Kes Cuci Duit! Ramai Artis Dalam “Radar” SPRM, Wang Tunai RM5 Juta DiRampas

Share

Nampaknya kes cuci duit atau money laundering semakin mendebarkan banyak pihak yang bersekongkol. Ini kerana hari demi hari, ada saja pendedahan dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semalam tiga pegawai kanan polis dan dua anggota disahkan ditahan oleh pihak SPRM kerana bersekongkol melindungi sindiket Macau Scam yang mengakibatkan orang ramai kerugian ratusan juta.

Hari ini dalam fb live slot SPRM360 bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, di MACCfm, beliau memaklumkan wang tunai RM5 juta sudah dirampas dan kini disita.


.

Masa yang sama juga senarai artis yang dikaitkan dengan perniagaan ini sudah ada di tangan SPRM dan bakal dipanggil untuk memberi keterangan dan membantu siasatan.

Menerusi laporan Harian Metro sebentar tadi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyita wang tunai berjumlah RM5 juta dipercayai terbabit dalam sindiket ‘cuci duit’ dikaitkan dengan perniagaan golongan artis.

Ketua Pesurujayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya turut merampas 23 kenderaan mewah.

“Setakat ini, SPRM sudah membekukan 730 akaun bank membabitkan RM80 juta.

“Sementara, 19 individu yang disyaki terbabit dalam sindiket ini sudah ditahan,” katanya menerusi siaran langsung ‘FB LIVE’ slot SPRM360 bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, di MACCfm, hari ini.

Azam berkata, SPRM juga miliki senarai nama selebriti negara untuk hadir bagi memberi keterangan dan bantu siasatan kes ini.

Harian Metro hari ini melaporkan taktik perdaya dan menggunakan populariti artis untuk menjalankan kegiatan ‘mencuci’ duit haram melalui pelbagai usaha sama dan perniagaan sah.

Itu antara kegiatan segelintir individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan haram termasuk perjudian sebelum memerangkap segelintir artis tempatan dengan menawarkan bantuan modal untuk memulakan perniagaan.

Kaedah itu dianggap mampu mengaburi mata pihak berkuasa selain membolehkan keuntungan diperoleh hasil kerjasama pelbagai bentuk pelaburan yang disertai bersama.

Bagaimanapun, kegiatan mereka itu dikesan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM hasil risikan dan siasatan dijalankan sebelum lima individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk dan Datuk Seri ditahan.

Susulan itu tiga lagi lelaki ditahan kemudian bagi membantu siasatan.

Published by
Almaswa Haji Che Ros