Calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 merupakan kohort pertama yang menggunakan format terbaru dalam mata pelajaran sejak dari Tingkatan 1 pada tahun 2017. Format ini dinamakan sebagai Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid dalam sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2021 pagi tadi, KSSM dilaksanakan bermula dari batch calon SPM 2021 demi memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran abad ke-21 seperti komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis dan kreatif.
Pelaksanaan KSSM juga bertujuan menyediakan calon dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai bagi memenuhi keperluan negara pada masa hadapan. Ini sejajar dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Tambah Datuk Nor Zamani Abdol Hamid, norma baharu yang dilalui pelajar dalam sesi pembelajaran mereka sepanjang tempoh dua tahun Malaysia berdepan pandemik COVID-19 telah memberi cabaran berlainan kepada calon SPM 2021.
“Kita akui, bukan mudah untuk (pelajar) membuat persediaan menduduki peperiksaan utama seperti SPM dengan keadaan pembelajaran secara bersemuka yang sangat terhad.
“Pelaksanaan sesi akademik 2021/2022 telah memberi ruang kepada calon untuk meningkatkan kesediaan bagi menghadapi peperiksaan dengan lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar tersebut di Putrajaya itu.
Daripada sejumlah 407,097 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, seramai 9,696 orang calon atau 2.54 peratus telah memperoleh keputusan semua A.
Begitupun, berlaku penurunan dari segi Prestasi Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 4.86 berbanding 4.80 bagi SPM 2020.
ARTIKEL BERKAITAN : 9,696 Calon Dapat Semua A SPM 2021, 1,655 Pula Gagal – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.