
Dengan kes harian yang meningkat secara mendadak dan telah mencecah angka 6 ribu kes telah membuat ramai rasa gundah dan panik dengan situasi Covid di negara ini. Oleh itu, kerajaan telah mempertimbangkan untuk melaksanakan PKP menyeluruh atau ‘Full Lockdown’ seperti PKP 1.0 terdahulu atau tidak, dan mereka akan mengumumkannya pada hari esok, 21 Mei 2021.
Dikatakan juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) iaitu Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ia antara cadangan yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan. Tambah beliau lagi, cadangan itu bakal dibincangkan bersama-sama dalam mesyuarat yang melibatkan Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga semua Menteri Besar dan Ketua Menteri pada Jumaat esok.

Beliau juga berkata yang sebelum ini dengan pelaksanaan PKP, PKPB, PKPP dan sebagainya itu adalah antara langkah yang diambil sama ada secara keseluruhan atau bersasar ianya bergantung kepada keadaan.
Jika kita lihat pada Mac 2020 yang lalu, PKP yang dilaksanakan adalah dengan secara menyeluruh dimana tiada pergerakan merentas daerah dan negeri, dan semua premis perniagaan dan syarikat tidak dibenarkan beroperasi kecuali bagi sektor kritikal.
Walaubagaimanapun, ramai dikalangan rakyat juga yang bersetuju dengan pelaksanaan ‘Total Lockdown’ ini kerana mengenangkan kes harian yang makin meningkat dan langkah berjaga-jaga haruslah diambil..
Hafizh Syahrin Dinobat Pelumba Antarabangsa Terbaik MAM 2024

Baru-baru ini, pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin dinobatkan sebagai Pelumba Antarabangsa Terbaik manakala Qabil Irfan Azlan menerima anugerah Pelumba Muda Terbaik dan Azlan Shah Kamaruzaman diiktiraf sebagai Ikon Sukan Permotoran Malaysia.
Malam Anugerah MAM 2024 kembali dengan penuh gemilang selepas berehat selama enam tahun untuk meraikan pencapaian pelumba terbaik negara negara termasuk Hafizh Syahrin Abdullah, Qabil Irfan Azlan dan Azlan Shah Kamaruzaman yang diberi penghormatan dengan anugerah berprestij.
Selain itu, beberapa kategori lain turut dipertandingkan termasuk anugerah baharu yang mengiktiraf sumbangan luar biasa atlet, pasukan dan organisasi Malaysia dalam sukan permotoran tempatan dan antarabangsa.

Presiden Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir dalam ucapannya menegaskan penganjuran semula acara itu mencerminkan dedikasi mereka untuk mengiktiraf kerja keras serta pencapaian dalam sukan permotoran Malaysia.
“Ia bukan sekadar tentang kemenangan tetapi juga membina masa depan yang kukuh dan mampan untuk sukan ini. Malam ini, kami meraikan mereka yang telah mengangkat sukan permotoran Malaysia ke tahap lebih tinggi”
“Matlamat kami adalah menjadikan acara ini sebagai acara tahunan dalam kalendar sukan permotoran,” katanya.
Dalam pada itu, tiga tokoh berpengaruh dalam arena permotoran negara turut disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Sukan Motor Malaysia iaitu Datuk Ahmad Mustafa yang memainkan peranan penting dalam menjadikan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai lokasi perlumbaan bertaraf dunia.
Selain itu, Barry Leong Foo Hin, tokoh yang mencorakkan kerjaya pelumba terkenal seperti Syahrol Yuzy Ahmad Zaini, Hafizh Syahrin dan turut disenaraikan ‘Raja Kapcai’, Wazi Abdul Hamid.
Sementara itu, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat diberikan kepada Allahyarham Tan Sri Basir Ismail bagi menghargai sumbangan besar membawa Formula 1 Grand Prix Malaysia ke SIC dan meletakkan Malaysia di peta permotoran dunia.


Para pemenang anugerah menerima trofi unik yang diperbuat daripada kayu tebus guna oleh The Green Factory, simbol kepada kelestarian dalam sukan permotoran.
Berikut senarai pemenang anugerah MAM 2024:
- Pemandu Antarabangsa Terbaik – Amirul Taufek
- Pemandu Kebangsaan Terbaik – Hayden Haikal
- Pemandu Muda Terbaik – Katrina Ee Wing Thung
- Pemandu Wanita Terbaik – Ng Aik Sha
- Pasukan Pacuan 4 Roda Terbaik – Wing Hin Motorsports
- Pelumba Antarabangsa Terbaik – Hafizh Syahrin Abdullah
- Peserta Sukan E-Motor Terbaik – Nabil Nor Azlan
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Dari Dunia Ratu Cantik Ke Konti Radio, Dewi Natasha Akui Kemahiran Komunikasi Sangat Penting Dalam Kerjaya

Gadis berusia 26 tahun ini bukanlah asing dalam dunia ratu cantik tempatan. Dia yang mula menceburkan diri dalam bidang tersebut sejak tahun 2015, kini melebarkan sayap pula sebagai penyampai radio Era Sabah sejak penghujung 2020.
Pemilik nama penuh Dewi Natasha Perumal Oddiar ini pernah dinobatkan bagai Miss Earth Sabah 2017, Unduk Ngadau Dun Sekong 2019 dan kemudiannya sebagai pemenang tempat kedua Miss Grand Sabah 2020.
Berkongsi cerita kepada REMAJA, Dewi berkata, “Saya mula menceburkan diri dalam dunia ratu cantik ini sejak 2015 lagi, namun ketika itu hanyalah sebagai model di sekitar Sabah. Kemudian pada tahun 2016 barulah berani untuk menceburkan diri dalam dunia ratu cantik di pertandingan Sabah Model of The Year.
“Ketika itu saya sudah pun terpilih untuk ke pentas finale, namun terpaksa menarik diri kerana hari pertandingan itu diadakan merupakan hari perkahwinan abang. Jadi hal keluarga terpaksa diuatamakan dahulu.”
Dengan ketinggian 169 cm dan berkulit hitam manis, kelibat gadis kacukan Dusun-India ini pasti membuatkan mata mengerling dek kecantikannya.
“Selepas menyertai Sabah Model of The Year, saya kemudiannya menyertai pertandingan Miss Earth Sabah 2017 dan menjadi juara. Di peringkat kebangsaan pula, saya sekadar berada dikedudukan ketujuh. Namun pertandingan itu banyak mengajar saya selok belok dunia ratu cantik,” kongsinya.
Bukan sekadar cantik, gadis ini sangat mementingkan pendidikan. Sebagai bukti, Dewi merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa dari Universiti Malaysia Sabah dan telah tamat pengajian pada tahun 2019.
Bila berbicara dengan dengan orang Sabah, pastinya cerita tentang Unduk Ngadau tidak boleh dipisahkan. Gadis yang petah berbicara ini misalnya, turut menyertai pertandingan yang popular ini pada tahun 2019.
Rancak bercerita, “Ketika itu saya bertanding di daerah Sandakan dan dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Dun Sekong dan mendapat hak untuk ke peringkat akhir yang diadakan di Kadazandusun Cultural Association. Walaupun tidak berjaya mara ke peringkat top 20, namun pengalaman menyertai Unduk Ngadau sangat berharga.”

Namun bukan semuanya indah, lahir dalam keluarga campuran dan berkulit hitam manis bukanlah kelebihan baginya. Ketika menang di peringkat Sandakan, ada suara-suara sinis yang mempersoalkan kemenangannya dek warna kulit.
“Bukan mudah bila nak sertai Unduk Ngadau, pertandingan ini sangat popular di Sabah. Dan ada sentimen yang menyatakan orang yang berkulit putih sahaja sesuai untuk menyertai. Kalau nak tahu, paling menyedihkan ada yang bercakap sinis, macam mana anak India boleh menyertai pertandingan ini. Tetapi saya hanya anggap perkara itu sebagai cabaran dan tetap meneruskan perjuangan,” kongsinya yang berdarah Dusun di sebelah ibunya.
BACA JUGA: Pelajar Universiti Malaysia Sabah Juara Unduk Ngadau 2021
Terbaharu, Dewi diangkat sebagai Miss Face of Humanity Malaysia 2021 setelah melalui beberapa siri temubual pemilihan secara tertutup. Jika tiada aral melintang dia akan mewakili Malaysia ke Kanada pada April nanti.
Kini, dia sibuk dengan kerjayanya sebagai penyampai radio Era Sabah. Dewi mengendalikan segmen ‘Gerakan Malam’ yang bersiaran jam 8 malam sehingga 12pagi, dari Isnin hingga Jumaat. Di samping memutar lagu-lagu terkini, ada juga sesi curhat (curahan hati) yang menerima panggilan dari pendengar yang ingin berkongsi kisah.
Mengakhiri temubual kami, Dewi turut berkongsi nasihat buat mereka yang mahu menceburi dunia ratu cantik, “Perkara penting adalah skill komunikasi yang baik, tahu membawa diri dan menyuburkan minda dengan isu-isu semasa agar kekal up-to-date dengan apa yang terjadi di dalam dan juga luar negara. Saya percaya skill komunikasi ini mampu membantu seseorang dalam kerjaya mereka.”
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Jurufoto Profesional Kongsi Kepayahan Terkurung Di Rumah, Ini Caranya ‘Survive’

Tahukah korang, hari ini merupakan hari yang cukup istimewa untuk rakan-rakan jurufoto kita.
Pada 29 Jun setiap tahun, jurufoto seluruh negara akan meraikan National Camera Day dan ia adalah hari di mana mereka mengingatkan diri sejauh mana perjalanan mereka dalam bidang fotografi ini. #Proud
Baru-baru ini, REMAJA berkesempatan berbual dengan Canon EOS Ambassador iaitu saudara Safuan Salahudin.
Dengan pengalaman luas beliau dalam pelbagai subjek foto seperti potret, sukan, alam semulajadi dan pengembaraan (travel), penulis teruja dapat mendengar kisah-kisah dari zaman beliau masih bertugas sebagai seorang jurutera hinggalah ke cabaran sebagai seorang jurufoto pada musim pandemik ini.
*
Sejak kecil, Safuan Salahudin telah mengamati minat ibu bapanya yang cuba merakam sebanyak mungkin foto melibatkan ahli keluarga demi kenangan.
“Saya pernah terjumpa gambar lama ayah semasa beliau bertugas sebagai askar di dalam hutan. Zaman (gambar) hitam putih dulu pun, mereka tidak lepaskan peluang mengambil gambar.”
Dari situ, Safuan mula minat untuk mendalami fotografi dan menerima kamera pertamanya setelah memperolehi keputusan cemerlang ujian UPSR di sekolah rendah.
Safuan terus galak merakamkan momen di samping keluarga dan juga semasa di sekolah. Tamat saja zaman persekolahan, beliau bagaimanapun menginjak diri ke bidang kejuruteraan.
Begitupun pada masa yang sama, minat terhadap seni fotografi masih tidak pudar. Beliau mula mengeksplorasi kamera jenis DSLR sekitar tahun 2010 setelah sekian lama menggunakan kamera jenis filem. Ketika bergelar pelajar kejuruteraan, Safuan mula bertugas sebagai jurufoto separuh masa.
Menariknya, kamera kesayangan Safuan itu jugalah yang digunakan untuk merakam sumber-sumber kerjanya dalam bidang kejuruteraan.
“Saya gunakan foto sebagai bukti semasa saya menyiapkan laporan dalam bidang penyelenggaran dan operasi. Melalui foto, lebih mudah untuk semua fahami update terbaru kerja kami; misalnya jika wujud sebarang kerosakan,” kata Safuan.
Tahun 2014 merupakan tahun perubahan dalam hidupnya setelah beliau memutuskan untuk berhenti daripada menjadi seorang jurutera dan fokus sepenuhnya sebagai seorang jurufoto.
Apa sebenarnya yang membuatkan Safuan sanggup dan yakin melepaskan kariernya itu?

“Saya berhenti (kerja sebagai jurutera) pun sebab minat terhadap fotografi tidak boleh saya nafikan. Ya, sebagai jurutera saya boleh pergi jauh. Tapi bila minat hilang, kita akan jadi tidak ‘syok’ bekerja.
“Nak dijadikan cerita, seminggu sebelum hari terakhir saya di pejabat, saya terpaksa menelan nasib kehilangan beg kamera setelah pintu kereta saya dikopek. Tentulah pada waktu itu, saya rasa down memandangkan tinggal seminggu saja lagi.
“Member yang ada dalam komuniti fotografi Alor Setar pada waktu itu tampil membantu dengan meminjamkan set kamera baharu.
“Malangnya, enam bulan kemudian, sekali lagi kereta saya dipecah masuk dan akibatnya, dua unit kamera hilang begitu saja.”
“Tanpa kamera sendiri, tanpa pekerjaan dan hilang kamera orang pula.. tentulah saya kembali merasa down.
“Tapi apabila saya dikelilingi kawan yang baik, mereka terus memberi semangat dan tidak serik meminjamkan saya model kamera baharu.
“Alhamdulillah, saya teruskan dengan photography jobs dan bekerja hingga mampu membeli semula model kamera selepas setahun iaitu model Canon EOS 6D dan lensa Canon EF 85mm f1.2 L IS Mark I,” katanya; sambil menambah dirinya tidak pernah berhenti belajar tentang fotografi dan mula memberanikan diri menyertai pertandingan fotografi.
Pada tahun 2016, Safuan telah menyertai pertandingan Canon Photo Marathon Malaysia dan hasil rezeki kemenangan pada waktu itu, Safuan mampu menggantikan semula tiga buah kamera yang hilang sebelum ini. Dari situ, beliau dipilih untuk sebuah lagi pertandingan bernama Photo Face Off di saluran History Channel pada tahun 2017.

Cabaran Musim Pandemik
Setahun setengah terpaksa mengurungkan diri di rumah setelah wabak Covid-19 melanda Malaysia pada Mac 2020 telah mendatangkan cabaran tersendiri buat Safuan. Tugasnya sebagai seorang jurufoto teruk terjejas memandangkan kini, beliau hanya boleh beraksi di dalam pekarangan studio saja.
Tambahan pula, Safuan kini meminati subjek alam sekitar terutamanya spesis burung. Lalu, beliau terpaksa memendamkan dulu segala perancangannya untuk menjelajah kawasan baru – seperti di Jepun yang pernah dilakukannya sebelum ini untuk menangkap foto burung disebabkan oleh lockdown kali ini.
“Semasa awal PKP 1.0 (Perintah Kawalan Pergerakan) dulu, ada juga job yang memerlukan saya ke Kuala Lumpur. 70% punca pendapatan saya datang daripada klien di ibu negara. Pasa waktu itu, saya masih mampu ke negeri lain seperti KL, Johor dan Kelantan kerana memiliki surat perlepasan.
“Tapi sejak syarat-syarat PKP semakin diperketatkan pada tahun 2021, saya terpaksa berpuas hati dengan job di dalam studio saja. Dapat jugalah kami lakukan shooting seperti potret Hari Raya dalam norma baharu.
“Apakan daya, memasuki PKP 3.0, peluang mencari duit di studio juga terpaksa dilupakan buat sementara waktu. Sebagai seorang jurufoto, saya perlu fikirkan cara baharu dengan menggunakan media sosial dan platform atas talian.”
“Contohnya, saya anjurkan kelas online di Google Meet kepada mereka yang ingin pelajari fotografi. Secara tidak langsung, saya bukan saja mengajar tapi turut sama belajar daripada pengalaman orang lain.
“Saya juga terlibat dalam sharing session bersama Canon Malaysia dan terus mengisi masa terluang ini. Saya tetap bersyukur kerana waktu di rumah adalah masa terbaik untuk saya menambah ilmu teori fotografi.”
Safuan tidak menidakkan sedikit rasa kesal kerana tidak dapat merakamkan alam sekitar sewaktu musim PKP. Sekaranglah waktu paling tepat untuk merakam subjek alam sekitar kerana ia dalam ‘keadaan sihat’ tanpa gangguan manusia.
“Ini adalah masa terbaik untuk remaja di luar sana menyertai workshop dan online class yang dianjurkan. Ambil saja kelas basic dahulu kerana di situlah kita boleh menguasai semua perkara penting dalam fotografi. Saya sendiri ada merancang bersama institusi pengajian tempatan untuk menganjurkan kelas basic kepada tenaga pengajar dan pelajar.
“Kalau kita lawati Instagram Canon Malaysia pun, korang boleh lihat jenis-jenis sharing session yang mereka anjurkan.
“Personally, saya agak teruja dengan salah satu sesi yang akan mereka anjurkan iaitu berkenaan Sports Photo pada bulan Julai. Ini kerana buat masa ini, saya merupakan salah seorang jurufoto rasmi Malaysia Football League (MFL). Jadi Canon ingin saya kongsikan pengalaman bersama jurufoto yang berminat,” katanya yang sudah tiga tahun terlibat dalam dunia sports photography.
Apapun, REMAJA pasti Safuan sedang merancang sesuatu yang lebih besar dan bermakna lagi untuk dilakukannya sebaik saja keadaan pandemik di Malaysia dan serata dunia lebih stabil.
Happy National Camera Day buat Safuan Salahudin dan semua jurufoto di luar sana!