Susulan kes kematian empat individu yang berkait dengan penyalahgunaan dadah ketika menghadiri Konsert Pinkfish sempena sambutan ambang tahun baru di Bandar Sunway, Subang Jaya; Kerajaan Negeri Selangor ingin menyemak semula garis panduan pelaksanaan konsert di negeri itu.
Ini termasuklah mengesyorkan ujian air kencing sebagai salah satu prosedur operasi standard (SOP) kepada pengunjung konsert di Selangor.
Ketika ditemui awal minggu ini, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri iaitu Datuk Ng Suee Lim berkata pengesyoran itu adalah antara perkara yang akan dibincangkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), esok.
Selain itu, antara penambahbaikan pada SOP penganjuran konsert di Selangor termasuklah menyediakan kelengkapan mesin pengimbas badan untuk mengesan sebarang bahan terlarang yang cuba dibawa masuk ke tapak acara oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Tambah Ng lagi, pihaknya memandang serius kes kematian tersebut. Ini kerana ia sedikit sebanyak menganggu perancangan kempen Tahun Melawat Selangor 2025 yang melibatkan beberapa penganjuran konsert.
Kesemua kebenaran permit kepada penganjur acara konsert di Selangor terpaksa ditangguhkan untuk sementara sehingga siasatan kes selesai.
Malah, beliau berkongsi mengenai satu konsert yang terpaksa dipindahkan lokasi dari Bandar Sunway ke Kuala Lumpur pada minggu hadapan disebabkan kes ini.
Sebelum ini, media melaporkan kematian empat individu berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk dua wanita selepas menghadiri konsert ambang tahun baru ‘Pinkfish’.
Laporan polis berkaitan kematian mangsa dibuat oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.