Keputusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memilih Syahmi Sazli sebagai Ikon Pengarah Muda nampaknya seperti dipertikaikan oleh beberapa pihak.
BACA: Syahmi Sazli Diiktiraf FINAS, Bakal Diangkat Sebagai Ikon Pengarah Muda
Menurut Malaysia Kini, pengarah filem dan penulis skrip, Al Jafree Md Yusop mempersoalkan kewajaran pihak FINAS yang mahu mengangkat pengarah filem Mael Totey The Movie sebagai ikon pengarah muda.
Baginya, keputusan yang dibuat itu adalah terburu-buru, selain tidak mempertimbangkan nama pengarah lain yang dirasakan lebih sesuai berdasarkan kualiti dan kredibiliti mereka dalam bidang perfileman.
“Finas hantar Roh – filem yang diarahkan Emir Ezwan – untuk ke Oscar, tiba-tiba pengerusinya (yang sah bukan cinephile) bercadang nak angkat Syahmi Sazli sebagai ikon pengarah muda.
“Boleh sesiapa tolong jelaskan kat aku? Sebab apa dia (Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid) buat keputusan tu dan apa rasionalnya?
“Banyak lagi nama lain boleh dipertimbangkan sebagai calon ikon pengarah muda seperti pengarah siri animasi Ejen Ali, Muhammad Usamah Zaid Yasin,” jelasnya di hantaran Facebook miliknya.
Pengarah filem Mencari Rahmat ini turut menyatakan bahawa dia bersedia untuk berdebat tentang hal-hal berkaitan perfileman (cinephile) dengan Pengerusi FINAS, Zakaria.
Hal ini telah pun mendapat maklum balas daripada Zakaria dan beliau menjelaskan bahawa ada sebab tertentu mengapa mereka memilih Syahmi Sazli sebagai ikon pengarah muda.
Bintang YouTuber yang berasal dari luar bandar itu dilihat berjaya menerbitkan filem tanpa bantuan FINAS.
“Dia berjaya terbitkan sebuah filem, tapi mungkin dari sudut teknikal dan kualiti tu boleh dipertikaikan. Namun, apa ingin saya tekankan adalah kejayaan Syahmi mengutip RM7 juta tanpa guna satu sen pun duit Finas.
“Satu lagi aspek lain adalah kecenderungan Syahmi menggunakan khidmat orang kelainan upaya (OKU) untuk berlakon.
“Walaupun ada kritikan kononnya dia mengambil kesempatan ke atas OKU, saya lihat dalam cerita tak timbul pun isu kerana mereka tak dipaksa hafal skrip malah pengucapan juga spontan,” katanya.
Walau bagaimanapun, netizen masing-masing mempunyai pendapat mereka yang dikongsi di ruangan komen.
Apa-apa pun diharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik. Masing-masing mempunyai pendapat tersendiri dan berhak bersuara. Semoga kritikan ini menyuntik lagi semangat buat Syahmi Sazli untuk memperbaiki dan menambahbaik karya-karyanya selepas ini.
Perkara yang baik kita ambil, yang negatif jadikan semangat.
Sumber: Malaysia Kini, Al Jafree Md Yusop