Sifat cemburu ada baik dan buruknya. Ada yang berpendapat bahawa cemburu itu tanda sayang dan sihat. Namun, cemburu yang melampau hakikatnya tergolong dalam penyakit emosi yang boleh membawa kepada kemurungan.
Menurut pakar psikologi, cemburu merupakan perasaan yang terbuku dalam hati dan menyebabkan hati seseorang gelisah.
Namun berita yang kita dengar di Mesir ini mungkin boleh dijadikan pengajaran bahawa cemburu juga mampu memberi padah pada diri. Baru-baru ini menurut laporan Gulf News, tiga orang pelajar perempuan di sekolah di Iskandariah, Mesir telah ditangkap kerana meracuni rakan sekelas mereka yang mendapat markah lebih tinggi dalam peperiksaan.
Ketiga-tiga pelajar itu dipercayai telah memasukkan racun ke dalam sepotong kek kerana mangsa terkenal dengan kecemerlangan akademiknya di Abu Bakr Al Siddique Preparatory School. Mangsa juga sering mendapat markah yang lebih tinggi berbanding suspek yang merancang meracuni pelajar itu. Kerana hasad dengki tersebut, mereka telah dipenjarakan selama empat hari sementara menunggu siasatan atas tuduhan membunuh.
Pihak pendakwaan memerintahkan agar bedah siasat dilakukan ke atas mayat mangsa dan laporan forensik menunjukkan bahawa kematian gadis itu disebabkan oleh racun.
Media tempatan melaporkan bahawa enam pelajar sekolah telah memakan kek dalam perjalanan pulang ke rumah. Tiga daripada mereka segera dibawa ke Hospital Universiti Amiri untuk mendapatkan rawatan setelah mereka mengalami muntah dan keletihan yang teruk. Malangnya , mangsa dilaporkan meninggal dunia di hospital manakala pelajar kedua mengalami kegagalan buah pinggang dan pelajar yang ketiga selamat.
Diharapkan kes seperti ini dijadikan pengajaran buat kamu semua. Kalau rasa diri kurang cemerlang cuba baiki dan bersaing dengan cara sihat. Hasad dengki dan perasaan cemburu ini memberi keburukan kepada kamu pada masa sekarang dan lebih teruk lagi di masa akan datang.
Sumber: Gulf News