Mengikut laporan Harian Metro, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohammad Azlan Abdullah memaklumkan, terdapat segelintir orang ramai yang teruja sehingga bertindak untuk memberhentikan kenderaan mereka di laluan kecemasan hanya mahu merakam pemandangan menarik di beberapa kawasan di lebuh raya tersebut.
“Kami melarang sama sekali pengguna daripada memberhentikan kenderaan di bahu jalan tanpa alasan kecemasan kerana perbuatan itu amat berbahaya bukan saja kepada diri mereka sendiri, malah pengguna lebuh raya lain.
“Aspek keselamatan sentiasa diutamakan oleh PROLINTAS. Kami cukup berbesar hati dengan sokongan yang diberikan pengguna. Namun, kami berharap agar semua pihak dapat menjaga aspek keselamatan di lebuh raya agar tiada insiden tidak diingini berlaku,” jelasnya.
Kemalangan pertama di lebuh raya SUKE
Terdahulu, media melaporkan kejadian kemalangan pertama di lebuh raya terbabit yang melibatkan sebuah kenderaan Perodua Myvi dan motosikal selepas tiga hari ia dibuka.
Punca kemalangan itu berlaku adalah kerana pemandu kenderaan itu disyaki telah berhenti di bahagian laluan kecemasan bagi mengambil gambar di lebuh raya itu.
Berikutan daripada insiden tersebut, penunggang motosikal yang terlibat dilaporkan mengalami kecederaan.
- PROLINTAS kesan beberapa lokasi tumpuan
Jelas Mohammad Azlan, bahagian operasi SUKE telah mengesan beberapa kawasan yang sering menjadi perhatian pengguna di sepanjang jajaran lebuh raya tersebut.
Oleh itu, demi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya berkenaan untuk berada di tahap terbaik, PROLINTAS akan melakukan pelbagai langkah penting untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini.
- Buat rondaan dan letakkan kon keselamatan elak pengguna berhenti
“Unit Polis Bantuan PROLINTAS atau ‘peronda SUKE’ yang bertugas 24 jam melakukan rondaan dengan lebih kerap dan ditempatkan di lokasi panas itu. Selain itu, papan tanda ‘Dilarang Berhenti Kecuali Kecemasa’ juga akan dipasang di kawasan dikenal pasti dalam masa terdekat.
“Kon keselamatan turut ditempatkan di lokasi berkenaan untuk menghalang pengguna daripada berhenti tanpa alasan kecemasan,” katanya.
- Pastikan lebuh raya sentiasa diselenggara
Tambahnya lagi, bahagian operasi SUKE turut akan memastikan lebuh raya ini akan diselenggara dan berada pada tahap optimum serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan aliran lalu lintas bergerak dengan baik.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan hampir 100,000 kereta telah melalui lebuh raya tersebut dalam tempoh 24 jam pertama selepas ia dibuka kepada orang ramai bermula 16 Septemberyang lalu.
Untuk info, sejak 16 September lalu, lebuh raya Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) bagi fasa pertama yang bermula dari persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke Hulu Klang sudah mula dibuka.