kepada Adat Perpatih berbanding masyarakat adat di daerah (luak) lain.
Namun demikian, ada amalan dan anjuran dalam sistem Adat Perpatih telah diabaikan kerana sikap ketidakpedulian dan kejahilan pengikutnya. Sebagai contoh, ikatan kekeluargaan ‘ahli seperut’ hampir menemui ‘jalan mati’. Kebanyakkan generasi hari ini dan termasuk juga generasi saya (50-an) tidak lagi mengenali dan ambil-peduli ‘ahli seperut’ sendiri walaupun sekampung.
Ironinya, dalam keresahan institusi Adat Perpatih kerana terhakisnya sesetengah amalan-amalan yang menunjangi kelangsungan adat tersebut, masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan masih akur kepada larangan berkahwin sesuku. Hakikatnya, hampir tidak berlaku perkahwinan sesama suku di kalangan masyarakat Adat Perpatih Negeri Sembilan sehingga ke hari ini.
Kes sepasang pelaku kesalahan ‘Sumbang Sekadim’ dihukum bunuh dengan cara memasukkan pasangan malang itu ke dalam bakul dan membenamkan mereka di dalam air sehingga mati tidak boleh diterima oleh masyarakat hari ini.
Bagaimanapun, perbuatan kejam zaman itu bolehlah dikiaskan dengan kesetiaan membabi buta Hang Tuah sehingga sanggup membunuh sahabatnya Hang Jebat yang ingin membela ketiadak-adilan Sultan. Kalaulah hukuman adat tersebut masih wujud lagi sehingga ke hari ini, sudah pasti pelaksanaanya tidak dibenarkan oleh undang-undang negara.
Sumber : FB Minangkabau Negeri 9 Malaysia
Pengeluaran Akaun 1 KWSP Maksimum RM60K Menerusi i-Sinar, SIAPA LAYAK?

Isi Kandungan
Toggle
Kena tengok syarat-syarat kelayakan terlebih dahulu, tak semua orang dibenarkan tau..
Minat rakyat untuk mengetahui lebih mengenai pembukaan i-SINAR semakin hari semakin meningkat apabila sejumlah besar rakyat Malaysia kini berdepan dengan pendapatan yang terjejas akibat wabak Covid-19.
Namun, menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini, tidak semua 8 juta orang ahli KWSP layak untuk mendapatkan kemudahan i-Sinar ini.
KWSP dengan jelas menerangkan siapakah golongan yang layak dan apakah tuntutan yang diperlukan daripada mereka untuk pemohonan ini. Jom lihat setiap kategori yang disenaraikan oleh KWSP.
Kategori 1
Golongan yang layak
Ahli KWSP yang bekerja di sektor formal, yang bekerja sendiri, yang bekerja di sektor ekonomi gig, yang sudah lama tidak mencarum, yang hilang pekerjaan, suri rumah atau ahli yang menerima notis cuti tanpa gaji (CTG).
Syarat-syarat
1 Ahli tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama 2 bulan berturut-turut semasa permohonan; ATAU
2 Ahli masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.
Info
1 Ali tidak perlu memberikan dokumen sokongan
2 Ahli hanya perlu memohon secara online di SINI mulai 21 Disember 2020
3 Kelulusan secara automatik dibuat berdasarkan data dalaman KWSP
4 Pembayaran kepada ahli pula akan dimulakan pada pertengahan Januari 2021
Kategori 2
Golongan yang layak
Ahli KWSP yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas Mac 2020.
Syarat-syarat
1 Ahli perlu menyediakan dokumen sokongan seperti slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan; dan
2 Notis pemberhentian atau pemotongan elaun dan / atau tuntutan kerja lebih masa
3 Sekiranya ahli tidak boleh mengemukakan dokumen di atas, dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan dipertimbangkan.
Info
1 Ahli boleh memohon secara online di SINI mulai 11 Januari 2021
2 Surat permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa 2 hingga 3 minggu selepas permohonan dibuat untuk mengetahui jika permohonan mereka diluluskan.
3 Pembayaran akan dilaksanakan sebelum akhir bulan berikutnya
Jumlah Layak Diterima
Seperti biasa, ini adalah satu lagi perkara yang hangat diperkatakan oleh rakyat. Berapakah jumlah yang layak mereka terima berdasarkan kelayakan?
Bagi ahli yang mempunyai baki Akaun 1 bernilai RM100,000 dan ke bawah, mereka layak membuat pengeluaran maksimum sehingga RM10,000. Bayaran pertama maksimum adalah sehingga RM5,000 dan bayaran penuh akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh 6 bulan.
Manakala, bagi ahli yang mempunyai baki Akaun 1 bernilai lebih RM100,000, mereka layak membuat pengeluaran maksimum sehingga 10% daripada jumlah ataupun RM60,000 (yang mana satu lebih rendah), Bayaran pertama maksimum adalah sehingga RM10,000 dan bayaran penuh akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh 6 bulan.
Ini adalah contoh mudah yang disediakan oleh pihak KWSP agar korang mudah memahami.
Bagi memastikan permohonan korang lancar, korang digalakkan untuk mendaftar i-Akaun, mengemas kini nombor telefon bimbit bagi menerima Transaction Authorisation Code (TAC) di kios atau kaunter KWSP.
Selain itu, pastikan nombor akaun bank korang aktif tau. REMAJA juga ingin mengingatkan jangan mudah tertipu dengan info yang tidak belum sahih.
KWSP Ingatkan Pengguna Jangan Terpedaya Dengan Aplikasi Palsu i-Sinar – REMAJA