Ads
Home Berita Kerja Di Wad Pediatrik, Ibu Adam Akui Tak Terfikir Sekejam Itu Pada...

Kerja Di Wad Pediatrik, Ibu Adam Akui Tak Terfikir Sekejam Itu Pada Anak Orang Lain

Ads

Dua minggu lalu, masyarakat digemparkan dengan penemuan mayat seorang bayi lelaki, Adam Rayqal, 5 bulan yang disorok dalam peti ais rumah pengasuhnya.

Awalnya anak kecil ini dikatakan dilarikan oleh bapanya namun keadaan bertukar kecoh apabila bapa arwah memuat naik meminta pertolongan orang mencari anaknya itu.

Tatkala penemuan Adam dalam keadaan menyayat hati, raungan ibu kepada Allahyarham Adam Rayqal cukup meruntun hati setiap masyarakat. Minggu lalu pengasuh kejam itu sudah dihadapkan ke mahkamah dan menghadapi dua pertuduhan iaitu aniaya dan menyorokkan mayat kanak-kanak lelaki berkenaan.

Sekali pun dua minggu sudah berlalu, namun semalam wartawan berkesempatan menemui Farah Madihah di mana ibu muda ini meluahkan perasaannya kenapa anaknya diperlakukan sebegitu kerana dia sendiri tidak pernah melakukan kepada anak orang lain biarpun pekerjaannya sebagai jururawat di Hospital Kuala Lumpur adalah di wad pediatrik iaitu wad kanak-kanak.

Kerja Di Wad Pediatrik, Ibu Adam Akui Tak Terfikir Sekejam Itu Pada Anak Orang Lain
Kunjungan Dato Noraini ke atas keluarga mangsa pengasuh yang bertindak kejam

“Saya tak boleh terima anak saya dilakukan sedemikian kerana saya tak buat anak orang begitu,” luah Farah Madihah Othman, 28, ibu Allahyarham Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif yang ditemui mati dalam peti sejuk di rumah pengasuhnya, 3 Julai lalu.

Farah Madihah yang berkhidmat sebagai jururawat di wad kanak-kanak Hospital Kuala Lumpur berkata, tindakan pengasuh berusia 33 tahun itu kejam dan berharap tindakan setimpal dikenakan ke atasnya.

“Dia (pengasuh) hubungi saya dengan nada yakin mengatakan anak saya telah diambil seorang lelaki.. saya ingatkan betul-betul anak saya dilarikan, tak terfikir langsung pengasuh akan buat Adam begitu.

Ads

“Tapi bila tahu anak saya ditemui di tempat tidak sepatutnya saya tak boleh terima. Tak dapat saya bayangkan keadaan anak saya ketika itu,” katanya yang kini mulai reda dengan keadaan menimpa anak sulungnya itu.

Jelasnya, dia berharap kejadian menimpa ke atas anak itu diambil iktibar dan kerajaan dapat memantau seterusnya menyediakan kemudahan pusat asuhan di tempat bekerja.

“Sebagai kakitangan pusat perubatan kita menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pesakit jadi tak salah sekiranya kebajikan kami juga dijaga. Susah nak jumpa pusat asuhan yang mengambil anak-anak yang ibu bapanya bekerja shif, jika ada pasti kosnya tinggi. Bila ada kemudahan itu di tempat bekerja ia sangat membantu.

“Memang susah nak meletakkan keyakinan kepada pengasuh tapi bila dia beri keyakinan dan menjaga pula seorang anak OKU sedikit sebanyak saya membuat pertimbangan menghantar anak saya ke pengasuh itu,” katanya sewaktu menerima kunjungan Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad semalam.

Ads
Kerja Di Wad Pediatrik, Ibu Adam Akui Tak Terfikir Sekejam Itu Pada Anak Orang Lain
Kisah arwah Adam menggemparkan negara kerana disorokkan dalam peti ais

 

Kerja Di Wad Pediatrik, Ibu Adam Akui Tak Terfikir Sekejam Itu Pada Anak Orang Lain
Bekas pengasuhnya didakwa atas dua pertuduhan iaitu aniaya dan lupuskan mayat arwah

Kisah Adam Rayqal menggemparkan negara selepas ditemui dalam peti sejuk beberapa jam dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya.

Susulan daripada kejadian, suspek juga pengasuh, Noor Aqilah Abd Rahman, 33, didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ads

Dia turut dituduh melupus mayat Adam Rayqal dengan niat menyembunyikan kematian mangsa supaya terlepas daripada hukuman dan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dan denda.

Sementara itu, Noraini berkata, pihaknya mendesak kerajaan menyediakan kemudahan pusat asuhan di jabatan kerajaan sebelum melebarkan perkhidmatan tersebut kepada syarikat swasta.

“Sudah tiba masanya perkara itu dijadikan kewajipan, sebelum ini ia hanya berbentuk galakan. Kementerian juga disaran mewujudkan pusat latihan agar pengasuh dapat menjalankan tugas dengan profesional,” katanya.

Tambahnya, aktiviti pusat asuhan perlu dipantau dan berdaftar dengan kementerian.

“Kementerian boleh paparkan nama pengasuh yang berdaftar kepada umum melalui laman sesawang dan hebahan di pihak berkuasa tempatan sebagai rujukan serta meyakinkan ibu bapa. Isu pusat pengasuh dan pengasuh ini perlu diambil serius dan diselesaikan segera… jangan jadikannya sebagai isu bermusim,” katanya.

 

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI