Semalam, REMAJA telah melaporkan mengenai sebuah kemalangan membabitkan sebuah lori yang merempuh lima buah kenderaan lain.
Kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh, Sentul itu dipercayai berlaku sekitar jam 2.30 petang dan telah menarik perhatian warganet akibat kecuaian pemandu lori yang hampir meragut nyawa pengguna jalan raya lain.
Jelas, lori tersebut merempuh kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat merah. Hasil ujian air kencingnya mendapati pemandu positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamin.
ARTIKEL BERKAITAN : Lima Kereta Remuk, Rupanya Pemandu Lori Positif Dadah – REMAJA
Tambah mengejutkan apabila lima kenderaan lain itu mengalami kerosakan teruk termasuklah sebuah kereta Myvi kuning yang remuk teruk hingga tidak lagi kelihatan seperti sebuah kereta.
Betul-betul ‘terlipat’!
Amat mengajaibkan apabila pemandu Myvi yang dipercayai berusia 45 tahun itu selamat dan tidak berdepan kecederaan parah kecuali beberapa kesan calar pada tubuhnya semasa beliau dibawa keluar daripada kenderaan remuk itu.
Rata-rata warganet memuji tahap keselamatan model kereta Myvi apabila berdepan kemalangan. Biarpun remuk teruk, mereka berkata rekaan Myvi dapat membantu ‘menyelamatkan’ pemandu hadapan dalam situasi seperti ini.
Kata pengguna Twitter @AimanIAbdullah, rekaan Myvi terkini mempunyai tahap keselamatan cemerlang. Dengan campuran bahan yang memastikan ia remuk pada zon tertentu saja, ‘passenger cell’ akan menyerap dan menghilangkan daya hentaman dengan cekap.
Pengguna @ex5_prime turut berkongsi logik sama. Dari sudut kejuruteraan pembuatan kenderaan, sebuah kereta akan remuk untuk merendahkan kesan inertia demi menyelamatkan pemandunya.
Bagaimanapun, tidak semua warganet bersetuju dengan pendapat tersebut. Ujar @kennleandre, ‘keajaiban’ yang berlaku semalam bukanlah disebabkan kehebatan teknologi Myvi. Bahagian bonet belakang sesebuah kenderaan tidak sepatutnya remuk sebegitu rupa jika benar keberkesanan keselamatannya telah diperakui.
Bukan itu saja, sekiranya ada penumpang di bahagian belakang Myvi itu semalam, tentunya kemalangan maut akan berlaku.
ANYWAY, sama ada ia adalah satu bentuk keajaiban ataupun kehebatan teknologi pembuatan kenderaan, kita seharusnya bersyukur tiada kehilangan nyawa yang dicatatkan.
Pengguna @Manddeylurve juga berpendapat ini adalah peluang keemasan untuk syarikat Perodua menghadiahkan ‘abang Myvi’ tersebut sebuah kenderaan Myvi baharu sebagai strategi pemasaran.
Haa, yang ni REMAJA pun setuju!
Semoga kesemua mangsa kemalangan semalam tidaklah mengalami trauma berterusan.
ARTIKEL BERKAITAN : [VIDEO] Buat Hal Lagi, MYVI Redah Banjir Buatkan Netizen Terhibur – REMAJA
BACA LAGI : Jangan Panik, Ini Perkara Yang Korang Boleh Lakukan Sekiranya Kereta Terjunam Ke Dalam Air – REMAJA