Kereta Pernah Dirompak Di Tengah Jalan, Demi-Leigh Bangkit Menangi Miss Universe 2017

Share

Tahniah diucapkan kepada Demi-Leigh Nel-Peters yang mewakili negara Afrika Selatan setelah memenangi gelaran Miss Universe 2017, pagi tadi.

Pentas akhir yang bersiaran langsung dari Las Vegas itu telah menyaksikan Demi-Leigh berjaya menonjolkan diri di kalangan 96 gadis bijak, berkeyakinan dan semestinya cantik.

Dari pusingan pra-acara, segmen pakaian renang, segmen gaun malam hinggalah ke sesi soal jawab, Demi-Leigh dilihat menepati ramalan ramai penonton yang ingin menyaksikan dirinya membawa kembali takhta Miss Universe ke Afrika Selatan selepas tempoh 39 tahun!

Kali terakhir peserta dari Afrika Selatan memenangi Miss Universe adalah pada tahun 1978 menerusi Margaret Gardiner.

Namun, di sebalik kejayaannya itu, tidak ramai yang mengetahui akan kejadian suram yang melanda Demi-Leigh pada Jun tahun ini. Gadis yang menggemari sukan merentas desa dan mendaki gunung itu pernah menjadi mangsa rompakan empat orang lelaki tidak dikenali.

===================

Kejadian tersebut berlaku di Hyde Park, Johannesburg sekitar jam 7.45 malam apabila ia membabitkan Demi-Leigh yang berada seorang di dalam kereta. Empat orang perompak yang bersenjatakan pistol itu cuba untuk merampas keretanya yang diparkir di tepi.

“Saya nampak kelibat mereka dari belakang kereta, tiga di sebelah kiri dan seorang di sebelah kanan kereta. Saya juga seperti mangsa lain, takut dan memikirkan apa yang harus dilakukan pada masa mencemaskan itu.”

“Namun saya bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku,” kata Demi-Leigh dalam temu bual bersama saluran TshisaLive.

Gadis berusia 22 tahun itu bernasib baik kerana dia baru saja menyelesaikan program ‘keselamatan pemandu’ beberapa hari sebelum itu. Lalu, apabila pasukan perompak mengacukan pistol ke arahnya, dia tidak berfikir panjang dan ingin memanjat keluar dari kereta.

“Bagaimanapun, mereka mengarah saya untuk duduk di tempat duduk belakang kerana ingin menculik saya sekali. Pada waktu itulah, saya menggunakan teknik mempertahankan diri yang saya pelajari dan menumbuk salah seorang perompak di lehernya,” terangnya lagi.

Dia pantas melarikan diri ke arah trafik yang sedang bergerak dan cuba meminta pertolongan. Namun sedihnya, tiada siapa yang berhenti walaupun mereka boleh melihat seorang gadis sedang terkapai-kapai dalam kesusahan.

Hanya selepas 30 ke 40 buah kereta tidak mengendahkannya, barulah seorang pemandu perempuan berhenti dan menyuruh Demi-Leigh untuk masuk ke dalam keretanya.

===================

“Saya kembali semula ke tempat kejadian dan mendapati kereta saya telah dikerumuni oleh anggota polis. Sememangnya, saya perlukan beberapa hari untuk merehatkan minda yang masih trauma, pada waktu itu,” kata pemilik sarjana muda dalam Business Management itu.

Kejadian rompakan semasa pemandu berada di dalam kereta bukanlah sesuatu yang mengejutkan lagi. Sudah banyak kes seperti ini berlaku di Malaysia semasa kereta diparkir di tepi jalan, di lot parkir, di lampu isyarat dan banyak lagi.

Kata Demi-Leigh selepas memenangi Miss Universe 2017, “Hi! I am your new Miss Universe, but I will always be a Miss South Africa. We did it!”

Dan bukan hanya perempuan saja yang menjadi mangsa tau! Perompak tak pernah kisah siapapun yang memandu, asalkan ada peluang pasti diambil oleh mereka.

Sebab itulah, langkah berhati-hati wajib diambil ketika memandu. Jangan sesekali meletakkan sebarang jenis beg di atas tempat duduk penumpang.

Selain itu, jika ada pemandu lain memberikan isyarat seolah-olah kereta korang menghadapi masalah, jangan terus berhenti di tepi jalan. Lebih baik kamu pandu ke tempat awam seperti stesen minyak sebelum memeriksa.

Demi-Leigh aktif memberikan kelas ‘Women InPowered’ kepada masyarakat di Afrika Selatan. Ini merupaka sesi pertamanya di Vuselela Ulwazi Lwakho.

“Dan jika kamu menjadi mangsa perompak seperti saya, jangan mudah mengalah dengan emosi. Rasa takut itu perlu diubah dengan semangat ingin mempertahankan diri.”

“Saya berpendapat semua perempuan perlu tahu untuk mengatasi rasa takut. Oleh sebab itu, saya ingin membantu mereka dengan cara mempertahankan diri melalui kelas. Jika saya boleh, kamu juga boleh!” jawabnya dalam sesi soal jawab di pentas Miss Universe.

 

Published by
FZ